Raikan Lebaran Dengan Kesederhanaan

Sudah dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara sehingga menyebabkan pergerakan rakyat terbatas ketika berhari raya susulan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Peralihan ke fasa endemik yang bermula April ini menjadi permulaan baharu buat rakyat Malaysia dan memberikan kegembiraan kepada seluruh umat Islam yang bakal menyambut Hari Raya pada awal bulan Mei nanti. 

Sememangnya ramai merindukan suasana beraya di kampung dan juga sanak saudara yang sudah lama tidak dikunjungi. Namun, timbul persoalan adakah kita sudah benar-benar bersedia dari segi kewangan untuk  menyambut Hari Raya seperti tahun sebelum berlakunya pandemik? 

Pasti masih segar dalam ingatan bagaimana kita menyambut Hari Raya dalam norma baharu sewaktu pandemik. Antaranya ialah perayaan hanya dibenarkan di kawasan atau daerah tempat tinggal sahaja berikutan larangan merentas negeri, tiada aktiviti rumah terbuka dan sambutan fizikal hanya dilakukan sesama ahli keluarga serumah.

Amalan ziarah-menziarahi telah digantikan dengan komunikasi secara maya melalui teknologi digital dan media sosial, dan jumlah jemaah solat Aidilfitri di masjid-masjid telah dihadkan mengikut kesesuaian dan keluasan. Malah, ramai yang telah dinaikkan status menjadi imam solat tarawih dan solat Aidilfitri di rumah masing-masing bersama keluarga. 

Family with one daughter cooking and preparing food during eid celebration in Malaysia

Tahun ini, kita dijangka dapat berhari raya mengikut tradisi dan aktiviti hari raya yang biasa  dilakukan sebelum COVID-19 melanda negara. Antaranya ialah pulang ke kampung dengan merentas negeri, berkumpul bersama sanak saudara di pagi hari raya dan amalan ziarah menziarahi sesama sahabat handai, saudara mara dan jiran tetangga.

Namun, harus diingat, tradisi dan aktiviti ini perlu disokong dengan persediaan awal dan teliti dari segi kewangan.  Sebagai contoh, kenderaan perlu diselenggara dengan sempurna dan selamat sebelum  melakukan perjalanan pulang ke kampung serta perbelanjaan baju raya baharu, juadah dan kuih raya, duit raya dan sebagainya tentu mahu dipastikan cukup dan sempurna. 

Oleh itu, pada tahun ini dari mana datangnya sumber kewangan untuk menyambut Hari Raya?  Kebiasaannya, ada antara kita memang sudah ada sumber kewangan seperti simpanan khas  untuk dibelanjakan bagi persiapan hari raya atau ada juga yang memperuntukkan gaji bulanan  semasa untuk berbelanja. Itu sememangnya perancangan yang baik dan boleh diterima. 

Bagaimana pula sekiranya kewangan untuk perbelanjaan hari raya datang daripada sumber lain seperti pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman daripada saudara mara atau rakan-rakan?  Atau lebih bahaya dan tidak selamat, daripada peminjam wang tidak berlesen?

Harus diingat ada antara kita yang sedang berusaha untuk kembali bangkit daripada kesulitan  kewangan setelah mengalami situasi seperti hilang pekerjaan dan punca pendapatan ketika  pandemik. Pendek kata, kita rata-rata sedang dalam proses membina semula kehidupan  untuk kembali seperti sediakala.

Sudah tentu kita tidak mahu perayaan hari raya yang bakal  disambut nanti akan mendatangkan kesusahan lagi selepas itu, iaitu terbeban dengan hutang perbelanjaan hari raya pula. Oleh itu, trend berbelanja sakan untuk Hari Raya ini perlu dihentikan dan dijauhi. 

Sebaik-baiknya, kita perlu mengambil peluang untuk merebut ganjaran yang ada di bulan  Ramadan ini dengan pengisian-pengisian yang baik dan bukannya amalan yang membazir.  Malah, sepanjang dua tahun kita berhari raya dalam fasa pandemik, kita telah pun  membuktikan bahawa kita mampu menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan sempurna  dalam norma baharu yang lebih menjurus kepada kesederhanaan. 

Justeru itu, orang ramai disarankan untuk terus bersederhana dan membuat bajet raya yang sesuai dengan keadaan kewangan semasa. Senaraikan barang yang ingin dibeli dan catat semua perbelanjaan, kenal pasti keperluan sebenar, disiplinkan diri dengan mematuhi segala perancangan bajet yang telah diperuntukkan dan semak semula bajet dan perbelanjaan dari semasa ke semasa. 

Selepas menyambut perayaan, jangan lupa untuk membuat ‘post mortem’. Lihat dan semak semula perbelanjaan sebenar yang berlaku dan periksa kembali aliran tunai. Pastikan segala  komitmen anda dengan institusi kewangan dibayar dengan baik mengikut jadual dan jumlah yang telah dipersetujui dengan insititusi kewangan. Jadikan hasil ‘post mortem’ ini sebagai  satu permulaan untuk merancang kewangan dengan lebih baik demi menambah baik  perancangan untuk perbelanjaan raya pada tahun akan datang. 

Insya-Allah, dengan adanya bajet raya yang realistik kita dapat berbelanja mengikut kemampuan, tiada tunggakan hutang selepas raya, masih ada duit yang cukup untuk  menampung kehidupan selepas raya, dan sudah tentu, minda kita menjadi lebih tenang.  AKPK Sahabat Kewangan Anda. 

AKPK Secara Ringkas 

AKPK menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh  semua individu isi rumah mahupun Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Perkhidmatan ini  boleh diakses dari laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul  pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran  kewangan—semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan  kewangan kepada kakitangan mereka. 

Selain itu, AKPK juga memberikan khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi masalah dalam bayaran balik pinjaman serta menawarkan bantuan melalui  Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu, dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil  (SPPK) untuk PKS dan perusahaan mikro. Melalui program dan skim ini, AKPK membantu  untuk membuat rundingan dengan pihak bank atau pemberi kredit untuk menstrukturkan  semula bayaran balik pinjaman dan merumuskan satu pelan bayaran balik  pinjaman/pembiayaan baharu mengikut kemampuan semasa peminjam/pelanggan. 

Jika anda memerlukan pelan penyelesaian pengurusan kewangan yang holistik, dapatkan terus daripada AKPK SECARA PERCUMA—TANPA EJEN. Layari services.akpk.org.my  untuk mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah  dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK. 

Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit kami adalah percuma dan kami  tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami. Berhubunglah  terus dengan AKPK dan jangan terpedaya dengan panggilan atau tawaran pihak ketiga yang  mendakwa sebagai kakitangan AKPK atau menawarkan perkhidmatan dengan bayaran/caj  tambahan. 

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan  kepada semua perkhidmatan AKPK, anda juga boleh melayari laman media sosial rasmi  AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok. #AKPKSahabatKewanganAnda 

Artikel ini disumbangkan oleh En Syaiful Anuar Bokhari, Ketua Cawangan AKPK Negeri Melaka.

Previous ArticleNext Article

Mastercard Memperkenalkan Penyelesaian Risikan Ancaman Pertama Untuk Memerangi Penipuan Pembayaran Secara Besar-Besaran

MALAYSIA – 30 Oktober 2025 – Hari ini, Mastercard mengumumkan pelancaran Mastercard Threat Intelligence, penawaran risikan ancaman pertama yang digunakan secara meluas dalam pembayaran. Penyelesaian ini menggabungkan pandangan global Mastercard mengenai penipuan dengan risikan ancaman siber daripada Recorded Future, bagi memperkasa institusi kewangan di seluruh Asia Pasifik (APAC) untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap penipuan yang didayakan oleh siber dengan lebih pantas dan tepat.

Jurang risikan antara pasukan siber dan pasukan penipuan kekal kritikal. 60% eksekutif global dalam bidang penipuan dan risiko hanya dimaklumkan mengenai pelanggaran data siber selepas kerugian penipuan bermula, angka ini meningkat kepada 67% di seluruh APAC. Begitu juga, 83% pemimpin institusi kewangan APAC melaporkan rasa kecewa terhadap kekurangan integrasi risikan ancaman siber masa nyata (CTI).

“Penipuan pembayaran kini bukan lagi sekadar isu sistem pembayaran — ia adalah cabaran keselamatan siber yang memberi kesan langsung terhadap keuntungan sesebuah organisasi,”
kata Matthew Driver, Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan, Asia Pasifik di Mastercard.
“Mastercard Threat Intelligence menjembatani jurang komunikasi, membolehkan pasukan penipuan dan keselamatan bekerjasama dengan lancar untuk menghentikan penipuan sebelum ia berlaku.”

“Asia Pasifik sedang menyaksikan lonjakan dalam penipuan yang didayakan oleh siber, dan keperluan untuk risikan bersepadu tidak pernah begitu mendesak,”
kata Aditi Sawhney, Naib Presiden Kanan Penyelesaian Keselamatan, Asia Pasifik di Mastercard.
“Kami membantu pelanggan kami beralih daripada tindak balas yang terpecah-pecah kepada strategi pertahanan bersepadu berasaskan risikan yang memperkukuh daya tahan dalam keseluruhan ekosistem pembayaran.”

Mastercard Threat Intelligence menawarkan kepada pelanggan beberapa ciri utama berikut:

  • Pengesanan ujian kad: Amaran masa nyata dan penolakan proaktif terhadap transaksi ujian palsu, mengurangkan penipuan susulan dan melindungi pemegang kad.
  • Risikan pengimbasan digital: Data kuantitatif untuk menilai kesan pengimbas dan menghapuskan perisian hasad berkaitan kad dengan memanfaatkan kerjasama industri Mastercard.
  • Risikan ancaman peniaga: Pandangan sasaran untuk menilai risiko peniaga dan membolehkan tindak balas insiden yang lebih pantas.
  • Risikan ancaman ekosistem pembayaran: Laporan mingguan mengenai ancaman dan kelemahan baharu merentasi landskap pembayaran global.
  • Laporan risikan pembayaran: Kajian kes yang boleh diambil tindakan dan analisis trend penipuan untuk memaklumkan strategi dan memperkukuh pertahanan.

Silo operasi terus mencabar daya tahan risiko. Dua daripada tiga pemimpin penipuan dan risiko di seluruh dunia menyorot silo sebagai kebimbangan utama, dengan 72% pemimpin APAC menganggap isu berakar ini sebagai keutamaan tertinggi mereka.

“Silo operasi dalam pasukan penipuan dan siber terus membelenggu pemimpin risiko sebagai kebimbangan besar,” kata Driver.
“Dengan Mastercard Threat Intelligence, kami memberikan pelanggan kami keupayaan pandangan global, risikan ancaman, dan alat untuk mencegah penipuan serta beroperasi dengan selamat dalam dunia yang saling berhubung.”

Walaupun terdapat cabaran, pemimpin APAC turut menyaksikan manfaat daripada integrasi yang dipertingkatkan. Sebilangan besar (89%) institusi di rantau ini melaporkan tindak balas pertahanan penipuan yang lebih pantas selepas usaha integrasi dijalankan, mendahului semua rantau global dari segi peningkatan kelajuan.

Pelancaran Mastercard Threat Intelligence hadir kurang daripada setahun selepas Mastercard memuktamadkan pengambilalihan Recorded Future, dan menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat untuk menyampaikan pendekatan bersepadu berasaskan risikan bagi melindungi ekonomi digital.

Sepanjang tempoh ujian pasaran selama enam bulan, data risikan Mastercard telah membantu rakan-rakan ekosistem mengenal pasti dan menutup domain berniat jahat yang dikaitkan dengan kecurian data kad pembayaran, yang menjejaskan hampir 9,500 laman e-dagang dan dianggarkan menyebabkan kerugian penipuan sebanyak USD120 juta.

Mastercard Threat Intelligence kini tersedia untuk penerbit dan pemeroleh di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Mastercard.