MDEC Memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) Dengan HASiL Bekerjasama Laksana Inisiatif e-Invois Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, hari ini telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sebagai tanda menjalinkan kerjasama strategik bagi pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan (National e-Invoicing Initiative).  

Majlis penandatanganan MoU yang diwakili oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif, HASiL dan Ts. Mahadhir bin Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC telah disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Seri Asri bin Hamidon serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Encik Ahmad Norhad bin Zahari. 

Melalui MoU ini MDEC dan HASiL akan bekerjasama dalam menyelaraskan pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan model pematuhan cukai di seluruh negara serta berkongsi status pelaksanaan dan rangka kerja berkenaan perancangan, strategi dan perkembangan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut.

Inisiatif e-Invois Kebangsaan yang diterajui oleh MDEC dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), merupakan inisiatif untuk memacu agenda digitalisasi negara sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan ia juga salah satu program di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0. 

Seiring dengan arus perkembangan digitalisasi yang pesat, perniagaan memerlukan  cara yang lebih mudah untuk pertukaran maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat global. 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir bin Aziz, berkata inisiatif ini juga adalah salah satu Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) di bawah sektor Perdagangan Digital (Digital Trade), yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara dengan menyokong penyelarasan piawaian dan pendekatan kawal selia untuk memudahkan perdagangan tempatan dan merentasi sempadan.

“MDEC akan bekerjasama dengan HASiL dalam pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan mengambil kira keperluan percukaian bagi pembangunan rangka kerja e-invoicing yang akan dilaksanakan di Malaysia serta membuat promosi berhubung kepentingan dan kelebihan e-invois kepada perniagaan.”

“Inisiatif e-Invois Kebangsaan ini adalah sebahagian dari agenda pendigitalan yang lebih menyeluruh bagi dokumen-dokumen perniagaan, bermula dengan e-invois, dan kemudiannya akan merangkumi dokumen-dokumen perniagaan lain seperti penghantaran, katalog dan pesanan. Ini adalah selaras dengan trend global apabila pelbagai negara telah melaksanakan e-invois yang interoperable, dan kemudiannya pelaksanaan diperluaskan untuk merangkumi dokumen-dokumen perniagaan yang lain.”

“MDEC akan terus komited dalam mengenal pasti sektor berpotensi tinggi, selaras dengan inisiatif strategik nasional baharu, Malaysia Digital (MD) di mana sektor Perdagangan Digital akan terus dipacu melalui kesalingoperasian dan penyelarasan yang lebih baik dari segi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan tempatan merentasi sempadan,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya menyatakan bahawa HASiL menyambut baik kerjasama ini kerana ia selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK ke-12) yang menumpukan kepada agenda memperkukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital dan seterusnya ke arah pendigitalan pentadbiran cukai.

Ujar beliau lagi, dalam konteks percukaian, kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa pelaksanaan e-invoicing ini bukan sahaja mampu menambah baik  kutipan cukai dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai, malah ia turut memberikan banyak manfaat kepada pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan e-invoicing juga dapat mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus dapat membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan (shadow economy) dalam urus niaga. Sehubungan dengan itu,  kerjasama MDEC dan HASiL ini amat penting dalam usaha semua pihak meningkatkan kemampanan sistem percukaian negara dan seterusnya dipercayai oleh rakyat. 

C:\Users\norizan.is\Downloads\WhatsApp Image 2022-10-25 at 17.12.33.jpeg
Majlis penandatanganan MoU yang diwakili oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif, HASiL dan Ts. Mahadhir bin Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC telah disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Seri Asri bin Hamidon serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Encik Ahmad Norhad bin Zahari.
C:\Users\norizan.is\Downloads\WhatsApp Image 2022-10-25 at 17.12.36.jpeg
YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom bin Sairi bertukar dokumen MoU dengan Ts. Mahadhir bin Aziz disaksikan oleh YBhg. Datuk Seri Asri bin Hamidon dan Encik Ahmad Norhad bin Zahari.


Previous ArticleNext Article

Wakaf: Cara ‘Pro’ Untuk Kurangkan Cukai Pendapatan

Bagi kebanyakan orang, musim e-Filing adalah musim kena keluarkan duit. Waktu inilah bermulanya episod memburu resit. Kita selongkar setiap laci dan emel, mencari segala resit buku, alatan sukan, SSPN, hinggalah ke caruman takaful semata-mata mahu memenuhkan setiap ruang pelepasan cukai yang ada. (situasi ini tidak lagi sesuai di zaman e-invois)

Persoalannya, adakah itu sahaja pelepasan cukai yang ada?

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, membayar cukai adalah sumbangan kita untuk pembangunan negara. Namun, sebagai pembayar cukai yang bijak, kita pasti mahu memanfaatkan setiap insentif yang disediakan oleh kerajaan untuk mengoptimumkan aliran tunai kita.

Sebenarnya, kerajaan melalui Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menyediakan satu instrumen yang sangat istimewa namun jarang dimanfaatkan sepenuhnya: iaitu Wakaf Tunai. Di bawah Subseksyen 44(11D), sumbangan wakaf bukan sekadar satu ibadah harta, malah ia adalah instrumen perancangan cukai (tax planning) yang sangat efektif.

1. Kenapa Wakaf Lebih “Padu” Daripada Pelepasan Cukai Biasa?

Kebanyakan pelepasan cukai (relief) ada had yang kecil (RM2,500 – RM3,000). Tapi Wakaf di bawah Subseksyen 44(11D) membolehkan anda menolak sehingga 10% daripada pendapatan agregat. Makin tinggi pendapatan, makin “berbisa” kesan potongan Wakaf ni berbanding pelepasan (relief) biasa yang ada had. Jika pendapatan setahun anda RM100,000, pelepasan gaya hidup tetap terhad pada RM2,500. Tetapi melalui Wakaf, anda boleh memotong sehingga RM10,000 terus daripada pendapatan anda.

  • Pelepasan biasa: Mengurangkan pendapatan selepas dikira untung (kesannya kecil).
  • Wakaf: Mengurangkan pendapatan agregat (kesannya besar!). Ia boleh merendahkan tax bracket anda ke tahap yang jauh lebih rendah.

2. Simulasi

Bila anda sedang mengisi e-Filing, cari bahagian bertajuk DERMA / HADIAH / SUMBANGAN.

Anda perlu cari ayat: “Hadiah wang dalam bentuk wakaf kepada pihak berkuasa agama / badan agama / universiti awam…”. Masukkan JUMLAH (RM) sumbangan wakaf yang sepanjang tahun tersebut (berdasarkan resit rasmi yang anda terima).

Katakan pendapatan tahunan anda adalah RM60,000.

Tanpa Wakaf (RM)Dengan Wakaf (RM)
Pendapatan Agregat60,00060,000
Sumbangan Wakaf0(6,000)
Baki Pendapatan Agregat60,00054,000
Tolak Pelepasan Diri/KWSP/Gaya Hidup(15,000)(15,000)
Pendapatan Bercukai (A)45,00039,000

Pengiraan Cukai

Sekarang kita kira cukai berdasarkan baki (A) tadi:

Kes 1: Tanpa Wakaf (RM45,000)

  • RM35,000 pertama = RM600
  • Baki RM10,000 seterusnya (x 6%) = RM600
  • JUMLAH CUKAI KENA BAYAR = RM1,200

Kes 2: Dengan Wakaf (RM39,000)

  • RM35,000 pertama = RM600
  • Baki RM4,000 seterusnya (x 6%) = RM240
  • JUMLAH CUKAI KENA BAYAR = RM840

Dengan berwakaf, cukai anda menjadi RM840 sahaja. Anda jimat RM360 dan pada masa yang sama, anda sudah ada RM6,000 pelaburan akhirat yang pahalanya mengalir sampai kiamat.

Kalau orang kata: “Aku bayar zakat pun dah cukup kot…”

“Betul bos, Zakat itu wajib. Dalam Islam, 2.5% daripada harta kita itu bukan milik kita. Ia adalah hak asnaf yang “menumpang” dalam harta kita. Jika kita tak bayar, kita seolah-olah “memegang” harta orang lain. Wakaf itu pula macam kita buat “simpanan tetap” (fixed deposit) yang bagi dividen pahala sampai kiamat. Kalau sedekah itu macam bagi orang ikan, wakaf itu macam kita buatkan kolam.

Kalau boleh buat dua-dua, kenapa nak pilih satu? LHDN bagi tolakan untuk kedua-duanya.

PerkaraSituasi A (Zakat Sahaja)Situasi B (Zakat + Wakaf)
Pendapatan AgregatRM100,000RM100,000
Sumbangan WakafRM0(RM10,000)
Baki Pendapatan AgregatRM100,000RM90,000
Tolak Pelepasan Individu(RM15,000)(RM15,000)
Pendapatan Boleh DicukaiRM85,000RM75,000
Cukai Kasar (Anggaran)RM8,200RM6,100
Tolak Rebat Zakat(RM2,500)(RM2,500)
Cukai Perlu BayarRM5,700RM3,600

Pengiraan ini adalah sekadar ilustrasi sahaja. Nilai sebenar bergantung kepada pelepasan individu dan kadar cukai semasa.

2. Cara Nak Berwakaf (Saluran Rasmi)

1. Portal Rasmi (Paling Senang)

Layari laman web Wakaf Wilayah Persekutuan (www.wakafwilayah.com.my).

  • Boleh pilih projek spesifik yang nak dibantu.
  • Bayar terus guna FPX (online banking).
  • Resit digital biasanya akan dihantar terus ke emel.

2. Kaunter Zakat & Wakaf MAIWP/PPZ

Geng bisnes yang suka urusan face-to-face boleh terus ke kaunter PPZ-MAIWP yang berdekatan.

  • Cakap sahaja: “Saya nak buat Wakaf Tunai untuk potongan cukai.”
  • Dapat resit fizikal on-the-spot.

Semua negeri di Malaysia mempunyai institusi Wakaf masing-masing di bawah Majlis Agama Islam Negeri dan peraturan Subseksyen 44(11D) ini terpakai di seluruh Malaysia, bukan di Wilayah Persekutuan sahaja. Maksudnya, kalau anda duduk di Selangor, Johor atau Pulau Pinang anda tetap boleh guna strategi ini melalui institusi wakaf negeri masing-masing.

  • Selangor: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)
  • Johor: Saham Wakaf Johor (Yayasan Wakaf Johor)
  • Pulau Pinang: Wakaf Pulau Pinang
  • Perak: Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR)
  • Kedah: Wakaf Kedah
  • Negeri Sembilan: Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan
  • Melaka: Wakaf Melaka
  • Pahang: Wakaf Pahang
  • Kelantan: Wakaf Tunai MAIK
  • Terengganu: Wakaf MAIDAM
  • Sabah: Wakaf Sabah (MUIS)
  • Sarawak: Tabung Baitulmal Sarawak