Laporan Situasi Kredit 2021 Experian: Pandemik dan Kesannya ke atas Tabiat Kredit Pengguna Malaysia

Sudah 21 bulan lamanya pandemik COVID-19 melanda negara ini. Akibat daripada itu, beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan yang memaksa rakyat Malaysia tinggal di rumah selama berbulan-bulan. Pandemik ini juga telah mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi Malaysia, dimana ia membantukan pertumbuhan dan melemahkan kedudukan kewangan ramai pengguna. 

Keadaan ini telah menyebabkan rakyat Malaysia semakin menitikberatkan tentang kesihatan kewangan tatkala mereka mengharungi situasi pekerjaan dan ekonomi yang tidak menentu.

Namun begitu, skor kredit pengguna Experian – Experian i-SCORE (i-SCORE) yang merupakan petunjuk berangka kelayakan kredit seseorang individu pada satu-satu masa telah menyaksikan sedikit peningkatan, dengan purata skor kredit meningkat 18 mata daripada 601 pada 2019 (sebelum pandemik) kepada 619 pada 2021, iaitu purata i-SCORE tertinggi dalam tempoh 4 tahun yang lalu. Trend ini mencadangkan bahawa kebanyakan pengguna telah berjaya menguruskan pembayaran balik kredit mereka di sepanjang tempoh 2 tahun yang lalu, ketika dilanda COVID-19.

Nota: Julat Experian i-SCORE adalah di antara 300 hingga 800. Skor melebihi 620 dianggap lebih daripada sederhana.

Prestasi ini menunjukkan bahawa campur tangan Bank Negara Malaysia menerusi moratorium dan langkah-langkah sokongan yang lain telah memberikan kesan positif kepada trend ini. Ia turut menunjukkan bahawa wujud perubahan sikap di kalangan rakyat Malaysia ke arah perbelanjaan yang lebih berhemah ketika berdepan dengan iklim ekonomi yang serba mencabar ini.

Ini adalah salah satu daripada dapatan utama yang terkandung di dalam laporan tahunan pertama Situasi Kredit 2021 Experian Malaysia ke atas pengguna. Laporan ini menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia, berusia 22 tahun dan ke atas menguruskan kewangan peribadi mereka dalam tempoh 4 tahun yang lalu.

Ia dapat dilihat kepada prestasi kredit para pengguna di seluruh Malaysia, dengan penumpuan terhadap skor kredit dan tabiat meminjam mereka berhubungan dengan kredit. Untuk mendapatkan konteks ‘sebelum dan selepas’ yang lebih relevan, laporan ini turut menunjukkan data daripada tahun pra-pandemik 2018 dan 2019, tahun pandemik 2020, dan sehingga suku ketiga 2021.

Rajah 1: Ringkasan Dapatan

Laporan Situasi Kredit Experian merakamkan 3 tema utama pandemik ini yang mempengaruhi tabiat kredit pengguna:

1. Kejayaan Pakej Sokongan Fiskal Malaysia

Contoh pengaruh positif paling ketara yang disebabkan oleh inisiatif sokongan kerajaan ialah penurunan tunggakan pembayaran kredit. Ianya dapat dilihat merentasi semua kumpulan usia, walaupun pada ketika kadar pengangguran sedang meningkat dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Rajah 2: Peratusan Individu dengan Jumlah Hari Tertunggak (DPD) 90 Hari atau Lebih (2018-2021)

Malah, peratusan 90 hari ‘Jumlah Hari Tertunggak’ individu atau Days Past Due (DPD) telah menurun 0.7 peratus daripada 2.5 peratus pada 2018 kepada 1.8 peratus pada 2021. 

Rakyat Malaysia berusia 22 hingga 28 tahun mempunyai purata DPD tertinggi di sepanjang tempoh 4 tahun tetapi menunjukkan penurunan daripada 6.2 peratus kepada 3.8 peratus. 

Golongan belia mungkin mengalami kesan yang lebih buruk akibat pandemik yang melanda, kerana mereka masih di peringkat awal kerjaya dengan jumlah pendapatan dan simpanan lebih sederhana berbanding golongan dewasa yang lebih berusia. Kadar pengangguran di kalangan segmen ini juga tinggi dalam tempoh 2 tahun yang lalu.

Rajah 3: Purata Experian i-Score bagi Individu

Rakyat Malaysia berusia 35 tahun dan ke bawah turut mempunyai i-SCORE terendah di kalangan 5 kumpulan usia. Berbeza dengan rakan mereka yang lebih muda yang mungkin tidak mempunyai pendapatan yang kukuh, mereka yang berusia di antara 29 hingga 35 tahun ini mungkin juga terpaksa berdepan dengan komitmen kewangan yang lebih tinggi memandangkan mereka ini sedang berada dalam peringkat mula berkeluarga. Oleh itu, 2 kumpulan ini juga mungkin perlu memberikan perhatian yang lebih terhadap pengurusan produk kewangan yang lebih baik tatkala mereka mengharungi normal yang seterusnya dalam ekonomi Malaysia. 

Sementara itu, individu berusia 65 tahun dan ke atas mengekalkan kadar tunggakan mereka pada 1.1 peratus di sepanjang tempoh 4 tahun yang lalu.

2. Daya Tahan Ekonomi Isi Rumah Malaysia 

Para pengguna juga mungkin menggunakan wang rangsangan yang diterima daripada PEMULIH, i-Citra dan bantuan-bantuan lain di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membayar bil serta hutang mereka. Selain itu, moratorium pinjaman bank yang dilanjutkan sehingga penghujung 2021 sememangnya sangat membantu. Disiplin fiskal yang ditunjukkan oleh isi rumah Malaysia telah membantu meningkatkan purata skor merentasi semua kumpulan usia dalam tempoh 2 tahun lalu berbanding dengan 2018 dan 2019. 

“Dapatan daripada Laporan Situasi Kredit 2021 kami yang pertama ke atas pengguna ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya berdaya tahan, dalam kebanyakan perkara. Mereka membuat keputusan yang bijak ketika berdepan dengan kesukaran dan mereka juga tangkas menyesuaikan tabiat kewangan mereka mengikut perubahan persekitaran atau keadaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services Malaysia, Dawn Lai

Rajah 4: Purata Baki Kad Kredit Individu 

Trend tingkah laku ini terus dapat dilihat menerusi purata baki kad kredit bagi 5 kumpulan usia berkenaan yang berkurangan sebanyak 4.5 peratus daripada RM4,101 pada 2019 kepada RM3,917 pada 2021. Purata penggunaan kad kredit juga menurun ke tahap terendah iaitu 22.8 peratus pada 2021 merentasi semua kumpulan usia dalam tempoh yang sama. 

3. Perubahan Tingkah Laku Unik Disebabkan Oleh Pandemik 

Isi rumah Malaysia mengambil lebih banyak hutang untuk pinjaman gadai janji dan sewa beli di sepanjang tahun yang terkesan akibat COVID-19. Inisiatif kerajaan seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga penghujung 2021 mendorong aktiviti pembelian hartanah dan kenderaan. Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyatakan bahawa sehingga Februari 2021, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sedang berjalan telah mencapai jumlah jualan bernilai RM25.65 bilion dengan 34,354 unit kediaman berjaya dijual.  

Rajah 5: Purata Baki Pinjaman Gadai Janji Individu (2018-2021) 

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat peningkatan 17.0 peratus purata tunggakan baki pinjaman gadai janji daripada 2018 hingga 2021 (daripada RM275,895 kepada RM322,760). Begitu juga, terdapat peningkatan 13.2 peratus purata baki pinjaman sewa beli daripada 2018 hingga 2021 (daripada RM37,343 kepada RM42,384). 

Rajah 6: Purata Baki Pinjaman Sewa Beli Individu

Dari segi pinjaman sewa beli, para pengguna telah mengambil lebih banyak kredit pada 2021, dengan peningkatan 13.2 peratus purata pinjaman sewa beli merentasi semua kumpulan usia daripada RM37,434 pada 2018 kepada RM42,384 pada 2021. Para pengguna mungkin telah membuat lebih banyak pinjaman sewa beli dari rumah pada tahun-tahun yang terkesan dengan COVID-19, memandangkan bekerja dari rumah telah menjadi satu norma yang baru. 

“Experian menjangkakan bahawa para pengguna yang pendapatannya tidak begitu terjejas akan terus mengalihkan pelaburan mereka ke arah pembelian hartanah. Sementara itu, bank dan institusi pemberi pinjaman juga akan terus menawarkan pinjaman bercagar kepada pengguna, sebagaimana yang ditunjukkan menerusi peningkatan kadar kelulusan pinjaman hartanah,” tambah Lai. 

Kesimpulan

Kedua-dua pihak pemberi pinjaman dan pengguna perlu menilai semula dengan lebih teliti kedudukan kewangan mereka pada 2022. Pemberi pinjaman perlu lebih berinovasi dalam cara baru untuk menyediakan pembiayaan semula yang terbaik bagi membantu para pengguna dalam tempoh sukar, manakala peminjam perlu menjadi lebih proaktif untuk segera tampil mendapatkan bantuan yang mereka perlukan bagi mengatasi kesukaran yang dialami.

“Kami mengalu-alukan inisiatif bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember mengenai pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) untuk para peminjam yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Segmen B50 rakyat Malaysia yang terjejas teruk kerana kehilangan pekerjaan atau pendapatan boleh menerima bantuan yang tepat sehingga mereka berjaya menstabilkan semula kedudukan kewangan mereka. Kami menggesa rakyat Malaysia agar tampil ke hadapan sebelum penghujung bulan ini dan segera menghubungi AKPK atau bank anda bagi memohon bantuan ini,” ujar Lai.

Sebagai kesimpulan, Laporan Situasi Kredit 2021 Experian menggariskan bahawa generasi muda Malaysia mungkin memerlukan bantuan kewangan yang lebih besar dalam bentuk pembiayaan semula serta pendidikan kewangan kerana mereka menunjukkan kelemahan yang ketara dari segi skor dan pembayaran. 


“Sementara kita menantikan apa yang bakal berlaku pada tahun ini, kita perlu memastikan bahawa pelaksanaan langkah-langkah perlindungan kritikal yang merangkumi literasi kewangan terus dipergiatkan dan didalami untuk generasi akan datang. Di Experian, kempen literasi kewangan “Know Money” kami sentiasa menawarkan pelbagai nasihat dan aktiviti berkaitan kewangan kepada para pengguna di sepanjang tahun bagi membantu rakyat Malaysia mengawal kesihatan kredit mereka dan ke arah membuat keputusan kewangan yang lebih bijak di sepanjang hayat,” jelas Lai.

Dapatkan maklumat lanjut di experianplc.com atau kunjungi hab kandungan global menerusi blog berita global kami untuk mendapatkan berita dan maklumat terkini daripada Kumpulan kami.

Previous ArticleNext Article

Mastercard Memperkenalkan Penyelesaian Risikan Ancaman Pertama Untuk Memerangi Penipuan Pembayaran Secara Besar-Besaran

MALAYSIA – 30 Oktober 2025 – Hari ini, Mastercard mengumumkan pelancaran Mastercard Threat Intelligence, penawaran risikan ancaman pertama yang digunakan secara meluas dalam pembayaran. Penyelesaian ini menggabungkan pandangan global Mastercard mengenai penipuan dengan risikan ancaman siber daripada Recorded Future, bagi memperkasa institusi kewangan di seluruh Asia Pasifik (APAC) untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap penipuan yang didayakan oleh siber dengan lebih pantas dan tepat.

Jurang risikan antara pasukan siber dan pasukan penipuan kekal kritikal. 60% eksekutif global dalam bidang penipuan dan risiko hanya dimaklumkan mengenai pelanggaran data siber selepas kerugian penipuan bermula, angka ini meningkat kepada 67% di seluruh APAC. Begitu juga, 83% pemimpin institusi kewangan APAC melaporkan rasa kecewa terhadap kekurangan integrasi risikan ancaman siber masa nyata (CTI).

“Penipuan pembayaran kini bukan lagi sekadar isu sistem pembayaran — ia adalah cabaran keselamatan siber yang memberi kesan langsung terhadap keuntungan sesebuah organisasi,”
kata Matthew Driver, Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan, Asia Pasifik di Mastercard.
“Mastercard Threat Intelligence menjembatani jurang komunikasi, membolehkan pasukan penipuan dan keselamatan bekerjasama dengan lancar untuk menghentikan penipuan sebelum ia berlaku.”

“Asia Pasifik sedang menyaksikan lonjakan dalam penipuan yang didayakan oleh siber, dan keperluan untuk risikan bersepadu tidak pernah begitu mendesak,”
kata Aditi Sawhney, Naib Presiden Kanan Penyelesaian Keselamatan, Asia Pasifik di Mastercard.
“Kami membantu pelanggan kami beralih daripada tindak balas yang terpecah-pecah kepada strategi pertahanan bersepadu berasaskan risikan yang memperkukuh daya tahan dalam keseluruhan ekosistem pembayaran.”

Mastercard Threat Intelligence menawarkan kepada pelanggan beberapa ciri utama berikut:

  • Pengesanan ujian kad: Amaran masa nyata dan penolakan proaktif terhadap transaksi ujian palsu, mengurangkan penipuan susulan dan melindungi pemegang kad.
  • Risikan pengimbasan digital: Data kuantitatif untuk menilai kesan pengimbas dan menghapuskan perisian hasad berkaitan kad dengan memanfaatkan kerjasama industri Mastercard.
  • Risikan ancaman peniaga: Pandangan sasaran untuk menilai risiko peniaga dan membolehkan tindak balas insiden yang lebih pantas.
  • Risikan ancaman ekosistem pembayaran: Laporan mingguan mengenai ancaman dan kelemahan baharu merentasi landskap pembayaran global.
  • Laporan risikan pembayaran: Kajian kes yang boleh diambil tindakan dan analisis trend penipuan untuk memaklumkan strategi dan memperkukuh pertahanan.

Silo operasi terus mencabar daya tahan risiko. Dua daripada tiga pemimpin penipuan dan risiko di seluruh dunia menyorot silo sebagai kebimbangan utama, dengan 72% pemimpin APAC menganggap isu berakar ini sebagai keutamaan tertinggi mereka.

“Silo operasi dalam pasukan penipuan dan siber terus membelenggu pemimpin risiko sebagai kebimbangan besar,” kata Driver.
“Dengan Mastercard Threat Intelligence, kami memberikan pelanggan kami keupayaan pandangan global, risikan ancaman, dan alat untuk mencegah penipuan serta beroperasi dengan selamat dalam dunia yang saling berhubung.”

Walaupun terdapat cabaran, pemimpin APAC turut menyaksikan manfaat daripada integrasi yang dipertingkatkan. Sebilangan besar (89%) institusi di rantau ini melaporkan tindak balas pertahanan penipuan yang lebih pantas selepas usaha integrasi dijalankan, mendahului semua rantau global dari segi peningkatan kelajuan.

Pelancaran Mastercard Threat Intelligence hadir kurang daripada setahun selepas Mastercard memuktamadkan pengambilalihan Recorded Future, dan menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat untuk menyampaikan pendekatan bersepadu berasaskan risikan bagi melindungi ekonomi digital.

Sepanjang tempoh ujian pasaran selama enam bulan, data risikan Mastercard telah membantu rakan-rakan ekosistem mengenal pasti dan menutup domain berniat jahat yang dikaitkan dengan kecurian data kad pembayaran, yang menjejaskan hampir 9,500 laman e-dagang dan dianggarkan menyebabkan kerugian penipuan sebanyak USD120 juta.

Mastercard Threat Intelligence kini tersedia untuk penerbit dan pemeroleh di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Mastercard.