Siti Khadijah Memeterai Kerjasama Eksklusif dengan MOBY Islamic, Pilihan Bayaran BNPL Patuh Syariah di Butik Seluruh Negara

● Kerjasama eksklusif dengan satu-satunya platform BNPL Patuh Syariah yang membolehkan pelanggan untuk menikmati bayar sekarang atau kemudian bagi semua pembelian di Siti Khadijah 

● Pelanggan boleh menikmati diskaun sehingga RM50 untuk pembelian di Siti Khadijah 

Kuala Lumpur, 15 Februari 2023, Rabu — Jenama telekung tempatan Siti Khadijah meneruskan pertumbuhan pesatnya dengan pembukaan sebanyak 45 butik di seluruh negara. 

(Gambaran : Mohammad Munzir Aminuddin, CEO Siti Khadijah membuat pertukaran dokumen MoU bersama Rian Philip, pengasas MOBY Fintech)

Sehubungan dengan itu, Siti Khadijah mengumumkan kerjasama eksklusif bersama platform ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) tempatan, MOBY Islamic yang dahulunya dikenali sebagai AiraPay. Kerjasama itu akan memberi pilihan pembayaran BNPL patuh Syariah pertama Malaysia kepada pelanggan Siti Khadijah secara dalam talian dan juga di semua butik Siti Khadijah dalam negara. 

Siti Khadijah telah berkembang daripada sebuah perniagaan kecil kepada perniagaan yang dikenali serantau, dengan platform dalam talian yang berkembang pesat dan juga 45 butik di seluruh Malaysia dan dua (2) Indonesia. Jenama Malaysia yang membanggakan ini telah mencapai reputasi yang baik untuk menjadikan telekung berkualiti mudah diperolehi oleh wanita Islam. 

Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, berkongsi: “Kami tidak mahu membebankan pelanggan kami untuk dapatkan telekung yang berkualiti dan selesa untuk dipakai. — terutamanya kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan dengan menonjolkan keindahan cara hidup Islam melalui konsep ‘Memupuk Gaya Hidup Bermanfaat’. Kerjasama antara MOBY Islamic dan Siti Khadijah adalah satu langkah bagi kami untuk memastikan visi ini terus kukuh, khususnya kerana MOBY Islamic menerapkan asas dalam konsep pinjaman yang patuh syariah.” 

Kini, pelanggan Siti Khadijah boleh menikmati pelan ansuran bulanan sehingga enam (6) bulan untuk pembelian dalam talian mereka. Walau bagaimanapun, tidak lama lagi, pelanggan juga akan dapat menikmati kemudahan ini untuk pembelian secara fizikal di butik juga. Sebagai satu-satunya platform patuh Syariah, ansuran pembayaran pecahan fleksibel MOBY Islamic adalah tanpa faedah dan berdasarkan kontrak Qard. 

(Gambaran : Siti Khadijah di aplikasi MOBY Islamic)

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggannya, Siti Khadijah terus memberikan diskaun eksklusif kepada pengguna MOBY baharu: potongan RM50 dengan pembelian minimum RM500 atau diskaun RM25 dengan pembelian minimum RM250. Kedua-dua tawaran adalah terhad kepada 250 pengguna pertama, dan potongan ini boleh digunakan mulai 15 Februari sehingga 28 Februari 2023 oleh pengguna MOBY yang berdaftar. 

Selain bayaran ansuran, MOBY juga merupakan platform BNPL pertama di Malaysia yang memberikan pilihan pembayaran segera kepada penggunanya — iaitu ciri PayNow. Melalui PayNow, pelanggan boleh memperoleh mata serta menikmati baucar dan diskaun melalui pembelian mereka. 

“Melalui kerjasama eksklusif ini, kami berharap dapat menjadikan pengalaman membeli-belah dengan Siti Khadijah suatu pengalaman yang unik dengan adanya kemudahan pembayaran yang fleksibel. Walaupun kami fokus dalam mengembangkan jenama, kami tetap komited kepada matlamat utama kami: membolehkan wanita Islam membeli pakaian untuk solat yang berkualiti dengan lebih mudah tanpa membebankan wang,” tambah Munzir

Pemeteraian tersebut diadakan di cawangan Siti Khadijah yang terletak di Suria KLCC. Cawangan ini menawarkan bukan sahaja telekung atau pakaian sembahyang, mereka mempunyai rangkaian pilihan pakaian lelaki, pakaian wanita, buku pendidikan, tudung & aksesori. 

Untuk maklumat lanjut berkenaan produk Siti Khadijah, sila layari https://sitikhadijah.com/. Untuk mengetahui info mengenai MOBY Islamic, sila layari https://www.MOBY.my/

Previous ArticleNext Article

Mentakrif Semula Kecemerlangan: Kualiti Dan Kelestarian Pendidikan Pembelajaran Jarak Jauh Dalam Talian Di Pendidikan Tinggi Malaysia

Landskap pendidikan tinggi telah mengalami transformasi besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pembelajaran jarak jauh dalam talian (Online Distance Learning, ODL) muncul sebagai teras utama penyampaian pendidikan moden. Di Malaysia, evolusi ini amat ketara, bukan sekadar sebagai penyelesaian sementara, tetapi sebagai laluan strategik untuk memperluas akses pendidikan tanpa menjejaskan kualiti.

Seiring universiti melabur dalam ekosistem digital, daripada platform pembelajaran yang mantap hingga sokongan pembelajaran khusus, persoalannya kini bukan lagi sama ada ODL mampu menyampaikan pendidikan berkualiti, tetapi bagaimana memastikan masyarakat mengiktiraf standard, integriti dan nilainya. Salah tanggapan masih wujud, khususnya berkaitan kualiti dan kredibiliti pendidikan berasaskan dalam talian. Oleh itu, apabila institusi terus memperhalusi penawaran digital mereka, adalah penting untuk menangani salah faham ini serta menonjolkan piawaian ketat yang mendasari kualiti, sekali gus meletakkan ODL Malaysia seiring dengan aspirasi global ke arah pendidikan yang adil dan mampan.

Akreditasi Ketat dan Jaminan Kualiti

Berlawanan dengan kepercayaan umum, program pembelajaran jarak jauh dalam talian tertakluk kepada proses akreditasi yang sama ketat seperti program bersemuka. Ini memastikan kandungan, kaedah penyampaian, piawaian penilaian, sumber pembelajaran dan prosedur operasi mematuhi sepenuhnya standard pendidikan kebangsaan. Dalam banyak kes, program ini juga memenuhi penanda aras antarabangsa, sekali gus meletakkan pendidikan dalam talian Malaysia dalam komuniti akademik global.

Proses akreditasi melibatkan penilaian menyeluruh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan kawal selia berkaitan. Setiap aspek penyampaian program diteliti, daripada reka bentuk kurikulum hingga perkhidmatan sokongan pelajar, bagi memastikan pelajar dalam talian menerima pengalaman pendidikan yang setara dari segi kualiti dan ketegasan akademik dengan program berasaskan kampus. Kelulusan akreditasi juga bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya program disemak secara berkala melalui audit kualiti dalaman, penambahbaikan berasaskan data dan maklum balas pihak berkepentingan.

Pembangunan Kurikulum Berpandukan Kepakaran

Pembangunan modul pembelajaran dalam talian merupakan hasil kerjasama pelbagai lapisan kepakaran. Kandungan modul disemak secara teliti oleh pakar kurikulum dalaman dan luaran bagi memastikan kerelevanan akademik serta kesahihan pedagogi. Profesional industri turut menyumbang pandangan bagi memastikan program sentiasa selari dengan keperluan pasaran, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan aplikasi praktikal.

Pendekatan dua hala ini memastikan kurikulum kekal kukuh dari segi akademik dan relevan dari sudut profesional, membolehkan penyesuaian dengan keperluan sektor yang sentiasa berubah dalam bidang seperti pentadbiran perniagaan, pengurusan, pendidikan, pengkomputeran dan hospitaliti. Hasilnya, pelajar memperoleh kompetensi yang relevan dengan keperluan tempat kerja masa kini, di samping kekal adaptif menghadapi cabaran masa depan.

Integriti Penilaian dan Piawaian Akademik

Salah tanggapan paling lazim terhadap pendidikan dalam talian berkait rapat dengan integriti penilaian. Namun, kebimbangan ini ditangani melalui proses yang dirangka secara rapi. Penilaian bagi setiap modul dibangunkan sejajar dengan kecekapan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), memastikan pelajar membangunkan bukan sahaja pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran praktikal, kecekapan komunikasi, literasi digital, kebolehan numerasi serta kepimpinan dan autonomi profesional.

Program dalam talian berkualiti turut melaksanakan protokol pemarkahan dan penyederhanaan berlapis bagi menjamin konsistensi dan ketegasan akademik. Penilaian berimpak tinggi menggunakan sistem peperiksaan berpemantauan dengan teknologi pemantauan canggih, manakala perisian pengesanan kesamaan teks digunakan bagi memastikan keaslian semua tugasan. Perlindungan bersepadu ini membentuk ekosistem penilaian yang mengekalkan integriti akademik tanpa kompromi terhadap piawaian pendidikan tinggi yang berwibawa.

Menangani Akses dan Inklusiviti Pendidikan

Pembelajaran jarak jauh dalam talian merupakan kuasa transformatif dalam mendemokrasikan pendidikan, dengan meruntuhkan halangan yang sekian lama mengecualikan pelbagai komuniti daripada pendidikan tinggi. Golongan profesional bekerja dapat meningkatkan kemahiran tanpa mengorbankan komitmen kerjaya, manakala warga emas memanfaatkan pembelajaran sepanjang hayat serta penjenamaan semula kerjaya, membuktikan bahawa pertumbuhan intelektual tidak mengenal had usia.

Bagi komuniti orang kurang upaya yang sering terpinggir dalam model tradisional, platform dalam talian menyediakan laluan pembelajaran yang lebih mudah diakses melalui teknologi adaptif. Paling ketara, program ini merealisasikan visi pendidikan tanpa sempadan, membolehkan pelajar antarabangsa memperoleh kelayakan Malaysia bertaraf dunia tanpa perlu meninggalkan negara masing-masing.

Menyokong Matlamat Pembangunan Mampan

Pendidikan dalam talian sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 yang menekankan pendidikan berkualiti untuk semua. Dengan menghapuskan halangan akses dan menyediakan peluang pembelajaran yang fleksibel, program ODL menyumbang secara signifikan kepada matlamat global ini.

Selain itu, program ini turut menyokong kelestarian alam sekitar dengan berfungsi sebagai kampus hijau. Keperluan infrastruktur fizikal yang lebih rendah, pengurangan perjalanan harian dan penggunaan kertas yang minimum menyumbang kepada model pendidikan yang lebih mesra alam.

Reka Bentuk Pembelajaran Profesional dan Penciptaan Kandungan

Pembangunan kandungan pembelajaran dalam talian merupakan ekosistem yang kompleks dan jauh melangkaui sekadar memuat naik fail atau video. Pereka pembelajaran profesional, yang terlatih dalam prinsip pedagogi dan teknologi digital, bekerjasama dengan pensyarah untuk menghasilkan modul yang menarik dan interaktif melalui elemen multimedia, simulasi serta laluan pembelajaran adaptif yang memenuhi pelbagai gaya pembelajaran.

Mereka menukarkan kandungan tradisional kepada pengalaman digital dinamik yang mencapai hasil pembelajaran khusus sambil mengekalkan penglibatan berterusan, memastikan kandungan dalam talian adalah kukuh dari segi pedagogi dan berkesan dari sudut pendidikan.

Sistem Sokongan Pelajar Menyeluruh

Menyedari bahawa pembelajaran dalam talian boleh terasa terasing, sesetengah institusi melangkaui perkhidmatan standard dengan menubuhkan Pasukan Sokongan Pembelajaran ODL khusus. Pasukan ini menyediakan bantuan peribadi, memantau kemajuan pembelajaran serta menawarkan bimbingan akademik dan sokongan teknikal agar pelajar tidak berasa terabai.

Selain perkhidmatan konvensional seperti perpustakaan elektronik, kaunseling dan sokongan kerjaya, pasukan ODL memberikan penglibatan proaktif dan berfokus bagi memastikan pelajar kekal yakin dan berada di landasan yang betul. Melalui sesi semakan maya berkala, komuniti rakan sebaya dan bimbingan individu, pendekatan holistik ini memastikan pelajar dalam talian menerima perhatian dan sokongan setara dengan pelajar berasaskan kampus, sekali gus menangani kebimbangan terbesar pendidikan dalam talian rasa belajar bersendirian.

Kesimpulan

Kualiti program pembelajaran jarak jauh dalam talian di Malaysia mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan pendidikan setaraf dengan model tradisional. Ketika Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan serantau, kekuatan penawaran dalam taliannya akan menjadi faktor utama dalam menarik pelajar tempatan dan antarabangsa.

Dengan menangani salah tanggapan dan menonjolkan kualiti sebenar, Malaysia menegaskan bahawa masa depan pendidikan adalah digital fleksibel dari segi penyampaian, namun teguh dalam standard. Janji yang ditawarkan adalah jelas: laluan anda mungkin fleksibel, tetapi piawaian dan ijazah anda tidak akan dikompromi.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Puteri Sofia Amirnuddin, Pemangku Ketua Inovasi dan Pengalaman Pembelajaran, Taylor’s Digital, Taylor’s University