Pelabur Hong Kong Cadang Bina Taman Tema Ala Ketenteraan Di Melaka

MELAKA, 22 Dis (Bernama) — Sebuah syarikat pelaburan dari Hong Kong bercadang membina taman tema ala ketenteraan yang bernilai kira-kira RM200 juta di Klebang di sini pada tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan wakil syarikat berkenaan kepada pihaknya semalam dan ia akan dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri serta agensi terlibat untuk penilaian seterusnya.

Beliau berkata projek berkenaan dijangka memberi kelainan pada produk pelancongan di Melaka sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri itu pada masa hadapan.

“Pembinaan taman tema ala tentera ini adalah cadangan awal dan pada pembentangan projek itu semalam saya melihat ia sangat menarik dan ia dicadang dibangunkan di tanah milik Perbadanan Muzium Melaka.

“Berdasarkan cadangan yang dikemukakan, taman tema berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai permainan berasaskan ala ketenteraan untuk kanak-kanak dan dewasa selain muzium serta kenderaan tentera akan dipamerkan juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersama penggiat industri korporat, perhotelan dan media yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk Murad Husin.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik pelancong berkelas premium khususnya luar negara seperti Dubai dan China melalui lebih banyak pembukaan hotel mewah bertaraf lima bintang di negeri itu pada tahun hadapan.

“Lebih tiga hotel mewah bertaraf antarabangsa yang berpotensi menarik pelancong premium akan dibuka tahun hadapan dan ia memberi satu daya tarikan dan membantu mengembangkan sektor pelancongan di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Murad berkata sebanyak 737,514 pengunjung direkodkan telah menggunakan perkhidmatan bot Melaka River Cruise (MRC) bagi tempoh 1 Jan hingga 19 Dis lepas.

Beliau berkata, jumlah itu menghampiri sasaran 750,000 atau 98.34 peratus pengunjung telah menggunakan perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun ini.

“Pada tahun hadapan pula, kita meletakkan sasaran sebanyak 800,000 pengunjung dan terdapat pelbagai produk baharu akan diperkenalkan termasuk pembukaan laluan baharu bermula di Pengkalan Rama yang menempatkan ‘River Information Centre’ (RIC) hingga ke laluan Batu Hampar menerusi Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua.

“Selain itu, kita juga sedang menaik taraf pelbagai fasiliti melibatkan MRC termasuk penambahbaikan jeti di Taman Rempah dan Muara Sungai Melaka untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata Taman Tema Sigua yang akan dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM8 juta di tapak Pirate Park di sini dijangka dibuka pada Oktober tahun hadapan.

Katanya taman tema tersebut akan menempatkan pelbagai permainan kanak-kanak selain tarikan lain seperti ‘ferris wheel’ dan rumah terbalik.

— BERNAMA  

Previous ArticleNext Article

Jenama Continental: General Tire Secara Rasminya Dilancarkan di Malaysia

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 – Continental Tyre Malaysia dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi jenama General Tire di pasaran Malaysia. Dikenali dengan ketahanan dan prestasi yang boleh dipercayai, General Tire direka untuk memenuhi keperluan pemandu Asia merentasi kereta penumpang, SUV, MPV dan 4×4 pickups.

General Tire mempunyai warisan lebih 100 tahun dan menjadi sebahagian daripada Continental sejak tahun 1987 sebagai sub-jenama. General Tire menggabungkan legasi ketahanan serta kebolehpercayaan dengan teknologi Jerman terkini daripada Continental untuk menghasilkan tayar yang direka untuk prestasi tahan lama.

Fasa pertama rangkaian produk General Tire, khusus untuk pemandu Malaysia termasuklah:

Rangkaian ProdukCiri-ciriSaiz Tire
Altimax GC5Bunyi rendah, pemanduan selesa, dan penggunaan bahan api yang efisien14” –  15”
Altimax GS6Pemanduan senyap, cengkaman kukuh, jarak brek lebih pendek, dan jangka hayat tayar lebih lama15” – 19”
Grabber AT6Pemanduan di luar jalan raya yang mantap, dan bunyi rendah16” – 18”
Grabber HT6Keteguhan cengkaman brek di jalan basah, selesa, dan jangka hayat lebih lama 16” – 20”

Kesemua model ini merangkumi saiz tayar dari 14” hingga 20”, memenuhi keperluan pelbagai jenis kenderaan, daripada kereta penumpang sehinggalah SUV dan 4×4 pickups. General Tire mensasar untuk menghasilkan tayar yang boleh dipercayai oleh para pemandu, dengan prestasi yang cemerlang dan tahan lasak, sambil memastikan nilai yang berbaloi untuk pelanggan.

“Pelancaran General Tire di Malaysia menandakan langkah penting dalam menawarkan gabungan ketahanan, prestasi dan gaya dengan nilai harian yang tepat kepada pelanggan. Kami amat teruja untuk mengetengahkan jenama ini, yang disokong oleh kepakaran Jerman daripada Continental, kepada para pemandu yang mengutamakan prestasi dan keselamatan dalam setiap perjalanan,” kata Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia.

General Tire bukan sekadar tayar. Ia mengubah setiap pemanduan menjadi satu pengalaman baharu. Jenama ini menyasarkan pemandu yang menikmati kebebasan untuk meneroka, mencari pengembaraan tanpa batasan, dan bergantung kepada tayar yang boleh dipercayai.

Dengan rangkaian produk yang luas kini tersedia di Malaysia, General Tire berazam untuk mengembangkan kehadirannya ke seluruh negara, disokong oleh pemasaran yang menyeluruh dan bersepadu melalui platform digital serta rangkaian pengedar Continental.

Tayar-tayar ini boleh didapati melalui pengedar sah Continental di seluruh negara, serta melalui Kedai Rasmi Continental di Shopee, TNG eWallet, dan Lazada. Untuk maklumat lanjut mengenai General Tire dan ketersediaan produk, layari laman web kami https://www.generaltire-tyres.com/my/en/, dan ikuti kami di Facebook.