MYAirline Sedang Berunding Dengan Dua Pelabur Berpotensi

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) — MYAirline Sdn Bhd hari ini berkata bahawa ia telah menerima lebih 15 cadangan daripada pelabur berpotensi, dua daripadanya berada dalam peringkat rundingan lanjutan.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata ia sedang berusaha sepanjang masa untuk memuktamadkan pakej permodalan semula untuk memulihkan operasinya.

“Ini juga akan memudahkan pembayaran balik wang kepada penumpang yang terjejas serta pembayaran gaji dan pembayaran yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga mengulangi kenyataan bahawa ia tidak menamatkan atau mengarahkan mana-mana kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lepas sehingga sekarang.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan dan memberi jaminan kepada mereka bahawa MyAirline melakukan segala yang mampu untuk menangani masalah mereka. Kakitangan diminta untuk bekerjasama dengan syarikat dalam masa yang sukar ini kerana MyAirline melakukan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

MYAirline menggantung operasinya pada 12 Oktober 2023 kerana masalah kewangan.

Syarikat penerbangan itu berkata selain menubuhkan ‘Tabung Ihsan’ secara dalaman untuk mengutip derma untuk disalurkan kepada pekerja yang paling terjejas teruk, MYAirline juga telah membuat perjanjian dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerjanya memohon Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Mengenai bayaran balik untuk penumpang yang terjejas, MYAirline berkata ia telah menerima lebih 30,000 panggilan dan e-mel yang sedang ditangani oleh pasukan khidmat pelanggannya.

Syarikat penerbangan itu berkata bahawa ia bertujuan untuk membayar balik semua bayaran balik sebaik sahaja menerima pakej permodalan semula daripada pelaburnya.

“Kami akan memberi perkembangan terkini kepada penumpang yang dihargai dan pihak berkepentingan berkaitan mengenai pembayaran tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Sunway iLABS Himpunkan Pemimpin Inovasi Global Dan Serantau Di Futurex Ventures Fest 2026, Dirasmikan Oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo

SUNWAY CITY, KUALA LUMPUR – Sunway iLabs, makmal inovasi dan cabang modal teroka korporat (CVC) Sunway Group, menghimpunkan lebih 200 pengasas syarikat, pelabur, wakil kerajaan dan pemimpin korporat di Surf Beach, Sunway Lagoon, bagi FutureX Ventures Fest 2026, yang menampilkan perbincangan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI), trend pelaburan baharu dan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam landskap teknologi Asia Tenggara.

Merasmikan forum tersebut, Menteri Digital Malaysia YB Gobind Singh Deo menegaskan peranan platform seperti ini dalam memajukan aspirasi AI negara dan merujuk kepada Pelan Tindakan AI Nasional 2026–2030 serta Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia sebagai usaha asas yang menyokong hala tuju tersebut.

“Malaysia kini sedang menjadi tempat di mana teknologi dibangunkan, kerjasama dibentuk, dan idea diterjemahkan menjadi peluang sebenar.

Ketika negara bergerak ke arah aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030, platform seperti Sunway iLabs dan FutureX Ventures Fest memainkan peranan penting dalam menghimpunkan pengasas syarikat, pelabur, industri, penyelidik dan kerajaan bagi membantu idea bergerak daripada perbincangan kepada pelaksanaan, serta meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk kepada gelombang pertumbuhan seterusnya di Asia Tenggara,” kata Menteri Digital Malaysia, YB Gobind Singh Deo, semasa ucapan pembukaannya.

Kembali untuk tahun kedua, FutureX Ventures Fest 2026 meneroka penggunaan AI secara praktikal, trend pelaburan baharu dan ekosistem inovasi Asia Tenggara yang semakin berkembang melalui dialog rentas sektor melibatkan pengasas syarikat, pelabur dan pemimpin inovasi dari seluruh rantau dan luar negara.

Diadakan dalam suasana tepi pantai di Sunway Lagoon, forum ini menggalakkan pertukaran idea secara terbuka antara pelabur, pengasas syarikat dan pemimpin teknologi, melangkaui struktur persidangan tradisional untuk membuka peluang pelaburan dalam AI dan deep tech.

Forum ini turut mencerminkan komitmen lebih luas Sunway dalam menyokong ekosistem startup Malaysia melalui kerjasama strategik dengan firma modal teroka tempatan dan serantau, pembangunan bakat AI serta kerjasama dengan rangkaian inovasi global, di samping menghubungkan pengasas syarikat dengan pelabur global dan perkongsian ilmu dalam membina startup AI.

“Sejak sekian lama, Sunway memberi tumpuan untuk membangunkan ekosistem teknologi dan startup Malaysia, selangkah demi selangkah. Bagi memastikan kami membawa pandangan terbaik ke Malaysia ketika penggunaan AI semakin pesat, kami bekerjasama secara langsung dengan firma modal teroka utama dari hab AI dan inovasi dunia. Dengan saluran bakat dan rangkaian modal teroka global yang tersedia, saya percaya kita kini mempunyai ramuan yang tepat untuk membina beberapa syarikat AI paling berimpak di Malaysia,” kata Timbalan Presiden Sunway Group, Evan Cheah.

Perbincangan sepanjang forum tertumpu kepada penggunaan AI merentasi industri termasuk penjagaan kesihatan, modal teroka dan pertumbuhan startup. Penceramah turut membincangkan faktor yang diperlukan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi AI dan deep tech, termasuk kerjasama serantau yang lebih kukuh dan kolaborasi lebih besar merentasi rangkaian inovasi global.

Antara penceramah dan panelis termasuk firma modal teroka paling berpengaruh di Silicon Valley, a16z Perennial, melalui ketua pegawai pelaburannya Michel Del Buono; ketua pegawai eksekutif VenCap International, Tim Cruttenden; bersama tokoh terkenal lain daripada ekosistem modal teroka, startup dan korporat dari China, Singapura, Australia dan Malaysia.

Meneruskan platform FutureX, Sunway iLabs berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelabur, pemimpin teknologi dan rakan ekosistem untuk mengukuhkan kerjasama serantau serta memperluaskan peluang bagi startup Malaysia dalam ekosistem AI dan deep tech Asia Tenggara.