Hibah Tabung Haji – Adakah Salah Menggunakan Budi Bicara Untuk Beri Kepada 9.3 Juta Pendeposit?

Semakin panas isu berkenaan Tabung Haji ni. Ini berikutan pendedahan oleh YB Dr Mujahid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang Tabung Haji telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 kerana membayar hibah walaupun liabilitinya melebihi aset. Boleh baca lebih lanjut mengenainya di Tabung Haji (TH) Untung Setiap Tahun, Tetapi Bagaimana Liabiliti Melebihi Aset?

Tetapi apa kata Tabung Haji pula dalam pemberian Hibah ni.

Hibah Merupakan Hadiah

Hibah TH adalah “hadiah” yang diisytihar oleh TH, berdasarkan konsep Wadiah Yad Dhamanah iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa.

Hibah tidak wajib dibayar oleh TH. Walaupun amalan pemberian hibah dibenarkan, ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai “‘urf” (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah. Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.

Pemberian dan cara hibah TH dilakukan adalah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, Sekyen 22 (1) & (2):

Seksyen 22;
(1)   Tertakluk kepada seksyen ini, Lembaga boleh mengikut budi bicara mutlaknya menentukan pada bila-bila masa sama ada wajar untuk mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh agih berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang dan jika ia menentukan untuk mengisytiharkan sedemikian, Lembaga hendaklah, dengan kelulusan Menteri, mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh diagihkan berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang itu.

(2)   Jika suatu perisytiharan dibuat di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah juga menentukan cara, amaun dan masa bagi mengkreditkan untung boleh agih itu kepada setiap pendeposit.

Sejak ditubuhkan, TH sentiasa berusaha memberi Hibah Tahunan kepada para pendeposit kami. TH turut memberi tambahan hibah khas kepada para pendeposit sempena peristiwa-peristiwa istimewa seperti Hari Kemerdekaan Malaysia ke-50 (2007), Ulangtahun ke-50 TH (2012) dan Hibah Haji bermula 2013 sehingga kini.

Sumber: Tabung Haji

Jumlah Pendeposit, Jumlah Deposit, Hibah Tahunan dan Hibah Haji Meningkat

Sumber: Tabung Haji

Daripada segi jumlah pendeposit & deposit, ianya meningkat setiap tahun.

Daripada segi hibah tahunan dan hibah haji pula, nampak macam sedikit menurun sejak beberapa tahun kebelakangan; tetapi ia naik semula pada tahun 2017.

Adakah Salah Guna Budi Bicara Untuk Beri Hibah?

Merujuk kembali kepada Seksyen 22 di atas, adakah salah bagi Tabung Haji untuk guna budi bicara mereka untuk beri hibah kepada para pendeposit?

Memang hibah tak wajib dibayar, tetapi berapa beruntungnya seramai 9.3 juta orang yang ada akaun dalam Tabung Haji?

1.3% Pendeposit Tabung Haji Menyumbang Kepada 50% Deposit Tabung Haji

Kita telah dimaklumkan bahawa 1.3% pendeposit Tabung Haji atau seramai 117,000 orang menyumbang kepada 50% deposit dalam Tabung Haji ni. Turut dilaporkan bahawa ada seorang pendeposit dengan sejumlah RM190 juta simpanan di dalam akaun Tabung Haji beliau.

Oleh itu diharapkan semua orang bertenang dan jangan panik. Jangan pergi tutup akaun Tabung Haji anda pula lepas ni.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.