Kuala Lumpur, Malaysia – Oktober 22, 2025 – Susulan pengumuman Belanjawan 2026 oleh kerajaan yang memberi penekanan baharu terhadap pemberdayaan PKS, pembiayaan mampan dan pembangunan ekosistem Halal di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, microLEAP dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) mengumumkan satu kerjasama strategik bagi memperluas peluang pembiayaan patuh Syariah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang diperakui Halal.
Kerjasama ini menyokong fokus Belanjawan 2026 dalam memperkasa ekonomi Halal Malaysia sebagai tonggak utama pertumbuhan negara, di samping menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang beraspirasikan “Halal Malaysia yang Terserlah, Tersusun dan Bertaraf Global”. Secara khususnya, inisiatif ini selaras dengan Teras Strategik 4: Pemerkasaan Kualiti dan Pembangunan Infrastruktur Bersepadu, dengan memperkukuh infrastruktur kewangan serta akses kepada modal bagi membolehkan perusahaan Halal berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama ini, lebih daripada 14,000 ahli berdaftar di bawah Platform Integrasi Halal (HIP) HDC akan mendapat akses kepada ekosistem pembiayaan patuh Syariah microLEAP, yang membolehkan mereka mendapatkan pembiayaan untuk pengembangan perniagaan, persediaan pensijilan Halal dan peluang pertumbuhan baharu.
microLEAP, sebuah platform Pembiayaan Rakan Setara (P2P) patuh Syariah yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, menawarkan dua pilihan pembiayaan utama yang direka khusus untuk memenuhi keperluan PKS. Produk Pembiayaan Mikro menyediakan akses kepada dana sehingga RM50,000 bagi perniagaan kecil yang memerlukan modal kerja atau pengembangan awal, manakala Pembiayaan Invois menawarkan had lembut sehingga RM500,000 bagi perusahaan yang mempunyai keperluan operasi dan aliran tunai yang lebih besar. Kedua-dua penyelesaian ini direka untuk memberikan PKS Halal pilihan pembiayaan yang fleksibel, beretika dan telus, selaras dengan prinsip Syariah.
Kerjasama dengan HDC juga akan menyelaraskan kesiapsiagaan kewangan dengan piawaian pensijilan, membantu usahawan beralih daripada status diperakui Halal kepada menjadi lebih berdaya saing dalam industri. Selain itu, inisiatif ini turut bertujuan menggalakkan lebih ramai pelabur untuk menyertai pembiayaan PKS berasaskan Syariah, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap tadbir urus dan daya tahan sektor ini.
Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, berkata bahawa kerjasama ini merupakan penjajaran tepat antara hala tuju dasar negara dan pelaksanaan pasaran. “Misi kami adalah untuk membuka laluan pembiayaan yang adil, telus dan mudah diakses. Dengan Belanjawan 2026 yang menggariskan hala tuju jelas bagi pertumbuhan yang mampan dan inklusif, pembiayaan patuh Syariah mesti memainkan peranan utama dalam memperkasa PKS Halal. Kerjasama dengan HDC membolehkan kami memperluas visi ini dengan lebih bermakna, membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan untuk berkembang, mengeksport dan menyumbang kepada kepimpinan Malaysia dalam ekonomi Halal global.”
Sejak tahun 2019, microLEAP telah menyalurkan lebih RM438.6 juta dalam pembiayaan patuh Syariah kepada 357 PKS merangkumi sektor perdagangan, perkhidmatan, makanan dan minuman, teknologi serta kejuruteraan. Pada suku ketiga tahun 2025, platform ini telah menyalurkan RM57.5 juta, peningkatan sebanyak 113 peratus tahun ke tahun. Sehingga Oktober 2025, kadar gagal microLEAP telah menurun kepada 0.34 peratus, menggambarkan kualiti portfolio yang kukuh dan amalan kredit yang berhemat.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata kerjasama ini mengukuhkan matlamat jangka panjang Malaysia untuk memajukan ekonomi Islam sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan negara. “Belanjawan 2026 dan Pelan Induk Industri Halal 2030 kedua-duanya mengiktiraf sektor Halal sebagai pemangkin inovasi dan keterangkuman. Cabaran sebenar bagi perniagaan Halal bukanlah sekadar mendapatkan pensijilan, tetapi akses kepada modal. Dengan adanya kerjasama bersama microLEAP, kami menyokong misi HIMP 2030 untuk membina ekosistem Halal yang bersepadu dan berdaya saing, di mana perniagaan dapat berkembang secara mampan, berinovasi dengan yakin dan bersaing di peringkat global.”
Kerjasama antara microLEAP dan HDC ini merupakan langkah konkrit ke arah mengintegrasikan pembiayaan patuh Syariah dalam infrastruktur industri Halal negara. Selaras dengan pelaksanaan Belanjawan 2026 dan HIMP 2030, kedua-dua organisasi ini komited untuk memastikan PKS Halal bukan sahaja menjadi peserta patuh dalam ekonomi, tetapi juga pemacu utama pertumbuhan, inovasi dan daya saing global Malaysia.