The Exchange TRX Akan Capai Penghunian Penuh Apabila Dibuka Pada Suku Keempat 2023 – Pemaju

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — Hab gaya hidup Tun Razak Exchange (TRX), The Exchange TRX, akan mencapai kadar penghunian penuh apabila dibuka kepada orang ramai pada suku keempat 2023, menurut pemaju hartanah Australia, Lendlease.

Lendlease dan pemaju induk TRX, TRX City Sdn Bhd, sedang bersama-sama membangunkan presint gaya hidup itu.

Pengarah Projek The Exchange TRX dan Ketua Peruncitan Lendlease Malaysia, Mitch Wilson berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada bakal penyewa yang terdiri daripada pihak tempatan dan antarabangsa setakat ini.

“Visi kami dan ciri-ciri penting strategi Lendlease dengan The Exchange TRX adalah untuk mewujudkan projek pendefinisian bandar dalam TRX, wilayah kewangan antarabangsa pertama di Malaysia,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini mengenai projek itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata sebagai sebuah organisasi global, Lendlease akan mempamerkan kepakaran pembuatan tempat antarabangsanya di samping sejarah 43 tahunnya di Malaysia untuk memperkenalkan pendekatan eksklusifnya kepada peruncitan berpengalaman.

“Berasaskan platform global kami, kami mendapat kepercayaan peruncit dari seluruh dunia.

“Kami berterima kasih atas sokongan mereka dalam meningkatkan tahap penghunian kami mendahului nisbah pasaran memandangkan kedudukan kami yang kurang daripada setahun sebelum dibuka,” katanya.

Wilson berkata campuran runcit yang pelbagai, dilengkapi dengan aktiviti masa lapang dan hiburan yang dinamik, akan berperanan sebagai titik pembezaan utama dan mendorong pengunjung untuk berada lama dan membuat beberapa kali kunjungan.

The Exchange TRX, yang dianggap sebagai ‘presint gaya hidup di dalam taman’, akan merangkumi lebih 400 kedai pengalaman, di empat tingkat ruang runcit yang menampilkan format jenama baharu pasaran, kedai fesyen dan kedai imej baharu.

Beliau berkata penempatan gaya hidup seluas 6.78 hektar itu direka untuk menawarkan gambaran sekilas mengenai kehidupan bandar masa depan serta destinasi runcit progresif yang akan membawa reka bentuk pembuatan tempat antarabangsa dan piawaian kemampanan ke Malaysia.

“Apabila kami membuka pintu kepada orang ramai pada suku keempat 2023, destinasi sosial dan gaya hidup ikonik ini akan menarik bukan sahaja penduduk sektar yang semakin berkembang malah semua rakyat Malaysia serta pelawat antarabangsa,” katanya.

The Exchange TRX ialah pembangunan bersepadu terbesar Lendlease di Asia, merangkumi kira-kira 120,773.95 meter persegi daripada kawasan boleh sewa bersih (NLA).

Penyewa utama gaya hidup termasuk Golden Screen Cinemas, yang akan menawarkan pengalaman pawagam baharu yang hebat; gedung beli-belah Seibu, yang akan menjadi ruang makan Jepun yang menawarkan makan terbaik negara itu — ‘depachika’ — pertama di Malaysia dan berkeluasan kira-kira 23,225.76 meter persegi merentas empat tingkat.

Terdapat juga pasar raya berskala besar oleh Dairy Farm Group of Hong Kong bersama-sama beberapa jenama mewah antarabangsa terkemuka di dunia, fesyen paling laris dan konsep baharu makanan dan minuman yang menarik.

Ciri unik The Exchange TRX ialah penyepaduannya yang lancar ke dalam taman aktiviti awam berbumbung seluas 4.05 hektar yang menawarkan peluang luar biasa serta mewujudkan pengalaman riadah berbilang dimensi untuk keluarga, komuniti bekerja dan pelawat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Shell Malaysia Wujudkan Hab Pengecas Berprestasi Tinggi 360kW Pertama Di Malaysia

GENTING HIGHLANDS, 4 Dis (Bernama) — Shell Malaysia Trading Sdn Bhd akan mewujudkan hab pengecas kenderaan elektrik (EV) yang terdiri daripada 10 ruang pengecasan lengkap di Resorts World Genting, bagi menyediakan akses EV di destinasi peranginan utama di Malaysia itu, menjelang awal tahun hadapan.

Menurut Shell Malaysia, hab lengkap dengan pengecas berprestasi tinggi (HPC) ultra-pantas 360kW itu dikuasakan oleh Shell Recharge, penyedia penyelesaian pengecasan EV milik Shell.

“Menerusi kerjasama strategik dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Bhd, hab EV ini akan menjadi penambahan baharu kepada rangkaian Shell Recharge EV sedia ada sebanyak 136 stesen pengecas yang terletak di kawasan strategik bandar utama dan di lebuh raya Semenanjung Malaysia, menghubungkan Singapura, Malaysia dan Thailand,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Shell Malaysia memaklumkan bahawa hab pengecasan semua-dalam-satu itu akan memuatkan 10 pengecas yang terdiri daripada empat pengecas berprestasi tinggi 360kW dan enam pengecas AC 22kW.

Semua pengecas disertakan dengan penyambung pengecasan CCS Type 2, yang membolehkan pemandu EV menikmati pengalaman pengecasan yang sangat pantas di puncak bukit, tambahnya.

Sementara itu, pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Shell Recharge dan Genting Malaysia mengenai projek hab itu di sini, Pengurus Besar Mobiliti, Shell Malaysia, Seow Lee Ming berkata hab HPC di Resorts World Genting akan menjadi permulaan bagi pengembangan e-mobiliti syarikat ke pantai timur.

“(Dalam melangkah maju), kami akan terus menambah (ruang pengecasan EV Shell di Semenanjung Malaysia) memandangkan e-mobiliti adalah antara bidang yang terlibat memandangkan kami berusaha ke arah masa depan yang mampan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu.

Seow berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Porsche Malaysia dan syarikat berasaskan pembuat peralatan tulen (OEM) lain untuk keperluan dan penggunaan terminal pengecasan rumah EV.

“Pada masa ini, terminal pengecasan rumah bukan sebahagian daripada perkara yang terlibat. Ia bergantung kepada keperluan dan sama ada mampan untuk mengecas di rumah namun, kami bekerjasama dengan banyak OEM mengenai perkara ini,” katanya.

— BERNAMA