Pemakaian Pelitup Muka Dalam Pesawat Kini Atas Pilihan Penumpang – MAG

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta-merta, pemakaian pelitup muka semasa dalam pesawat kini adalah atas pilihan penumpang bagi semua syarikat penerbangan di bawahnya, kecuali pemakaian yang diwajibkan di negara-negara destinasi.

Menurut MAG ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai pemansuhan kewajipan pemakaian pelitup muka ketika dalam pesawat komersial berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail sebelum itu telah memberi taklimat kepada Khairy mengenai pendekatan berasaskan risiko dalam menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai pilihan di dalam pesawat, jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

MAG menjelaskan antara ciri perlindungan yang terdapat dalam pesawat ialah sistem peredaran udara kabin yang menyegarkan udara kabin 20 hingga 30 kali sejam selain penggunaan penapis udara berzarah kecekapan tinggi (HEPA) yang mempunyai keupayaan untuk menapis 99.9 peratus bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan amat menggalakkan penumpang yang tidak sihat, individu berisiko tinggi dan mereka yang melakukan perjalanan bersama individu berisiko tinggi supaya terus memakai pelitup muka ketika berada dalam pesawat, menurut MAG.

MAG menjelaskan, penumpang Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL boleh melakukan perjalanan dengan penuh yakin memandangkan MAG komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan menyeluruh yang selamat dan lancar seiring dengan inisiatif MHFlySafe.

Ini termasuk operasi pesawat oleh juruterbang dan anak kapal yang telah menerima vaksin lengkap serta disinfeksi pesawat yang kerap dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tambahnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pemakaian-pelitup-muka-dalam-pesawat-kini-atas-pilihan-penumpang-mag/

Previous ArticleNext Article

Honda Malaysia Lancar Kenderaan Elektrik Berkuasa Bateri Pertama e:N1 Berharga RM149,900


KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Honda Malaysia melancarkan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1 yang berharga RM149,900 seunit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Narushi Yazaki berkata pelancaran model itu mengukuhkan barisan kenderaan elektrik (EV) Honda dan menawarkan lebih banyak pilihan mobiliti kepada rakyat Malaysia selaras dengan strategi perniagaan syarikat bagi tahun 2025.

“Kami merancang untuk memperkenalkan dua lagi model EV dalam tempoh tiga tahun akan datang. Bagaimanapun dalam hal ini kami akan memantau dengan teliti permintaan pelanggan dan harga daripada pesaing, memandangkan pasaran sedang berkembang dengan pesat.

“Matlamat kami adalah untuk bertindak balas secara berhati-hati dan strategik,” katanya selepas pelancaran e:N1 di sini hari ini.

Dikuasakan oleh bateri litium-ion 68.8kWh, e:N1 berupaya menjana kuasa maksimum 150kW dan kuasa kilas 310Nm.

Ia menyokong pengecasan AC (pengecasan biasa) sehingga 10kW dan dilengkapi dengan pengecasan DC (pengecasan pantas) sehingga 78kW.

Warna yang tersedia untuk model itu ialah Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl.

“Syarikat setakat ini telah menerima 200 tempahan dan penghantaran pertama dijangka pada pertengahan Jun. Kami juga telah melantik lapan pengedar sah yang pakar dalam menguruskan kereta EV,” kata Yazaki.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum berkata pihaknya berharap agar kerajaan akan terus melanjutkan lagi insentif, termasuk pengecualian cukai untuk EV yang dipasang secara tempatan (CKD) selepas 2027.

Beliau berkata cadangan itu juga bertujuan untuk menyokong sasaran negara bagi menjadikan EV menyumbang 15 peratus daripada jumlah jualan kenderaan di negara ini menjelang 2030.

“Jika program CKD bermula pada 2027, pengeluar akan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun selepas itu untuk mendapatkan semula pelaburan mereka. Insentif adalah penting bukan sahaja untuk Honda, tetapi untuk seluruh industri automotif.

“Inilah pentingnya sokongan kerajaan kerana tanpa kesinambungan insentif, ia akan menjadi cabaran bagi Honda untuk memulakan program CKD,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah menawarkan insentif seperti pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD bagi membantu menjadikannya lebih mampu milik untuk pengguna.

EV yang diimport sepenuhnya (CBU), dikecualikan daripada cukai import dan cukai eksais sehingga 31 Disember, 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian itu sehingga 31 Disember, 2027.

— BERNAMA