Kerajaan Masih Kaji Mekanisme Berkesan Agih Bantuan, Subsidi – Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) —  Kerajaan masih di peringkat mengkaji mekanisme bagi pengagihan bantuan dan subsidi secara paling berkesan serta mudah kepada rakyat, kata Kementerian Ekonomi.

Antara kaedah itu termasuk pengagihan menerusi e-baucar, e-dompet atau penyaluran tunai secara terus melalui akaun bank.

“Sebagai contoh, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah secara tunai akan disalurkan terus ke dalam akaun bank penerima manakala skim-skim bantuan terpilih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menggunakan e-dompet.

“Bagaimanapun, penyaluran bantuan secara tunai masih perlu dipertimbangkan untuk penerima di kawasan luar bandar yang berdepan kesukaran capaian rangkaian telekomunikasi.

“Oleh itu, mekanisme ini perlu diteliti dengan lebih lanjut bagi memastikan agihan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan memudahkan penerima,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini. 

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Tuan Azli Yusof (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem e-dompet secara menyeluruh untuk menggantikan bantuan tunai dalam pelaksanaan bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan barangan asas.

Menjelaskan selanjutnya, kementerian berkata selaras dengan langkah ke arah pendigitalan ekonomi, pelaksanaan ekosistem tanpa tunai seperti e-dompet juga dapat menggalakkan masyarakat untuk menggunapakai teknologi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA