IATA Sambut Baik Sambung Pencarian MH370, Penting Untuk Rungkai Kebenaran

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyambut baik usaha menyambung semula operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada akhir bulan ini, menyatakan bahawa komuniti penerbangan global terus bertekad untuk merungkai kebenaran di sebalik kehilangan pesawat tersebut.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh menegaskan bahawa menentukan punca kehilangan pesawat Boeing 777 itu kekal penting untuk keselamatan penerbangan global dan sebarang data atau teknologi baharu yang berwibawa dapat membantu pencarian perlu dimanfaatkan.

“Penting untuk kita melakukan apa jua usaha bagi menemukan pesawat itu dan memahami apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada Bernama pada Taklimat Media Global IATA di ibu pejabatnya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity yang akan menyambung semula pencarian pesawat itu yang hilang pada 8 Mac 2014, membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Kehilangan MH370 yang dalam penerbangan komersial rutin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, terus menjadi antara misteri terbesar dalam dunia penerbangan.

Menurut laporan, radar tentera kemudian mengesan pesawat itu berpatah balik merentasi Semenanjung Malaysia dan bergerak ke arah Laut Andaman sebelum ia hilang daripada semua sistem pengesanan.

Walsh berkata IATA yang berpangkalan di Geneva, yang mewakili syarikat penerbangan dan menetapkan piawaian global untuk keselamatan, kecekapan dan kemampanan, menyokong sebarang usaha baharu oleh kerajaan atau pasukan teknikal untuk mencari Boeing 777 yang hilang itu.

Lokasi terakhir pesawat tersebut masih belum ditemui.

“Semua orang mahu pesawat itu ditemui dan semua orang ingin memahami apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata persatuan itu mengalu-alukan sebarang usaha yang menyumbang kepada kemajuan siasatan dan kehilangan MH370 yang terus memberi kesan mendalam kepada keluarga, industri dan masyarakat.

“Saya pasti keluarga yang terlibat mengalu-alukan usaha menyambung semula operasi pencarian pesawat itu sepertimana semua pihak dalam industri ini kerana kita semua ingin tahu apa yang berlaku,” katanya.

Awal bulan ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan bahawa operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 akan disambung semula pada 30 Disember ini.

Ocean Infinity telah mengesahkan kepada kerajaan Malaysia bahawa operasi pencarian di dasar laut secara berperingkat selama 55 hari dimulakan semula.

Meskipun operasi pencarian laut dalam yang terbesar dan termahal dalam sejarah penerbangan melibatkan Malaysia, Australia dan China, pesawat itu tidak ditemui.

Pencarian asal meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan digantung pada 2017 selepas dua tahun.

Hanya serpihan berselerak yang disahkan daripada MH370 ditemui, dijumpai di beberapa pulau di bahagian barat Lautan Hindi selepas hanyut mengikut arus.

Usaha pencarian pada awal tahun ini bermula pada Mac lepas tetapi dihentikan sementara berikutan cuaca buruk.

Menurut laporan berita, syarikat itu menyatakan keyakinan bahawa teknologi robotik dan pemetaan yang dipertingkatkan serta pengajaran daripada misi terdahulu, memberikan usaha baharu ini peluang kejayaan yang lebih kukuh.

Ocean Infinity berkata kumpulan kapal tinjau robotiknya adalah neutral karbon dan jauh lebih cekap berbanding platform laut dalam tradisional.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

EPMB Bakal Keluarkan Kereta Elektrik Pintar XPENG Di Melaka

KUALA LUMPUR: EP Manufacturing Bhd (EPMB) dan XPENG menjalin kerjasama strategik bagi menubuhkan pengeluaran setempat kenderaan elektrik (EV) pintar di Melaka.

Melalui kerjasama ini, XPENG yang juga syarikat mobiliti dipacu kecerdasan buatan (AI) akan memanfaatkan kepakaran pembuatan tempatan EPMB yang meluas.

Selain itu, ia akan menyokong kapasiti pengeluaran yang terbukti serta pengetahuan pasaran yang mendalam untuk menghasilkan EV pintar canggih yang disesuaikan dengan keperluan pengguna di Malaysia dan ASEAN.

Pengeluaran setempat itu juga akan membolehkan XPENG memperkukuh integrasinya dalam pasaran serantau, meningkatkan keupayaan tindak balas serta mengukuhkan daya saingnya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah, berkata kerjasama itu sejajar dengan visi kerajaan untuk membangunkan ekonomi hijau dan memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi.

Beliau berkata, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan ekosistem industri kenderaan tenaga baharu (NEV) negara serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di peringkat tempatan.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan XPENG, peneraju global dalam teknologi EV pintar. Pakatan strategik ini menggabungkan kecemerlangan EPMB dalam pembuatan automotif selama lebih empat dekad serta kefahaman tempatan kami dengan inovasi kecerdasan dan elektrifikasi termaju XPENG.

“Kedua-dua pihak komited untuk membekalkan EV pintar berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia serta menyokong aspirasi perindustrian mampan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden XPENG, James Wu, berkata penubuhan pengeluaran setempat di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam strategi global XPENG.

Beliau berkata, ia turut mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan terhadap rantau ASEAN.

“Keupayaan terbukti EPMB serta perkongsian visi yang sama menjadikan mereka rakan strategik yang ideal. Inisiatif ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan, mempercepatkan keupayaan tindak balas pasaran serta memperkenalkan teknologi pintar secara sistematik, sekali gus memacu misi ‘Pendemokrasian Teknologi’ di peringkat global,” katanya.

XPENG kini giat memperluaskan kehadiran global apabila dari Januari hingga November 2025, penghantaran luar negara mencecah 39,773 unit, meningkat 95 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Rangkaian jualan dan perkhidmatannya kini merangkumi 52 negara dan wilayah di seluruh dunia dengan 321 cawangan luar negara.

Projek pengeluaran di Malaysia ini akan bersinergi dengan operasi sedia ada XPENG di Eropah dan pasaran Asia Pasifik lain, membentuk ekosistem bersepadu yang merangkumi pengeluaran setempat, jualan, perkhidmatan pengecasan serta operasi pengguna bagi mempercepatkan penembusan pasaran secara mendalam.

— Berita Harian