Kenapa Dalam Faraid, Bahagian Perempuan Lagi Sikit Daripada Lelaki?

Pembahagian hukum faraid telah Allah jelaskan melalui Surah An-Nisa’ ayat 11 dan 12 secara sangat mendalam.

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan…”

(Surah An-Nisa’ : 11)

Mereka yang memahami ayat ini secara luaran sahaja selalu beranggapan bahawa Islam sebagai tidak adil kerana hanya bahagian harta pusaka yang anak perempuan dapat hanya separuh daripada apa yang anak lelaki dapat. Bahkan inilah yang didakwan oleh golongan oreantalis dari Barat mahupun dari Timur.

Inilah yang terjadi apabila Islam dan Al-Quran itu diambil secara separuh-separuh. Mana yang berkenan di hati ambil, mana yang rasa susah nak buat ditinggalkan. Akhirnya buruklah imej agama Islam di mata masyarakat bukan Islam.

Sebenarnya, hukum faraid daripada ayat 11 Surah An-Nisa’ ini patut dibaca dan difahami sekali konteksnya dengan ayat lain daripada surah yang sama. Yang mana Allah berfirman;

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah An-Nisa’ : 34)

Jangan hanya menuntut hak, tetapi mengabaikan tanggungjawab.

Sekiranya kita benar-benar memahami ayat ini, kita akan tahu bahawa bahagian yang sedikit lebih kepada mereka itu hanyalah kerana mereka itu sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan wanita di dalam keluarganya. Manakalah bagi wanita pula, ½ bahagian faraid daripada harta pusaka yang diterimanya itu adalah untuk kegunaan diri sendiri sahaja.

Di hujung ayat 34 Surah An-Nisa’ ini juga jelas menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki untuk membelanjakan harta mereka untuk kaum wanita di dalam keluarganya.

Namun realiti kebanyakan yang berlaku di kalangan kita adalah berbeza.

Orang hanya bergaduh bab bagaimana nak bahagikan harta pusaka. Hanya sibuk menggunakan ayat hukum faraid untuk menuntut hak harta pusaka, tapi jarang sekali membincangkan bagaimana nak bahagikan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan waris yang ditinggalkan arwah.

Itulah sebenarnya ujian untuk adik-beradik si mati.

Sepatutnya, apabila berlaku kematian seorang bapa atau suami, kaum lelaki daripada keluarga tersebut seharusnya mengambil tanggunjawab untuk menjaga kebajikan waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagilah kalau balu tersebut masih mempunyai anak kecil.

Malangnya apa yang terjadi hari ini, si balu lah yang terpaksa bersusah payah membesarkan anak-anak dengan tiada bantuan daripada ahli keluarga. Saya sendiri, mendapat banyak kes sebegini yang mana balu mengadu terpaksa bersusah payah sendirian membesarkan anak.

Masa pembahagian pusaka masing-masing sibuk berebut. Dah dapat bahagian masing-masing semua senyap. Bila si balu minta sebahagian pusaka arwah suaminya untuk membayar hutang arwah, disuruhnya pula gunakan bahagian faraid yang si balu terima.

Ya, perkara ini memang benar-benar terjadi dalam masyarakat kita.

Solusi Perebutan Harta Pusaka

Kita tidak dapat tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Tetapi apa yang kita tahu, kita boleh bersedia dan merancang untuk menghadapinya,

Maka dengan sebab itulah wujudnya instrumen-instrumen perancangan dan pewarisan harta pusaka di Malaysia seperti pemberian hibah, wasiat pentadbiran, trust deed dan banyak lagi untuk membantu memudahkan dan melancarkan perjalana pengurusan harta pusaka. 

Sebagai contoh, pelantikan wasi (pentadbir) didalam dokumen wasiat bertujuan untuk melancarkan pentadbiran harta pusaka mengikut syarak dan undang-undang. Ini dapat mengelakkan daripada waris yang tidak amanah menguruskan harta pusaka. Ini kerana terdapat waris yang dengan sengaja mengagihkan harta pusaka arwah tanpa menyelesaikan dahulu hutang-hutang arwah.

Padahal di penghujung ayat 11 Surah, Allah jelas memerintahkan kepada waris untuk menyempurnakan wasiat arwah dan membayarkan hutangnya dahulu sebelum diagihkan harta tersebut kepada waris.

“…(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya…”

(Surah An-Nisa’:11)

Islam itu sudah lengkap, cantik dan sempurna tetapi malangnya kita tidak benar-benar memahami dan mengamalkannya secara tuntas.

Baca juga :

1. Bagaimana Cara Untuk Mengelak Rumah Pusaka Daripada Terjual Akibat Waris Berebut Bahagian Faraid
2. Hibah Sebelum Hiba: Ketahui Perbezaan Di Antara Hibah, Wasiat dan Faraid

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.