Kaspersky: Keselamatan Blockchain Halang Jenayah Mata Wang Kripto

KUALA LUMPUR, 13 Julai  (Bernama) — Kaspersky yang merupakan sebuah syarikat keselamatan siber global menumpukan kepada pembangunan keselamatan blockchain bagi membantu memerangi jenayah mata wang kripto (penipuan dan scam).

Pengarah Urusan Kaspersky untuk Asia Pasifik Chris Connell berkata membangunkan keselamatan blockchain sentiasa menjadi antara keutamaan mereka memandangkan teknologi itu makin berkembang pesat.

“Keselamatan siber mata wang kripto pada masa ini masih di peringkat awal dan menjadi tugas kami untuk terus membangunkan produk kami bagi mencuba dan menyesuaikan diri dengan pasaran mata wang kripto yang sentiasa berubah,” katanya kepada pemberita dalam temu bual di sini hari ini.

Beliau juga berkata teknologi digital boleh berubah dalam masa sejam tetapi adalah penting untuk memastikan seseorang itu melakukan perkara yang betul dan sesuai bagi menyesuaikan diri dengan perubahan itu dengan cepat atau sekurang-kurangnya cuba mendahului penjenayah siber.

“Oleh itu, ia (keselamatan siber mata wang kripto) adalah penting dan pastinya berada dalam radar kami,” katanya, sambil menambah bahawa Kaspersky telah mematenkan teknologi blockchain untuk pemindahan data peribadi yang selamat pada 22 Februari, 2022.

Pakar-pakar Kaspersky memantau dengan teliti halaman pancingan data yang menyasarkan kepada pelabur kripto berpotensi serta fail berniat jahat yang diedarkan di bawah nama 20 dompet mata wang kripto paling popular, jelas Connell.

Beliau berkata sejak awal 2022, produk Kaspersky mengesan dan menghalang hampir 200,000 percubaan untuk mencuri mata wang digital pengguna dan perakuan ke dompet mereka melalui pancingan data.

Jumlah bilangan percubaan sedemikian hampir mencecah 50,000 pada April, iaitu separuh daripada petunjuk bagi suku pertama 2022, katanya.

Menurut Kaspersky, dompet kripto ialah sasaran utama untuk penipuan dan aktiviti yang berniat jahat.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kaspersky-keselamatan-blockchain-halang-jenayah-mata-wang-kripto/

Previous ArticleNext Article

Luno Memacu Peranan Malaysia Sebagai Hab Inovasi Kewangan Serantau Melalui Penginstitusian Aset Digital

Petaling Jaya, 25 September 2025 – Luno, bursa aset digital (DAX) terkemuka yang dikawal selia di Malaysia, terus mengukuhkan dan menekankan komitmennya dalam membentuk ekosistem aset digital yang semakin matang melalui penganjuran Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC). Persidangan sulung dan berprestij ini, yang julung kali diadakan khusus untuk institusi kewangan di Malaysia, mengetengahkan peranan strategik aset digital dalam usaha mempelbagaikan portfolio institusi. Inisiatif ini sekali gus mengangkat kepimpinan Malaysia dalam bidang inovasi kewangan melalui sokongan proaktif terhadap aset digital yang dikawal selia.

Lebih daripada 300 inovator, pengurus dana institusi, penasihat kewangan, pengawal selia dan perintis Web3 dari seluruh rantau telah berhimpun untuk membincangkan amalan terbaik dalam aspek pematuhan, keselamatan dan pengurusan risiko. Persidangan ini turut menumpukan kepada pemetaan momentum global terhadap penerimaan institusi, di samping meneroka peluang unik serta kelebihan tempatan dalam bidang aset digital, seperti kepimpinan Malaysia dalam memajukan inovasi teknologi kewangan Islam di peringkat global.

“Dengan mata wang digital, kewangan ternyahpusat dan teknologi blockchain yang memacu inovasi, aset digital kini merupakan kelas aset berkembang yang mesti diterima untuk kemampanan jangka panjang. LIDAC 2025 menyediakan platform untuk memperdalam pemahaman, bertukar-tukar idea, dan meneroka bagaimana institusi boleh mengintegrasikan aset digital secara bertanggungjawab ke dalam penawaran mereka,” kata YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, dalam ucapan pembukaannya.

Menampilkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kewangan digital

Semasa persidangan, James Lanigan, Ketua Pegawai Eksekutif Luno, menekankan kedudukan aset digital sebagai kelas aset versatil bertaraf institusi, sambil menyorot kerjasama Luno dalam ekosistem Malaysia bagi memacu gelombang pertumbuhan seterusnya. Dalam menggariskan transformasi perspektif terhadap aset digital, Dr Wong Huei Ching, Pengarah Eksekutif, Strategi Digital & Inovasi di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), memberikan gambaran tentang pendirian pengawalseliaan SC, serta menekankan kepentingan prinsip asas dalam memupuk inovasi kewangan digital yang bertanggungjawab.

“Ekosistem aset digital telah berkembang daripada penglibatan berasaskan pelabur runcit kepada penerimaan institusi. Kini, wujud keperluan mendesak untuk menyelaraskan inovasi dengan integriti melalui pendekatan pengawalseliaan yang kolaboratif dan kondusif. Menerusi Luno Institutional Digital Asset Conference (LIDAC), kami berhasrat untuk memainkan peranan proaktif dalam menampilkan potensi dan kelayakan Malaysia sebagai peneraju inovasi kewangan, di samping memajukan landskap aset digital negara,” kata Scarlett Chai, Pengurus Negara Luno Malaysia.

Dalam meneroka faktor makro yang mendorong minat institusi terhadap aset digital, Jeff Yew, Ketua Pegawai Eksekutif Monochrome Asset Management, membincangkan evolusi produk dan perkhidmatan bertaraf institusi, selain menekankan potensi institusi Malaysia dalam bidang aset digital. Menyentuh aspek kewangan Islam, Tan Sri Dato Dr Mohd. Daud Bakar, Pengerusi Amanie Advisors, berkongsi pandangan mengenai integrasi prinsip Syariah dalam ekosistem aset digital, yang menegaskan kepimpinan Malaysia dalam memajukan inovasi teknologi kewangan Islam di peringkat global.

Mengorak langkah ke Suku Keempat dan 2026

LIDAC 2025 diadakan selepas setahun yang produktif bagi Luno Malaysia, dengan pelancaran Luno Bundles pada akhir 2024. Produk ini menawarkan pulangan yang mencerminkan prestasi keseluruhan pasaran kripto dengan merangkumi antara 5 hingga 10 mata wang kripto berprestasi tertinggi berdasarkan modal pasaran. Tahun 2025 juga menyaksikan pelancaran Algorand (ALGO), NEAR Protocol, Hedera (HBAR) dan The Graph (GRT), menjadikan jumlah keseluruhan penawaran di bursa meningkat kepada 22 aset digital.

Sejak 2019, Luno telah membolehkan, memperkasakan, dan menyokong kira-kira 2 juta rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dengan aset digital secara selamat dan terjamin. Melalui penganjuran LIDAC, Luno kini melangkah ke fasa baharu dalam usaha memajukan ekosistem aset digital Malaysia dengan memupuk dialog yang lebih mendalam serta menyediakan platform kolaborasi yang lebih meluas antara kewangan tradisional dan Web3.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Facebook dan Instagram Luno Malaysia.