OneCoin: Skim Penipuan Mata Wang Digital Terbesar Di Dunia

Setiap tahun ada saja kes skim penipuan yang berjaya menipu orang ramai. Modus operandi skim ini adalah dengan menjanjikan keuntungan pelaburan yang tinggi dalam tempoh yang singkat kepada mereka yang melabur di dalamnya.

Walaupun orang ramai tahu bahawa skim ini menjanjikan pulangan yang tak masuk akal dan salah di sisi undang-undang, masih ramai lagi yang terjebak.

Jom lihat bagaimana skim cepat kaya yang menggunakan mata wang digital sebagai modus operandi yang dilakukan oleh Dr Ruja Ignatova, seorang wanita yang berasal dari Bulgaria.

Siapa Dr Ruja Ignatova?

Pada usia 10 tahun, beliau mengikuti ibu bapanya dan berhijrah ke Jerman. Beliau mendapat pendidkan di Jerman sehingga ke peringkat doktor falsafah di sebuah universiti swasta.

Sebelum mengasaskan syarikat pelaburan berasakan mata wang digital ini, Dr Ruja telah ditahan oleh pihak berkuasa Jerman pada tahun 2012 di atas kesalahan menipu. Selepas peristiwa tersebut, beliau telah memulakan sebuah syarikat yang dikenali sebagai OneCoin pada tahun 2014.

Beliau memanupulasi keadaan semasa pada ketika itu, apabila Bitcoin sangat popular dan digemari oleh pelabur generasi baharu. Melalui syarikat ini, Dr Ruja telah berjaya memperdaya ramai mangsa terutamanya dari negara Eropah dan China.

Kredit Gambar: Pinterest

Dengan penampilan yang meyakinkan, beliau telah berjaya meyakinkan orang ramai bahawa syarikatnya ini bakal menggantikan Bitcoin pada masa hadapan. Dr Ruja menggunakan speaker yang berpengaruh ketika memberi ucapan yang berkobar-kobar bagi menarik peserta baru untuk menyertai program mereka.

Wajahnya turut terpampang di Majalah Forbes di Bulgaria sekaligus menjadikannya public figure. Takkan orang terkenal nak menipu pula kan?

Modus Operandi OneCoin

Sama seperti mata wang digital yang lain, OneCoin mendakwa bahawa untuk mendapatkan OneCoin, mereka perlu melombong sama seperti Bitcoin. Mereka juga mendakwa, OneCoin dapat dilombong sehingga 120 bilion coin dan ianya boleh digunakan di seluruh dunia.

Apa yang membezakan OneCoin dengan mata wang digital yang lain adalah, Dr Ruja telah meletakkan pakej perniagaan menggunakan sistem multi-level marketing (MLM) di dalam sistem OneCoin. Peserta perlu membayar sejumlah wang untuk mendapatkan token yang akan digunakan untuk membeli program pendidikan seperti program pelaburan saham dan analisis pasaran saham.

Kredit Gambar: Hacker Noon

Sesiapa yang mencari peserta lain untuk menyertai program ini akan diberi komisyen sebagai hadiah membawa masuk ahli (mangsa) baru.

Akhirnya pada tahun 2016, aktiviti jenayahnya mula terbongkar apabila peserta yang menyertai program ini membuat aduan. Syarikat telah gagal untuk membuat IPO seperti yang dijanjikan oleh Dr Ruja.

Ini menyebabkan pelabur ingin mengambil kembali wang pelaburan mereka. Malangnya, wang pelaburan tersebut lesap bersama dengan Dr Ruja.

Dr Ruja Ignatova Masih Belum Ditemui

Dr Ruja Ignatova didapati telah menghilangkan diri. Pihak FBI mula membuka kertas siasatan terhadap kegiatan beliau. Segala aktiviti yang dijalankan oleh Dr Ruja kini berada di bahu adik kandungnya, Konstantin Ignatov yang meneruskan aktiviti OneCoin.

Pada tahun 2019, adiknya berjaya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah di atas kesalahan menggubah wang haram. Penipuan yang dilakukan oleh Dr Ruja dianggarkan bernilai USD4 bilion dan merupakan penipuan terbesar di dalam sejarah mata wang digital.

Kredit Gambar: Coinnounce

Konstantin Ignatov telah mengaku bersalah di atas semua kesalahan jenayah dilakukannya dan bakal dipenjara selama 90 tahun di atas kesalahan tersebut. Walaubagaimanapun, kakaknya masih lagi bebas dan lokasi Dr Ruja Ignatova masih lagi menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.