Sejak daripada kecil kita diajar untuk mempunyai impian. Ada yang memasang impian untuk menjadi doktor, peguam dan polis. Kalau kita imbas kembali waktu belajar di Darjah 1, cikgu akan tanya setiap seorang daripada kita tentang impian dan cita-cita.
Namun setiap impian hanya akan menjadi angan-angan tanpa sebarang tindakan dan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang. Kita hanya diajar untuk ada impian dan perlu belajar bersungguh-sungguh untuk capai impian kita.
Setiap tahun pula kita akan dengar tentang azam tahun baru. Masuk tahun baru, ramai akan ada azam baru untuk perjalanan hidup selama setahun. Ramai yang ambil tindakan daripada azam tahu baru, ramai juga yang hanya akan perbaharui azam sama setiap tahun yang belum tercapai.
Apa matlamat kewangan anda?
Masing-masing perlu fikirkan matlamat kewangan yang kita idamkan. Namun boleh kita simpulkan beberapa faktor yang mungkin boleh dijadikan panduan.
1. Dana Persaraan
Menurut data dari KWSP setakat akhir tahun 2018, hanya 36% dari pencarum berumur 54 tahun mempunyai simpanan mencukupi untuk dana persaraan. 64% hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.
Data ini sangat membimbangkan kerana selepas persaraan kita mahu berehat setelah bekerja selama berpuluh tahun lamanya. Sekiranya dana persaraan tidak mencukupi, ada kemungkinan kita terpaksa bekerja sehingga lewat usia demi meneruskan kelangsungan hidup.
2. Dana Percutian
Ramai yang mengimpikan untuk mengembara ke seluruh pelosok dunia, bawa anak ke Disneyland, melihat aurora di Canada, air terjun Niagara di New York atau pun menaiki pesawat pelancongan ke angkasa lepas.
Tapi kalau duit nak bersara pun tak berapa nak ada, nampak gayanya tinggal angan-angan sajalah.
3. Legasi Keluarga
Ada sesetengah orang yang mahu berikan yang terbaik untuk anak mereka. Kumpul rumah pelaburan sebagai hadiah untuk anak-anak bila mereka dewasa.
Semakin ramai anak, semakin mereka berusaha keras untuk memberikan segala-galanya dengan harapan anak mereka hidup senang di kemudian hari.
Siapa yang tak sayang anak kan?
4. Philanthropist
Inspirasi dari co-founder Microsoft, Bill Gates yang suka menderma kekayaan beliau melalui Bill & Melinda Gates Foundation. Ada juga mengambil inspirasi dari Syed Mokhtar Al-Bukhary, jutawan Melayu yang berjaya.
Rasanya ramai yang nak kaya agar dapat bantu ramai orang yang susah, Islam sendiri pun menganjurkan kita supaya jadi kaya agar dapat mengeluarkan zakat.
Walau apapun matlamat kewangan kita, penting untuk kita kenalpasti cara dan jalan untuk kita mencapai matlamat yang kita tuju. Cita-cita tanpa tindakan hanyalah angan-angan seperti kisah mat jenin.
Namun begitu, untuk kaya kita perlu melabur. Dan pulangan kepada pelaburan ditentukan oleh tiga perkara:
1. Time Lagi cepat kita mulakan, lagi lama kita melabur maka lebih banyak pulangan hasil dari pulangan yang berganda. Pulangan tahunan sekiranya tidak dikeluarkan akan makin bertambah selari dengan konsep compounding interest.
2. Modal Setiap pelaburan perlu bermula dengan modal. Semakin banyak modal, semakin banyak pulangan pelaburan. Modal ini perlu bermula dengan simpanan hasil dari pekerjaan dan gaji kita. Simpan sebanyak yang kita mampu supaya modal besar dan pulangan pasti lebih besar.
3. Compounding Interest (Faedah Pengkompaunan) Sekiranya kita mendapat pulangan dari pelaburan, pulangan boleh dilaburkan semula untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan. Duit pula yang bekerja untuk kita.
Sekiranya nak capai matlamat kewangan, pastikan kita bermula sekarang dengan modal yang ada. Jangan bertangguh kerana semakin lambat kita bermula, semakin sukar untuk kita capai matlamat kewangan yang kita idamkan.
Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.
Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?
Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.
KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.
Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.
Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?
Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.
Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.
Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.
1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE
Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.
Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.
Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.
Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.
Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.
Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.
Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.
2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian
Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:
Gaji tahunan: RM72,000
Bonus: RM8,000
Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.
Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.
Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM8,000 × 19% = RM1,520
Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.
Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.
Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.
3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan
Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.
Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.
Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.
Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.
4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan
Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.
Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.
Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.
Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.
Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.
Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE
5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari
Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.
Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.
Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM3,000 × 19% = RM570
Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.
Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.
HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.
6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank
Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.
Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.
7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak
Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.
Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.
Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM2,000 × 19% = RM380
Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.
Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.
Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.
8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah
Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.
Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.
Pendapatan sewa setahun:
RM1,200 × 12 bulan = RM14,400
Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.
Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM11,400 × 19% = RM2,166
Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.
Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.
9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen
Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.
Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.
Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.
Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.
Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM18,000 × 19% = RM3,420
Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.
Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.
10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai
Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.
Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?
Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.
Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.
Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.
Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?
Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.
Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:
Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.
Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.