Dana Noriba: Pinjaman Tanpa Riba Dan Faedah

Pinjaman tanpa riba dan kadar faedah? Cuma bayar jumlah yang dipinjam sahaja. Biar betul!

Semua tahu yang sistem perbankan Islam masih tertakluk kepada kadar keuntungan berdasarkan kadar asas Overnight Policy Rate (OPR) yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Baru-baru ini Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) ada memperkenalkan Dana Noriba, satu sistem pinjaman kewangan tanpa kadar faedah dimana peminjam hanya perlu membayar jumlah wang yang dipinjam sahaja tanpa sebarang tambahan.

Menurut KoPPIM, dana yang diinfaqkan melalui KoPPIM dari sedekah dan infaq orang ramai akan dipecahkan kepada dua bahagian:

1. 50% dana akan digunakan untuk pelaburan strategik untuk mengembangkan dana pinjaman dan menanggung kos operasi

2. 50% dana akan digunakan untuk memberi pinjaman tanpa riba sepenuhnya. Pinjaman yang dirancang untuk diberikan:
– Pinjaman peribadi sehingga RM5,000
– Pinjaman kenderaan sehingga RM50,000
– Pinjaman pendidikan sehingga RM50,000
– Pinjaman perumahan sehingga RM500,000

Sudah pasti terlalu awal untuk kita memberi sebarang komentar tentang usaha baik yang dilakukan oleh KoPPIM ini. Berdasarkan kepada model yang dicadangkan ini, ada beberapa poin penting yang boleh kita bincangkan.

1. Kos Pembiayaan

Photo by Marc Mueller from Pexels

Sistem perbankan yang ada di dunia ketika ini mempunyai kos pembiayaan untuk mendapatkan dana pinjaman. Sekiranya bank bergantung pada dana modal dari pelabur, sudah pasti pelabur mengharapkan pulangan yang lumayan.

Dana modal dari pendeposit juga perlu diberi sedikit pulangan apatah lagi sekiranya perlu pinjaman di antara bank.

Sistem yang diperkenalkan oleh dana Noriba dikatakan modal akan diambil dari dana infaq dan sedekah orang ramai. Ini bermakna dana modal untuk pinjaman ini tidak perlu diberi sebarang pulangan dan pastinya membolehkan dana Noriba untuk tidak mengenakan cas kadar faedah kepada peminjam.

2. Kos Operasi

Antara kekangan yang dihadapi oleh sistem perbankan sedia ada ialah kos operasi yang tinggi. Ini kerana pihak bank bukan sahaja perlu memberikan khidmat dan servis kepada peminjam, tetapi juga kepada pendeposit. Ini termasuklah fasiliti seperti mesin ATM dan CDM selain cawangan bank secara fizikal dan pusat khidmat pelanggan.

Sistem kewangan baru seperti dana Noriba yang diperkenalkan ini tidak memerlukan fasiliti dan servis kepada pendeposit. Justeru, kos operasi sudah pasti lebih rendah berbanding institusi perbankan sedia ada.

3. Permintaan Yang Tinggi

Photo by Aiman Khair Samsol Hairi from Pexels

Dana Noriba sudah pasti akan berhadapan dengan permintaan yang tinggi. Ini kerana belum ada lagi mana-mana institusi yang mampu memberi pinjaman tanpa riba dan kos pembayaran semula pinjaman akan berkurang atau hampir tiada kos.

4. Dana Yang Terhad

Namun begitu, dana Noriba juga mempunyai dana yang terhad berbanding insititusi perbankan. Bayangkan hanya untuk satu pinjaman perumahan, dana Noriba perlu mengumpulkan sehingga RM1 juta dana infaq dan sumbangan. RM500k akan dilaburkan untuk menampung kos operasi manakala RM500k akan diberikan kepada peminjam.

Justeru dana Noriba mungkin memerlukan masa untuk mengumpulkan dana infaq yang mencukupi bagi menampung permintaan tinggi. Sekiranya peminjam berdisiplin dalam pembayaran semula hutang, dana infaq akan semakin membesar dan lebih ramai yang akan mendapat manfaat.

5. Risiko Lewat Bayar

Dana Noriba seperti pinjaman lain mempunyai risiko peminjam lewat membuat pembayaran semula pinjaman. Lebih parah sekiranya peminjam tidak membayar semula pinjaman mereka.

Hal ini berbeza dengan institusi perbankan di mana mereka mempunyai mekanisme tersendiri melalui penalti lewat bayar, menaikkan kadar faedah dan lelongan harta untuk mendapatkan semula hutang bagi individu yang culas membuat pembayaran balik pinjaman.

Kesimpulan

Kredit Gambar: Facebook PPIM

Model yang diperkenalkan oleh KoPPIM ini merupakan satu inisiatif yang sangat menarik. Sudah pasti sokongan yang padu perlu diberi supaya kita dapat melihat satu sistem yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.