Bolehkah Kita Agih Harta Pusaka Sama Rata, Tanpa Mengikut Hukum Faraid?

Sebelum menjawab terus kepada persoalan boleh atau tidak, kita mesti faham dengan jelas dahulu apakah yang dimaksudkan dengan faraid atau ilmu faraid.

Merujuk kepada Kitab Fiqh al-Manhaji, Ilmu faraidh pada Syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak.

Hukum faraid sama pensyariatannya ke atas umat Islam seperti hukum solat, hukum berpuasa dan hukum-hukum Islam yang lain. Terdapat nas Al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama yang jelas menunjukkan pensyariatan hukum faraid.

This image has an empty alt attribute; its file name is faraid-1080x675-1-700x438.jpg

Maka barangsiapa mengingkari hukum faraid, sama sahaja seperti mengingkari hukum wajibnya solat atau berpuasa di bulan Ramadhan; iaitu jatuh kafir dan keluar daripada Islam.

Pensyariatan hukum syariat ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah). (Surah al-Nisa’: 7)

Begitu juga melalui hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.” – Hadis Riwayat al-Bukhari (6351)

Jadi kita jelas bahawa hukum faraid adalah salah satu daripada syariat Islam yang mesti kita Imani dan beramal dengannya. Maka perlu kita berhati-hati apabila mengatakan hukum faraid ini zalim, ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan kerana dikhuatiri akhirnya membawa kepada terkeluarnya kita daripada Islam.

Kita sebagai Muslim wajib beriman bahawa setiap syariat yang Allah tetapkan untuk kita adalah atas kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Ia bertujuan memelihara kepentingan semua pihak tanpa terkecuali. Walaubagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, syariat atau undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.

Photo by Abdulmeilk Aldawsari from Pexels

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. (Surah al-Nisa’: 13-14)

Jadi adakah maknanya kita tidak boleh membahagikan harta pusaka secara sama rata?

Secara teknikalnya boleh tiada masalah. Cuma dari sudut syaraknya, tidak wajar mengatakan mahu membahagikan harta pusaka secara sama rata kerana tidak mahu ikut faraid.

Lafaz kerana tidak mahu ikut hukum faraid itu sendiri berbahaya kerana ia memberi intrepertasi negatif tetang hukum faraid itu sendiri. Seolah-olah mengatakan hukum faraid tidak adil kerana bahagian harta pusaka setiap waris berbeza-beza.

Kembali kepada persoalan boleh tak agihkan harta secara sama rata, jawapannya ya boleh. Tetapi ada caranya.

Image by Free-Photos from Pixabay

Caranya adalah waris-waris yang mendapat bahagian pusaka yang lebih banyak, takharuj hak faraidnya membolehkan semua waris terima bahagian harta secara sama rata. Apakah maksud takharuj?

Takharuj bermaksud harta peninggalan dibahagikan secara sulh atau persetujuan di antara ahli waris dengan kaedah redha atau sesama suka. Ini dibenarkan kerana bahagian faraid itu adalah hak para waris yang boleh diambil atau dilepaskan.

Sebagai contoh, si ayah meninggal dunia dan hanya mempunyai seorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan sebagai waris. Jika mengikut hukum faraid, bahagian anak lelaki adalah 2 kali daripada apa yang anak perempuan terima.

Oleh itu, mengikut hukum faraid, bahagian pusaka yang sepatutnya diterima oleh tiga beradik ini adalah;

  • Anak lelaki: ½
  • Anak perempuan: ¼ setiap seorang

Jadi daripada pecahan ini, anak lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding anak perempuan atas tanggungjawab dia perlu menanggung kebajikan waris lain. Walaubagaimanpun, si anak lelaki boleh melepaskan hak faraidnya ½ dan berbahagi harta pusaka arwah bapa mereka secara sama rata dengan adik beradik perempuannya.

Oleh itu, melalui takharuj, waris boleh membahagikan harta pusaka secara sama rata tetapi mesti memenuhi empat syarat berikut.

  1. Waris mesti telah capai usia baligh
  2. Waris tahu mengurus harta, tidak boleh waris cacat akalnya melepaskan hak faraid.
  3. Waris tahu bahagian faraid yang sepatutnya dimiliki 
  4. Waris secara sukarela melepaskan hak

Jadi sebelum semua waris bersetuju untuk agihkan harta pusaka arwah secara sama rata, kena pastikan dahulu SEMUA waris tahu bahagian faraid yang sepatutnya dia terima dan redha berikan pada waris lain.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Bagi mengelakkan daripada perkara tidak diingini berlaku, jom kita tambah ilmu berkenaan dengan hibah, faraid dan wasiat:

Previous ArticleNext Article

2 Comments

  1. Sy nk tnye..Suami Sy ank felda,bila sibapa telah mninggal Dunia,adakah duit hasil kebun felda stiap bulan tu terus Jd Hak mutlak si ibu apabila nama kebun,umah flda telah ditukar ke nama si ibu sebagai pentabir …sbb skrg ni duit gaji flda masuk acc si ibu…tp si ibu xde bagi2 pd ank yg lain shingga 6buln Dari si bapa mninggal..

  2. Bagaimana pula sekiranya seorang dari waris-waris yg berhak menolak pembahagian sama rata, dan minta hak beliau mengikut Hukum Faraid?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.