Platform PMX Carilar Tawar Kos Penjimatan 10 Peratus Insurans Kereta

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Pemasar digital Proven Formula Sdn Bhd melancarkan platform digital Perkhidmatan Motoring Exhange (PMX) Carilar untuk membantu pengguna mendapatkan sebut harga premium insurans kenderaan bermotor yang lebih murah dan telus, dengan tawaran terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tew Choo Ann berkata platform itu menawarkan kos penjimatan sebanyak 10 peratus kepada pengguna dalam bentuk komisyen ejen insurans dan akan dipulangkan semula menerusi rebat. 

Beliau berkata jumlah keseluruhan kos penjimatan itu adalah bersamaan RM1.2 bilion setahun, sekali gus mampu menjana kitaran ekonomi negara yang lebih rancak menerusi kuasa membeli isi rumah yang lebih tinggi.

 “Tidak seperti ejen insurans tradisional, PMX Carilar tidak mengenakan caj terhadap premium insurans, komisyen atau mengumpul data.

“Kita tidak menjual apa-apa insurans. PMX Carilar hanya pengantara bebas, dan premium insurans kenderaan bermotor yang dipaparkan adalah terus daripada syarikat insurans tanpa melalui ejen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

 PMX Carilar yang dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan membantu pengguna untuk menyemak, membuat perbandingan dan memilih sebut harga daripada lebih 23 syarikat insurans.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim berkata persatuan itu menerima pelbagai aduan berkaitan penipuan dalam bidang insurans antaranya jenis perlindungan dan ketidakpadanan jumlah tuntutan.

“PMX Carilar adalah pusat tidak berasaskan kepada keuntungan dan melindungi banyak pembeli insurans yang telah dimanfaatkan oleh syarikat insurans, peguam, pelaras dan sebagainya. Pengguna perlu lebih bijak (memilih) untuk mengelakkan daripada ditipu,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kad Visa Touch ‘n Go: Berbaloikah Guna?

Kad Visa Touch ‘n Go eWallet kini antara kad prabayar di Malaysia yang boleh digunakan di mana-mana terminal Visa seluruh dunia. Ia bukan sekadar kad untuk beli barang, tapi juga boleh keluarkan tunai di mesin ATM bila perlu. Menurut sumber rasmi, Touch ‘n Go Visa Prepaid Card dilancarkan secara rasmi kepada pengguna umum pada 18 Januari 2023.

Apa Itu Kad Visa Touch ‘n Go?
Kad ini ialah kad prabayar (prepaid card) yang menggunakan baki sedia ada dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Ia berfungsi sama seperti kad debit tapi dana datang terus dari eWallet, bukan akaun bank. Maknanya, kalau baki eWallet anda ada RM800, maka itulah had sebenar anda untuk berbelanja atau keluarkan tunai.

Kegunaan Kad Visa Touch ‘n Go

Pembelian di kedai & restoran : boleh digunakan di mana-mana terminal dengan logo Visa, sama seperti kad debit biasa.

Transaksi luar talian (offline) : boleh “tap” menggunakan fungsi PayWave di kedai yang menyokong Visa contactless.

Pengeluaran tunai di ATM : guna mana-mana ATM yang ada logo Visa dengan caj RM1.40 (dalam Malaysia) atau RM10 (luar negara).

Tol & parking : hanya berfungsi di lokasi tertentu yang menyokong integrasi eWallet, bukan semua tol. Untuk laluan tol yang masih menggunakan kad fizikal, pengguna perlu kekal guna kad Touch ‘n Go biasa.

Transaksi rentas sempadan — boleh digunakan untuk pembelian di luar negara (Visa global acceptance) dan caj rentas sempadan buat masa ini dikecualikan oleh TNG Digital.

Caj & Yuran Terkini

Berdasarkan Product Disclosure Sheet (Julai 2025) oleh TNG Digital:

  • Yuran permohonan kad: RM15 (termasuk pos)
  • Yuran tahunan: RM8 (percuma tahun pertama)
  • Caj ganti kad: RM15
  • Pengeluaran ATM tempatan: RM1.40
  • Pengeluaran ATM luar negara: RM10
  • Transaksi rentas sempadan: Dikecualikan (buat masa ini)

Had Pengeluaran & Transaksi

  • Maksimum 5 transaksi pengeluaran sehari
  • Had pengeluaran: RM5,000 sehari
  • Transaksi PayWave: maksimum RM1,250 sehari
  • Transaksi PIN: maksimum RM5,000 sehari

Ingat, semua had ini bergantung kepada baki eWallet Touch ‘n Go anda dan bukan baki akaun bank.

Jadi… Berbaloikah caj RM1.40 tu?
Kalau nak dibanding dengan kad bank, memang ada bank yang kenakan caj RM1.00 atau percuma bila guna ATM dari bank sendiri. Tapi konteks kad prabayar eWallet berbeza.

1. Boleh guna di mana-mana ATM Visa selagi ATM ada logo Visa, boleh guna termasuk luar negara.
2. Mudah kawal bajet debab boleh hadkan baki eWallet.
3. Sangat berguna dalam kecemasan bila dompet hilang atau kad debit bank tak boleh guna.
4. Alternatif kad bank untuk pelajar sekolah (layak dari umur 12 tahun + perlu eKYC dalam app), pelajar universiti dan freelancer — mudah daftar dan kawal melalui aplikasi.

Untuk makluman baki ewallet tidak dilindungi PIDM. PIDM hanya melindungi deposit bank (hingga RM250,000 per pendeposit, per bank) bukan e-wallet.

Bila Tak Sesuai Guna?

  • Kalau selalu keluarkan tunai, caj RM1.40 boleh jadi membebankan.
  • Kalau dah ada kad debit bank dengan ATM percuma, fungsi kad ni mungkin sekadar “backup”.

Untuk Kaki Travel: Kenapa Kad Ini Padu?

1) Kad “basic” menawarkan pulangan tunai sehingga 1% untuk transaksi luar negara, manakala kad “travel” terbaharu memberi ganjaran lebih tinggi, sehingga 3% apabila digunakan di luar negara.

2)Boleh diguna meluas di mana-mana terminal Visa. Ini memudahkan bayaran di kedai, restoran, hotel dan lain-lain. Ramai tanya boleh ke guna kad Visa ini di MRT Singapura? Bila baca dekat laman web operator MRT Singapore, mereka terima kad Visa contactless.
Namun, pihak Touch ’n Go belum mengesahkan sokongan rasmi untuk kad ini, jadi penggunaan di MRT/Transit Singapura tidak dijamin berfungsi 100%. Sebaiknya bawa EZ-Link atau kad Visa bank lain sebagai sandaran semasa travel.

3) Caj pengeluaran ATM luar negara yang jelas: RM10 per transaksi — praktikal untuk ‘emergency cash’.

4) Transaksi rentas sempadan kini dikecualikan caj (buat masa ini) — membantu kawal kos ketika swipe di luar negara.

5) Bajet terkawal sebab ia kad prabayar — anda hanya belanja setakat baki eWallet, sesuai untuk elak overspend semasa travel.

Tips Guna Kad Visa Touch ‘n Go Dengan Bijak

  • Aktifkan fungsi Lock Card bila tak digunakan.
  • Jangan guna WiFi awam bila log masuk aplikasi.
  • Simpan hotline TNG: +603-5022 3888 untuk sekat kad segera jika hilang.
  • Pastikan baki eWallet mencukupi sebelum guna kad visa ini di luar negara.

Kalau guna kad visa ini sebagai pelengkap eWallet dan penyelamat masa kecemasan, maka memang berbaloi. Namun kalau setiap minggu nak keluarkan duit tunai, lebih baik guna kad debit bank biasa.