Jualan Proton Cecah 115,366 Unit Pada Jan-Okt 2022, Atasi Jualan 2021

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Proton Holdings Bhd merekodkan jumlah jualan tertinggi sebanyak 115,366 unit dalam tempoh Jan hingga Okt 2022, mengatasi 114,708 unit yang dijual bagi keseluruhan 2021, dirangsang oleh kejayaan pasaran tempatan dan bahagian eksportnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata sebanyak 13,013 unit (domestik dan eksport) dijual pada Oktober melonjakkan jualan kepada 115,366 unit, menjadikannya hasil jualan terbaik sejak 2014.

Pencapaian itu bermakna jualan setakat tahun ini meningkat sebanyak 33.6 peratus untuk 10 bulan pertama pada tahun ini dan angka itu dijangka terus meningkat dalam dua bulan terakhir tahun 2022, katanya.

Proton menduduki tempat kedua dalam pasaran dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 21.1 peratus bagi bulan Oktober, manakala angka pegangan pasaran setakat tahun ini telah merosot sedikit kepada 19.9 peratus.

“Keseluruhan jumlah volum industri (TIV) bagi Oktober dianggarkan melebihi 60,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut memandangkan pasaran automotif Malaysia kekal pada sasaran untuk memecahkan rekod jumlah jualan,” katanya.

Menurut Proton, model terlarisnya tetap merupakan Proton Saga dengan 5,262 unit lagi telah diserahkan pada Oktober, melonjakkan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 45,965 unit.

“Ini menandakan peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding tahun sebelumnya dan membuktikan model yang dikemas kini dan dilancarkan pada 12 Mei itu lebih popular berbanding model sebelumnya,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pertumbuhan volum empat tahun berturut-turut Proton bertepatan dengan kemasukan jenama itu ke pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan Proton X70.

“Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan walaupun terdapat pelancaran saingan baharu, model itu kekal sebagai peneraju kelas, malah dinamakan sebagai SUV Besar Terbaik di Anugerah Pilihan Editor Carsifu 2022.

“Oleh itu, untuk meraikan ulang tahun yang keempat, kami menawarkan hadiah yang terdiri daripada aksesori bernilai RM1,499, kadar faedah serendah 2.52 peratus dan banyak lagi tawaran menarik daripada pengedar kami jika pelanggan membeli Proton X70 di bulan November,” katanya.

Jumlah Proton X70 kini sebanyak 15,536 unit, manakala jumlah keseluruhan Proton SUV yang telah diserahkan setakat ini berjumlah 48,729 unit pada 2022.

Roslan berkata pertumbuhan bahagian eksport Proton pada tahun ini sejajar dengan hasrat syarikat untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara.

“Walaupun Malaysia tetap menjadi pasaran utama syarikat untuk beberapa waktu akan datang, jualan eksport mempunyai lebih banyak potensi pertumbuhan yang belum diterokai, dan ini bersesuaian dengan sasaran pertumbuhan jangka panjang kami untuk menjadi jenama automotif utama di rantau ini,” tambah beliau.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/jualan-proton-cecah-115366-unit-pada-jan-okt-2022-atasi-jualan-2021/

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.