OPR Rendah Kurangkan Kos Pinjaman, Bantu Rakyat Miliki Rumah.

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih rendah dijangka menyokong kemampuan pemilikan rumah melalui pengurangan kos bayaran balik hutang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).


Katanya pemilik rumah sedia ada yang mempunyai pinjaman berkadar terapung secara amnya akan menikmati bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah.


“Keadaan ini akan turut memberi ruang kewangan bagi menyokong perbelanjaan yang lain. Pembeli rumah juga berpeluang mendapat manfaat daripada kadar pinjaman baharu yang lebih rendah sejajar dengan pengurangan OPR,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang mengenai kewajaran penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan kemampuan memiliki rumah.


Bagaimanapun, katanya faktor lain termasuk profil risiko peminjam akan menentukan kos pinjaman secara menyeluruh.
Menurut MOF, kemampuan pemilikan rumah dipengaruhi oleh harga perumahan, termasuk ketersediaan rumah mampu milik serta kemampuan isi rumah untuk membayar balik pinjaman perumahan.

“Data menunjukkan sebahagian besar rumah baharu yang dilancarkan berada di luar julat harga mampu milik maksimum, dengan hanya 31.6 peratus daripada jumlah unit yang dilancarkan pada 2024 berharga bawah RM300,000,” katanya.

Katanya harga rumah yang terlalu tinggi ini melebihi kemampuan pendapatan isi rumah, sekali gus mencerminkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran di pasaran perumahan.
Selain itu, katanya pendapatan dan simpanan yang terhad atau tidak mencukupi dalam kalangan isi rumah turut menjadi faktor utama yang menghalang pemilikan rumah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan dengan kerjasama BNM dan institusi kewangan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan rakyat memiliki rumah termasuklah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan rumah pertama.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA