Sebenarnya Menyimpan Itu Merugikan Duit, Jadi Apa Perlu Kita Buat?

Walaupun pahit untuk diterima, tetapi realitinya menyimpan sahaja tidak baik untuk kewangan anda. Tahukah anda bahawa wang kertas mengalami penyusutan nilai setiap tahun?

Sebagai contoh, pada tahun 1990 kita dapat beli sebungkus nasi lemak pada harga RM0.50 sahaja. Pada tahun 2018, kita terpaksa beli sebungkus nasi lemak pada harga RM2.00 bagi nasi lemak yang sama!

Mengapa boleh berlaku sebegini?

Inflasi Adalah Puncanya

Hal ini kerana duit kita semakin berkurang nilainya disebabkan oleh inflasi. Dalam bahasa yang mudah, inflasi membawa maksud harga barang meningkat atau kuasa membeli berkurang.

Kadar inflasi di negara ini secara puratanya adalah pada kadar 3% setahun. Dalam maksud yang pertama iaitu harga barang meningkat, ianya boleh dilihat dalam contoh berikut. Katakan nilai sebungkus nasi lemak pada hari ini bersamaan dengan RM2.

Pada 30 tahun akan datang, harga nasi lemak tersebut akan menjadi RM4.85 pada kadar inflasi 3%.

Akan tetapi, jika inflasi meningkat sehingga 4%, nasi lemak yang sama akan menjadi RM6.49 dalam masa 30 tahun akan datang.

Kuasa Membeli Juga Berkurang

Hal ini juga bermaksud, setiap tahun duit kita menyusut nilainya pada kadar 3%. Sebagai contoh, duit RM100 pada hari ini mempunyai kuasa membeli dengan RM97 pada tahun depan.

Walaupun nombor yang tertera pada wang tersebut masih sama, RM100 tetapi kuasa membeli anda menjadi makin rendah. Ini berlaku kerana peningkatan harga barang seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi nasi lemak di atas.

Wang Disimpan Di Dalam Bank

Simpanan di bank memberikan akan pulangan sekitar 1-2% setahun. Ini sangatlah merugikan kerana semakin banyak anda menyimpan di bank, semakin banyak duit anda yang akan dimamah inflasi. Hal ini dibuktikan melalui ilustrasi berikut:

Katakan anda menyimpan RM100,000 dalam akaun simpanan bank yang memberikan pulangan 2% setahun. Selepas 30 tahun, wang anda akan menjadi RM74,625.70 sahaja. Ini membuktikan bahawa duit anda telah dimakan oleh inflasi dengan begitu banyak.

Sebaliknya, jika wang yang disimpan itu dilaburkan, ianya dapat berkembang dari semasa ke semasa. Dalam merancang pengurusan kewangan kita, salah satu elemen yang penting yang perlu dilihat adalah kadar pulangan pelaburan tersebut dapat mengatasi kadar inflasi.

Pelaburan Dengan Pulangan 7%

Jika anda melabur dalam satu instrumen pelaburan yang memberikan pulangan pada kadar 7%, anda akan melihat wang anda daripada RM100,000 berkembang menjadi lebih besar. Ilustrasi di bawah membuktikannya:

RM100,000 diletakkan ke dalam satu instrumen yang memberikan pulangan 7%. Selepas 30 tahun, pelaburan anda akan berkembang menjadi RM313,614.83! Anda telah berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM200,000 lebih!

Pelaburan Dengan Pulangan 10%

Mari kita lihat pula bagaimana jika anda mengambil risiko yang lebih tinggi untuk pelaburan yang menawarkan keuntungan yang lebih tinggi. Ilustrasinya seperti berikut.

Walaupun 7% dan 10% tidaklah begitu besar perbezaan dari segi angkanya, tetapi ianya perbezaan yang sangat besar apabila melibatkan pelaburan. Bagi tempoh pelaburan yang sama, dengan keuntungan sebanyak 10%, hasil pelaburan anda menjadi RM718,892.27!

Melaburlah Untuk Mengatasi Inflasi

Jadi sebagai seorang pelabur yang bijak, anda perlulah mengoptimumkan peluang pelaburan anda. Ini kerana, jika anda hanya menyimpan duit sahaja, ianya akan dimakan oleh inflasi. Sebaliknya jika anda melabur, duit dapat berkembang menjadi lebih banyak.

Oleh sebab itu, dapat dibuktikan bahawasanya dengan menyimpan adalah sangat merugikan anda. Walaubagaimanapun, kita disarankan untuk mempunyai 3 ke 6 bulan simpanan untuk tujuan simpanan kecemasan. Bila dah ada jumlah tersebut, barulah kita mulakan langkah untuk melabur.

Ditulis oleh Tuan Faiz Wahab. Boleh juga follow beliau di media sosial:

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.