Jasa Angkatan Tentera Malaysia Tidak Dilupakan

Pada 2 November 2018 yang lalu, telah berlangsungnya pembentangan belanjawan bagi tahun 2019 oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia. Bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2019 menumpukan kepada 3 Fokus dengan 12 Strategi Utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.

Tiga fokus tersebut adalah

  • Melaksanakan reformasi institusi
  • Memastikan kesejahteraan rakyat
  • Memupuk budaya negara keusahawanan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam pertahanan negara kita yang tercinta. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meliputi tiga cabang ketenteraan yang utama iaitu

  • Tentera Darat Malaysia (TDM)
  • Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
  • Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

‘Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia pada belanjawan tahun 2018, manakala pada belanjawan tahun 2019 berlaku sedikit pengurangan hampir sebanyak 10 peratus tetapi bahagian emolumen tidak terjejas” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Dalam Belanjawan 2019, peruntukan untuk veteran ATM bertambah sebanyak RM20 juta berbanding belanjawan 2018. Ini menunjukkan bahawa belanjawan 2019 memberikan penghargaan terutamanya buat anggota dan bekas tentera. Bahagian emolumen tidak terusik dan itu merupakan berita paling penting kepada ahli angkatan tentera dan kakitangan, serta bekas anggota.

Justeru itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan kepada semua anggota keselamatan negara, yang merangkumi pasukan polis dan anggota tentera; yang telah berkorban jiwa dan raga demi menjaga keamanan serta kedaulatan negara kita yang tercinta ini. Bak kata peribahasa “Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”, kerana keamanan memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua belah pihak.

Ditulis oleh Nur Hafizhah binti Johari, pelajar tahun akhir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.