Saat ini ramai memperkatakan tentang kemungkinan kembalinya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita semua pastinya secara peribadi atau mengenali mereka yang kehidupannya terjejas akibat pelaksaan PKP terutamanya dalam hal sumber pendapatan.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan mereka menunjukkan bahawa kadar pengangguran meningkat drastic akibat pelaksanaan PKP. Daripada 610 ribu orang menganggur pada bulan Mac. Jumlah itu menjadi 826 ribu orang pada bulan Mei 2020.
Selain itu, kita sendiri atau kita mengenali mereka yang diberikan cuti tanpa gaji, dibuang kerja, atau dipotong gaji mereka. Ini tentunya menjejaskan kehidupan mereka dan keluarga.
Apa yang mungkin boleh kita sama-sama lakukan bagi membantu situasi ini?
Antara galakan yang telah menjadi budaya kita adalah bersedekah. Tetapi adakah kita tahu bahawa yang lebih dituntut adalah memberi sedekah kepada ahli keluarga kita?
Di dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud:
“Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan”. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”
Dalam ayat di atas Allah memberi keutamaan kepada kedua ibu bapa, kemudian kaum kerabat, kemudian barulah kepada anak yatim, fakir miskin, dan seterusnya. Namun realiti hari ini, berapa ramai yang mencari ahli keluarga dahulu untuk memberikan sedekah.
Baik sedekah untuk keperluan harian, makan minum, pembayaran hutang, belajar universiti, dan sebagainya. Banyak ruang sedekah sebenarnya terkandung dalam keluarga kita tanpa kita sedari.
Selain itu, dalam satu hadis riwayat Imam Muslim bahawasanya daripada Thauban RA, beliau berkata:
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah.”
Juga lebih menarik hadis riwayat Ahmad yang bermaksud:
Rasulullah bersabda: “Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.”
Ada juga amalan masyarakat kita yang mempunyai tabung kecemasan keluarga besar dan kecil. Setiap bulan, setiap ahli keluarga perlu memasukkan beberapa peratus daripada pendapatan ke dalam tabung ini untuk digunakan oleh ahli keluarga lain yang memerlukan. Ini merupakan contoh inisiatif yang baik yang perlu dikomersialkan hari ini.
Begitulah keutamaan pemberian sedekah kepada keluarga yang disebut dalam Islam. Marilah sama-sama kita berazam menjadikan amalan bersedekah kepada keluarga ini sebagai keutamaan terutamanya dalam kita sama-sama menghadapi pandemik COVID-19 ini.
Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani.
Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:
1. Aliran tunai 2. Pengurusan aset dan hutang 3. Simpanan 4. Perlindungan 5. Pelaburan 6. Penyucian 7. Pewarisan
Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com
Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.
Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?
Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.
Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.
Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.
1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE
Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.
Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.
Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.
Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.
Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.
Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.
Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.
2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian
Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:
Gaji tahunan: RM72,000
Bonus: RM8,000
Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.
Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.
Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM8,000 × 19% = RM1,520
Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.
Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.
Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.
3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan
Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.
Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.
Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.
Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.
4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan
Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.
Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.
Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.
Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.
Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.
Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE
5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari
Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.
Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.
Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM3,000 × 19% = RM570
Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.
Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.
HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.
6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank
Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.
Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.
7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak
Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.
Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.
Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM2,000 × 19% = RM380
Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.
Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.
Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.
8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah
Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.
Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.
Pendapatan sewa setahun:
RM1,200 × 12 bulan = RM14,400
Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.
Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM11,400 × 19% = RM2,166
Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.
Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.
9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen
Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.
Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.
Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.
Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.
Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM18,000 × 19% = RM3,420
Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.
Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.
10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai
Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.
Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?
Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.
Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.
Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.
Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?
Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.
Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:
Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.
Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.