
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — FeedMe, syarikat pemula niaga hospitaliti dari Malaysia adalah antara 23 pemula niaga dipilih dari seluruh Asia Pasifik (APAC) menyertai Akademi AI Google pertama kali diadakan di rantau ini.
Ketua Pegawai Teknologi FeedMe, Lo King Wei berkata FeedMe sedang membangunkan platform perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS) dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk merevolusikan kecekapan perniagaan makanan dan minuman.
“Di FeedMe, kami membantu pemilik restoran membuat keputusan lebih pantas dan tepat untuk mengembangkan perniagaan mereka. Menerusi bimbingan daripada Akademi AI Google, kami sasar untuk mencapai keputusan transformatif untuk penyelesaian disediakan FeedMe,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, Ketua Google untuk Startups Asia Pasifik, Michael Kim meluahkan rasa keterujaan untuk memulakan Akademi AI Google buat julung kalinya di Asia Pasifik.
“AI mempunyai potensi menghasilkan impak berganda luar biasa dan ia adalah sesuatu yang sangat mengagumkan untuk melihat 23 syarikat pemula peniaga ini memanfaatkan potensi AI bagi menangani cabaran sukar,” katanya.
Beliau berkata pelbagai cabaran tersebut termasuk menangani sektor yang kurang menerima perkhidmatan seperti memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan, membina kolaborator AI untuk golongan peguam serta mendemokrasikan pemasaran pempengaruh dengan avatar dijana AI.
“Melalui program ini, kami berharap untuk memupuk gelombang inovasi yang akan memberi kesan membanggakan di seluruh rantau Asia-Pasifik,” katanya.
Akademi AI direka bentuk untuk membantu syarikat pemula memperhalusi penyelesaian AI mereka dan memajukan pertumbuhan perniagaan mereka, program itu bermula minggu ini dengan kem latihan interaktif selama tiga hari di Singapura, menghimpunkan semua pengasas syarikat pemula niaga dari Malaysia dan enam negara lain iaitu Korea, Jepun, India, Indonesia, Singapura, dan Pakistan.
Syarikat pemula niaga dalam program ini akan menerima lebih 170 jam bimbingan khusus daripada pakar AI dan Cloud, sehingga US$350,000 (US$1 = RM4.30) dalam bentuk kredit Google Cloud dan peluang berhubung dengan rakan inovator AI di seluruh rantau Asia Pasifik.
Sesi kemuncak Akademi AI akan berlangsung pada bulan Disember depan dengan Hari Graduasi, pada hari berkenaan syarikat pemula niaga akan mempamerkan penyelesaian AI yang telah ditambah baik kepada para pelabur, usahawan dan pemimpin industri AI.
— BERNAMA












