Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Pendekatan Kurang Agresif AS Terhadap China

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Ringgit meningkat semula untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan laporan mengenai pendekatan Presiden AS Donald Trump yang kini kurang agresif terhadap China.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2335/2550 berbanding dolar AS daripada 4.2400/2490 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.23 peratus kepada 98.392 mata apabila Trump dilaporkan mengambil pendekatan yang kurang keras terhadap China, walaupun defisit dagangan dengan kuasa besar ekonomi kedua terbesar dunia itu terus meningkat.

“Pada masa sama, terdapat laporan mengenai kemungkinan pemecatan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell oleh Trump yang turut menyumbang kepada sentimen positif dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata ringgit diunjurkan mencatatkan sedikit peningkatan hari ini selepas susut 0.07 peratus kepada 4.2445 semalam.

Ketika dibuka, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama, kecuali pound British.

Unit tempatan naik berbanding pound British kepada 5.6767/7055 daripada 5.6786/6907 ketika ditutup semalam, namun ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8603/8750 daripada 2.8508/8569.

Ringgit juga turun berbanding euro kepada 4.9257/9507 daripada 4.9248/9352.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2987/3159 daripada 3.2999/3071 ketika ditutup semalam, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 259.9/261.3 daripada 260.3/260.9.

Ringgit turut lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.46 daripada 7.43/7.45 namun, turun berbanding baht Thailand kepada 13.0322/1076 daripada 13.0301/0630.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.