Panduan Bijak Menempah Tiket Penerbangan Dan Hotel

Musim cuti sekolah hampir tiba. Ada rancangan untuk pergi bercuti?

Artikel ini TIDAK bertujuan untuk memberikan panduan bajet atau cara berbelanja sesikit mungkin, tapi lebih kepada panduan umum untuk berbelanja secara optimum bagi mendapatkan nilai (value) semaksima mungkin.

Bila kita bercerita tentang nak pergi bercuti terdapat 2 elemen besar dalam perbelanjaan yang perlu dipertimbangkan, iaitu tiket penerbangan dan hotel. Disini saya akan cuba kupas cara terbaik untuk menempah keduanya.

 

TIKET PENERBANGAN

#1. Beli secara online pada hari Selasa atau Rabu.

Kajian menunjukkan bahawa harga tiket kapalterbang lebih cenderung untuk jatuh pada hari Selasa dan Rabu. Tapi kenapa?

Jumaat, Sabtu, Ahad – Trafik aliran internet tinggi. Ramai yang akan membeli pada hujung minggu, jadi mereka tidak akan melepaskan peluang mengenakan harga penuh.

Isnin – Syarikat penerbangan akan mula memantau pergerakan harga dengan pesaing yang lain. Ada yang acah-acah membuka seating ‘economy promo’ contohnya dan yang lain akan mula turut serta.

Selasa, Rabu – Perlaksanaan strategi jualan untuk minggu tersebut secara penuh.

Khamis – Harga mungkin kekal, atau sudah mula meningkat jika banyak yang sudah terjual.

* Setiap syarikat penerbangan mempunyai strategi pemasaran dan penjualan tersendiri. Maklumat ini mungkin tidak tepat dengan syarikat tertentu. Tetapi secara umumnya panduan ini boleh digunakapakai.

 

#2. Bandingkan harga dari 2 atau 3 sumber internet dan syarikat penerbangan berbeza

Sebarang perbelanjaan yang bijak akan melibatkan perbandingan harga. Pertama sekali kita bandingkan antara syarikat penerbangan. Masuk ke laman web mereka (Malaysia Airlines, Malindo Air, AirAsia) dan lihat pilihan yang ada. Berhati-hati kerana perbandingan perlu dibuat secara sama, amnya terdapat pelbagai kos tambah nilai (bagasi/sajian makanan) bila melibatkan syarikat penerbangan kos rendah.

Kemudian kita bandingkan pula dengan dengan tawaran ejen syarikat penerbangan. Saya suka menggunakan aplikasi KAYAK dan SKYSCANNER kerana kadang-kadang memang ada tawaran yang lebih rendah berbanding laman web syarikat penerbangan itu sendiri. Aneh bukan?

Menurut kajian, masa terbaik untuk membeli tiket penerbangan adalah dalam tempoh 3-6 minggu sebelum tarikh penerbangan. Jadi rancanglah awal-awal.

 

HOTEL

Pertama sekali anda boleh gunakan aplikasi yang popular seperti BOOKING, AGODA.  Ambil sedikit masa untuk menyenarai pendek kepada 3 – 4 hotel yang sesuai.

Kemudian gunakan aplikasi TRIPADVISOR dan baca ulasan bagi setiap hotel itu. Saya pasti anda akan terjumpa maklumat baru yang akan membuatkan anda membatalkan niat ke sana. Cuba baca ulasan yang buruk-buruk. Sebab gambar dan info di laman web hotel sudah tentu hanya memaparkan yang indah-indah sahaja.

Contohnya seperti hotel itu sebenarnya tiada lif, kolam renang ditutup untuk pembaikan, aircond tak sejuk dan 1001 macam keluhan dan ulasan jujur dari mereka yang pernah menginap di situ.

Seterusnya buat perbandingan harga dari web diatas dengan tempahan terus di laman web hotel itu sendiri. Biasanya hotel-hotel bertaraf tinggi dan berangkai (Holiday Inn, Ascott, ParkRoyal, Ibis) akan mempunyai aplikasi web sendiri dan anda boleh mendapatkan diskaun eksklusif jika menjadi ahli. Anda juga boleh mula mengumpul mata untuk ganjaran/diskaun menarik untuk tempahan berikutnya.  Sebagai contoh, baru-baru ini saya telah mendaftar sebagai ahli atas talian di Citadines (milik Ascott) dan serta-merta saya telah mendapat baucer 40% untuk tempahan pertama dengan mereka!

Tips Bonus: Ambil peluang berjimat dengan “Non-Refundable Rates”

 

 

Kebanyakan hotel mempunyai kadar berbeza untuk bilik yang sama. Sebenarnya perbezaannya samada ia boleh dibatalkan atau tidak. Kadar ‘tiada pembatalan’  biasanya akan jauh lebih rendah (20%-40%) dari kadar ‘boleh dibatalkan’. Dalam polisi ‘tiada pembatalan’, hotel sebenarnya mengambil peluang jika anda membatalkan tempahan dengan apa sebab sekalipun anda tetap akan dicaj penuh nilai tempahan, dan bilik itu kemudian boleh disewakan kepada pengunjung lain. Untung berganda hotel tu!

Namun ada cara untuk kita ambil kesempatan:

  1. Sewaktu membuat tempahan awal atas talian (3-6 minggu sebelum perjalanan), buat tempahan seperti biasa dengan kadar yang ‘boleh dibatalkan’.
  2. Satu atau dua hari sebelum perjalanan, rujuk semula atas talian dan pastikan masih ada tawaran ‘tiada pembatalan’ untuk tarikh perjalanan anda.
  3. Batalkan tempahan awal anda (tiada caj yang akan dikenakan, rujuk polisi tarikh akhir pembatalan tanpa caj).
  4. Buat tempahan baru dengan kadar ‘tiada pembatalan’ yang jauh lebih rendah. Oleh kerana telah hampir dengan tarikh bercuti, kebarangkalian untuk kita batalkan perjalanan adalah jauh lebih rendah.
  5. Dengan cara ini anda sebenarnya telah melindungi ketidakpastian di pihak anda dan dapat menikmati kadar hotel yang lebih rendah.

Selamat mencuba!

Ditulis Oleh: Kamil Adlee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.