Encik Suami, Dapat Je Gaji Buat 6 Perkara Ini Tau!

duit gaji

Pernah rasa gaji anda tak cukup tiap-tiap bulan? Percayalah, selagi anda tak belajar untuk bersyukur dengan apa yang anda dapat, gaji banyak mana sekalipun takkan rasa cukup.

Untuk perkongsian hari ini, kami berterima kasih kepada Tuan Haji Razli Ramli, Ketua Penasihat, Jabatan Penasihat Perniagaan – Syariah di IBFIM (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia) yang sudi berkongsi 6 perkara tersebut:

Ada 6 Saja Nasihat Beliau, Dan Mesti Buat Ikut Turutan

#1. Beri Sebahagian Gaji Kepada Ibubapa

Ingat tu para suami yang masih mempunyai ibubapa, selagi mana ibumu masih hidup; utamakanlah ibumu dari segala aspek. Keberkatan yang akan diperoleh tersebut amatlah besar nilainya.

Apa salahnya kita membalas jasa baik ibubapa dengan mengasingkan sebahagian daripada duit gaji yang diterima setiap bulan dengan bersedekah kepada ibubapa.

Yakinlah bahawa “Syurga Itu Terletak Di Bawah Tapak Kaki Ibu”.

#2. Beri Sebahagian Gaji Kepada Isteri

Seterusnya, bagi yang telah berumahtangga – beri sebahagian gaji anda kepada isteri; walaupun isteri anda bergaji lebih besar.

Ini kerana, bukan isu besar atau kecil nilai wang tersebut, tetapi ia pastinya menggembirakan isteri anda. Dan isteri yang bahagia, menjadi asas kepada keluarga bahagia. Keluarga bahagia pula akan membuat anak-anak anda membesar di dalam persekitaran yang positif, dan hasilnya insyaAllah positif.

Barulah betul, “Rumahku Syurgaku”.

#3. Simpan Untuk Masa Depan Anak-Anak

Anak-anak merupakan amanah daripada Allah, dan mereka ibarat kain putih dan terpulanglah kepada kita untuk mencorak masa depan mereka.

Tetapi tahukah anda, kos perbelanjaan untuk belajar di institusi pendidikan tinggi semakin meningkat dari setahun ke setahun? Ibubapa mana yang tak nak anak mereka berjaya?

Oleh itu, mulakan simpanan daripada sekarang. Tak tahu nak simpan kat mana? Kita ada banyak pilihan. Antaranya menyimpanlah di SSPN-i Plus. Tapi sebelum itu, ambil tahu apa 5 Kelebihan Utama SSPN-i Plus Yang Wajib Ibu Bapa Tahu.

#4. Bayar Hutang

Hidup pasti tidak tenang, selagi ada hutang. Hutang pula boleh dikategorikan kepada hutang baik dan hutang tidak baik.

Hutang baik – wang yang anda dapat daripada pembiayaan Islam pada kadar yang rendah di mana anda boleh mendapat pulangan yang lebih tinggi. Contohnya seperti membeli rumah.

Hutang tidak baik pula, wang kita dapat daripada pembiayaan Islam, tetapi pulangannya rendah – atau lebih teruk lagi, ianya menyusut nilai saban tahun. Contohnya seperti hutang kad kredit dan hutang beli kereta.

Cepat-cepatlah selesaikan. Boleh tidur dengan lebih nyenyak bila tahu yang anda tidak berhutang pun dengan sesiapa.

#5. Perbelanjaan Harian

Perbelanjaan harian ini bermaksud apa-apa sahaja yang perlu untuk meneruskan kehidupan dari sehari ke sehari. Contohnya duit makan minum, duit minyak dan duit belanja anak sekolah.

Perlindungan takaful atau medical card turut tersenarai sebagai perbelanjaan harian. Bagaimana nak bayar untuk kos perubatan anda dan keluarga anda nanti? Orang yang bijak akan melanggan medical card daripada mana-mana syarikat takaful supaya tidak menanggung bil perubatan yang mengejut satu hari nanti.

#6. Pelaburan

Terakhir sekali, barulah anda gunakan duit lebihan untuk melabur.

Boleh guna konsep High Risk, High Return, bergantung kepada toleransi anda terhadap risiko. Kalau rasa cukup dengan 6%-8%, bolehlah simpan di dalam ASB. Nak lebih sikit, boleh keluarkan duit daripada EPF dan masuk ke dalam Unit Trust. Nak lebih tinggi, belajar-belajarlah melabur saham di Bursa Malaysia.

Apa-apa pun, jangan sekali-sekali terpedaya dengan skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan yang tidak masuk akal.

*Tips Haji Razli – kalau skim pelaburan tersebut tidak mempunyai trustee atau pemegang amanah, larilah jauh-jauh.

 

InsyaAllah jika amalkan 6 perkara di atas setiap kali dapat gaji, jiwa pasti lebih tenang dan diberkati oleh Allah SWT. Duit tu akan rasa cukup je nanti lebih-lebih lagi kalau buat perkara nombor 1 & 2 tu.

Kalau anda rasa perkongsian ilmu kali ini cukup bermanfaat, rajin-rajinlah follow FB Haji Razli Ramli.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.