
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Pemasar digital Proven Formula Sdn Bhd melancarkan platform digital Perkhidmatan Motoring Exhange (PMX) Carilar untuk membantu pengguna mendapatkan sebut harga premium insurans kenderaan bermotor yang lebih murah dan telus, dengan tawaran terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tew Choo Ann berkata platform itu menawarkan kos penjimatan sebanyak 10 peratus kepada pengguna dalam bentuk komisyen ejen insurans dan akan dipulangkan semula menerusi rebat.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kos penjimatan itu adalah bersamaan RM1.2 bilion setahun, sekali gus mampu menjana kitaran ekonomi negara yang lebih rancak menerusi kuasa membeli isi rumah yang lebih tinggi.
“Tidak seperti ejen insurans tradisional, PMX Carilar tidak mengenakan caj terhadap premium insurans, komisyen atau mengumpul data.
“Kita tidak menjual apa-apa insurans. PMX Carilar hanya pengantara bebas, dan premium insurans kenderaan bermotor yang dipaparkan adalah terus daripada syarikat insurans tanpa melalui ejen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
PMX Carilar yang dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan membantu pengguna untuk menyemak, membuat perbandingan dan memilih sebut harga daripada lebih 23 syarikat insurans.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim berkata persatuan itu menerima pelbagai aduan berkaitan penipuan dalam bidang insurans antaranya jenis perlindungan dan ketidakpadanan jumlah tuntutan.
“PMX Carilar adalah pusat tidak berasaskan kepada keuntungan dan melindungi banyak pembeli insurans yang telah dimanfaatkan oleh syarikat insurans, peguam, pelaras dan sebagainya. Pengguna perlu lebih bijak (memilih) untuk mengelakkan daripada ditipu,” katanya.
— BERNAMA










