Prolintas Turun Kadar Tol Empat Lebuh Raya Antara 8-15 Peratus Mulai 20 Okt

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) — Kadar tol empat lebuh raya di bawah pengendali lebuh raya bandar terbesar di Lembah Klang, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) akan diturunkan antara lapan dan 15 peratus mulai 12.01 tengah malam, Khamis (20 Oktober).

PROLINTAS dalam kenyataan hari ini berkata lebuh raya itu adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan Kelas Satu (kenderaan mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), Kelas Empat (teksi) dan Kelas Lima (bas) di empat lebuh raya terlibat, katanya.

Bagaimanapun, PROLINTAS berkata, kadar tol adalah tidak berubah bagi kenderaan Kelas Dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan Kelas Tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas).

Penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Okt 2022, katanya.

“PROLINTAS komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuk dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya, sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendaliannya.

“Syarikat juga akan terus menyokong usaha-usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/prolintas-turun-kadar-tol-empat-lebuh-raya-antara-8-15-peratus-mulai-20-okt/

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.