PIDM Dan MAB Bangunkan Modul Literasi Kewangan Bagi Komuniti Orang Buta

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) meneruskan kerjasama mereka dengan melancarkan modul literasi kewangan yang bertujuan meningkatkan pendedahan komuniti orang buta di Malaysia kepada pendidikan kewangan. Komuniti orang buta menghadapi kesukaran untuk mengakses bahan-bahan yang dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman mereka tentang kewangan.

“Sebagai pihak berkuasa yang dimandatkan oleh kerajaan untuk melindungi simpanan pendeposit dalam bank-bank ahli kami, kami amat memahami kesukaran yang dihadapi golongan kurang upaya penglihatan. Seperti mana orang lain, mereka juga perlu mendapat akses kepada pengetahuan bagi meningkatkan kesihatan kewangan dan juga daya tahan kewangan mereka,” kata Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi, Naib Presiden Eksekutif, PIDM.

Beliau menjelaskan, PIDM juga mengambil langkah untuk memastikan maklumat tentang  insurans deposit mampu diperoleh dengan mudah oleh orang buta. Laman web PIDM telah ditambah baik pada awal tahun ini bagi memudahkan mereka yang mengalami masalah penglihatan untuk menggunakannya.

“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PIDM untuk memastikan komuniti orang buta juga celik kewangan. Sememangnya menjadi visi MAB agar mereka yang buta dan kurang upaya penglihatan mempunyai pengetahuan yang dapat membantu mereka menguruskan kewangan dan pendapatan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas.

Modul literasi kewangan tersebut menjadi sebahagian daripada latihan yang perlu diikuti untuk mendapat Sijil Kemahiran Malaysia di MAB dan ia boleh didapati dalam format tulisan Braille dan CD (cakera padat) audio. Modul ini merangkumi topik tentang perancangan kewangan, belanjawan, pengurusan hutang, produk perbankan dan insurans, selain maklumat berkaitan sistem perlindungan PIDM dan penipuan kewangan.

CD berkenaan akan diedarkan kepada  para pelajar dan ahli MAB, serta sekolah dan perpustakaan yang mempunyai kemudahan bersepadu untuk orang buta. Individu buta yang bukan ahli persatuan juga boleh mendapat salinan CD berkenaan daripada MAB.

PIDM telah memberikan sokongan kepada MAB sejak tahun 2020, bermula dengan sumbangan 1,000 kit keselamatan kepada ahli persatuan tersebut bagi memastikan mereka dijauhi daripada penularan wabak COVID-19.

Tahun lepas, PIDM telah menaja pembelian 10 unit mesin taip tulisan Braille atau Perkins Brailler bagi  memudahkan para pelajar buta mengikuti kelas literasi dan komunikasi, serta  menaja 2,000 pek makanan untuk  penerima suntikan vaksinasi dan petugas barisan hadapan, selain 170 bakul makanan untuk keluarga orang buta.

PIDM  juga sedang melaksanakan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan yang kedua sehingga 30 September 2022. Orang ramai dipelawa untuk mengambil bahagian dalam kempen berkenaan bagi meningkatkan kefahaman dan daya tahan kewangan. Laman mikro kempen ialah www.pidm.gov.my/SPK.

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.