Portal Fraud Kebangsaan Dijangka Siap Menjelang Pertengahan 2024 – BNM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) sedang bekerjasama erat dengan pihak Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan industri kewangan bagi mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan.

Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata portal tersebut bertujuan mengautomasikan dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana terbabit selain mengenal pasti kalangan individu atau kelompok keldai akaun.

“BNM sedang bekerjasama dengan industri kewangan serta PayNet bagi menambah baik Pusat Respons Scam Kebangsaan dengan pengautomasian proses mengesan dan menjejak pergerakan dana yang dicuri daripada mangsa scam (penipuan) kewangan.

“Kita berharap langkah ini dapat meningkatkan lagi usaha untuk menjejak dan membekukan dana serta melindungi mangsa daripada mengalami kerugian,” katanya selepas program bengkel media dan perbincangan panel mengenai penipuan kewangan di Lanai Kijang BNM, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Marzunisham juga menyifatkan bahawa perkembangan pesat teknologi tidak hanya memberi banyak manfaat kepada industri kewangan serta pengguna, tetapi turut meningkatkan penipuan yang dijana atau berteraskan kecerdasan buatan (AI).

“Ini adalah sesuatu yang perlu kita bendung dan lindungi. Kita juga tidak mahu memandang remeh kemampuan penipu ini yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdayakan orang ramai,” katanya.

Sementara itu pada sesi perbincangan panel, Pakar Risiko Teknologi BNM Ng Lee See berkongsi mengenai bahaya penyalahgunaan teknologi AI di serata dunia bagi tujuan memanipulasi atau menjana kandungan visual dan audio palsu beberapa orang terkenal dengan cara yang sebegitu meyakinkan.

Malah, katanya, dalam keadaan tertentu, teknologi itu menyebabkan mangsa mempercayai ketulenan skim pelaburan yang ditawarkan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka mengenai taktik jahat penipu serta bertindak menyemak lesen skim pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Pada masa sama, orang ramai juga boleh merujuk laman sesawang rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk melihat senarai syarikat atau individu yang mempunyai lesen menjalankan perancangan kewangan atau perkhidmatan pelaburan serta laman sesawang BNM bagi meneliti senarai individu atau entiti yang dikawal selia oleh bank pusat tersebut.

Bagi membendung jenayah digital berteraskan AI, Ng berkata institusi kewangan perlu sentiasa peka dengan perkembangan membabitkan undang-undang pelaburan serta operasi keselamatan siber.

“Industri perbankan harus menyokong usaha-usaha kerajaan bagi mengukuhkan lagi keselamatan infrastruktur telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata industri perbankan juga telah menjalankan usaha yang baik dari segi pengesanan penipuan menggunakan Kit Pakej Android (APK) yang menyumbang dari segi penurunan kes terbabit.

“Bagaimanapun, kalangan penipu ini sentiasa bertindak menukar taktik dan jenayah itu juga menjadi semakin sofistikated dan rumit,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.