Layakkah Adik Beradik Tiri Mendapat Harta Pusaka Saya Sekiranya Saya Meninggal Dunia?

Antara permasalahan yang banyak masyarakat keliru adalah berkaitan hak perwarisan ahli keluarga tiri.

Ayah tiri, mak tiri, anak tiri dan adik beradik tiri.

Jawapan bagi persoalan ini tidak straight forward.

Ianya tidak semudah ya atau tidak sahaja. Kita perlu mendapatkan maklumat dan latarbelakang yang lebih terperinci sebelum menjawabnya.

Apakah yang dimaksudkan dengan ahli keluarga tiri?

Yang dikatakan mendapat hak harta pusaka itu, harta pusaka siapa yang dimaksudkan?

Dan beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan dahulu sebelum menjawab soalan; adakah adik beradik tiri berhak mendapat harta pusaka?

Siapa Yang Berhak Mendapat Harta Pusaka?

Mengikut Undang-Undang Pusaka Islam, terdapat tiga sebab kepada seseorang itu berhak memperolehi harta pusaka. Sama ada disebabkan nasab (pertalian darah), nikah (perkahwinan) dan al-wala’.

Daripada sudut bahagian penerimaan harta pusaka, setiap ahli waris berbeza mengikut keakraban susur galur hubungan waris dengan si mati.

Sebagai contoh; isteri, suami dan anak-anak merupakan waris terdekat yang didahulukan pembahagian harta pusaka untuk mereka.

Manakala adik beradik arwah pula dikemudiankan pembahagian mereka. Mereka hanya berhak menerima harta pusaka arwah sekiranya arwah tidak meninggalkan anak lelaki dan/atau bapa.

Bahagian Faraid Adik-Beradik

Seperti yang telah dinyatakan di atas, adik beradik kepada si mati, hanya boleh menerima bahagian faraid mereka jika arwah tidak mempunyai walau seorang anak lelaki dan/atau bapa.

Jika arwah ketika meninggal dunia tidak mempunyai anak lelaki sama ada tak pernah berkahwin, atau berkahwin tetapi tidak mempunyai anak lelaki atau mempunyai anak lelaki tetapi telah meninggal dunia, maka barulah adik beradik kepada arwah mendapat hak dalam pembahagian harta pusaka.

Berapa bahagian adik beradik?

Berbeza mengikut keakraban susur galur hubungan. Merujuk kepada Surah An-Nisa’ ayat 12 dan 176, jenis keakraban ini boleh dibahagikan kepada dua.

1. Bagi adik beradik seibu dan sebapa (adik beradik kandung) dan adik beradik sebapa (adik beradik tiri).

  • Jika hanya ada seorang sahaja waris perempuan (adik beradik), maka bahagiannya adalah ½ daripada baki harta pusaka tersebut.
  • Jika hanya ada seorang sahaja waris lelaki (adik beradik), maka bahagiannya adalah kesemua baki yang tinggal.
  • Jika ada 2 orang sahaja waris perempuan (adik beradik), maka bahagian mereka adalah 2/3 daripada baki harta pusaka yang ada.
  • Jika ada waris lelaki dan perempuan, tak kisah berapa orang, maka bahagian mereka adalah lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian.

Pembahagian ini telah jelas Allah tunjukkan dalam Surah An-Nisa’ ayat 176.

“.. Jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan..”

2. Bagi adik-beradik seibu (adik-beradik tiri)

  • Jika hanya ada waris tunggal (adik beradik) sama ada lelaki atau perempuan, maka bahagian waris tersebut adalah 1/6 daripada baki harta pusaka.
  • Jika waris yang ada (adik beradik) lebih dari seorang, maka bahagian mereka semua adalah 2/3 daripada baki harta pusaka.

Pembahagian ini juga telah Allah jelaskan dalam Surah yang sama pada ayat 12.

“.. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)..”

Kesimpulannya

Adik beradik tiri turut mempunyai hak dalam pembahagian harta pusaka. Walaubagaimanapun, seperti adik beradik kandung, hak faraid mereka hanya ada jika telah penuh syarat-syaratnya iaitu arwah tidak mempunyai anak lelaki dan bapa sudah meninggal dunia.

Merujuk kepada dua ayat daripada Surah An-Nisa, terdapat perbezaan pembahagian harta pusaka bagi adik beradik tiri sebelah bapa dengan sebelah ibu. Ini kerana keakraban susur galur hubungan adalah lebih rapat di sebelah bapa.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.