Transaksi Hartanah Dijangka Meningkat Pada 2023

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Meskipun berlaku ketidaktentuan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 diumumkan namun kestabilan yang dicapai susulan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10 akan memberi impak positif kepada pasaran hartanah komersial dan perindustrian pada 2023.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad berkata transaksi dijangka meningkat sejajar dengan keyakinan pelabur.

Beliau berkata prestasi ekonomi 2023 negara ini diunjurkan disokong oleh asas yang kukuh serta struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai.

“Sokongan dasar yang berterusan akan meredakan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan risiko penurunan yang berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan di samping keadaan kewangan global yang semakin ketat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Irhamy Valuers International merupakan sebahagian daripada syarikat  teknologi hartanah global, Juwai IQI.

Irhamy berkata sektor hartanah komersial, perindustrian dan logistik dijangkakan sibuk dalam jangka masa sederhana berdasarkan pertanyaan lebih tinggi yang diterima daripada sekor korporat.

Jumlah transaksi hartanah semua sektor meningkat 36 peratus pada separuh pertama 2022 manakala transaksi komersial dan perindustrian menyumbang 29.3 peratus kepada nilai transaksi keseluruhan, bersamaan kira-kira RM24.77 bilion.

Beliau berkata bilangan transaksi komersial meningkat dalam setiap julat harga, dengan jalur harga tertinggi menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi pada 54 peratus.

“Nilai transaksi pada separuh pertama 2022 adalah jauh lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik berlaku, yang secara relatifnya kekal stabil pada 2018 dan 2019.

“Kami yakin nilai transaksi akan terus meningkat sehingga tahun 2023, tetapi lebih sederhana. Pertumbuhan akan kembali kepada keadaan yang jauh lebih sama dengan aliran sebelum ini disebabkan perbandingan asas yang lebih tinggi apabila kita melepasi angka yang sangat rendah pada 2020 dan 2021,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/transaksi-hartanah-dijangka-meningkat-pada-2023/

Previous ArticleNext Article

Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12: Johor Bahru Menerajui Permintaan Hartanah Pengguna

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 — Johor Bahru muncul sebagai kawasan pertumbuhan paling pesat di Malaysia pada tahun 2025, berdasarkan data permintaan hartanah terbaharu yang diumumkan di Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12 dengan kerjasama iProperty. Buat pertama kali, anugerah ini menggabungkan penilaian pakar, data pasaran, dan pilihan pengguna untuk memberikan gambaran pasaran hartanah yang dipacu data — menonjolkan kawasan tumpuan pembeli dan pelabur, serta pemaju yang berjaya meraih kepercayaan rakyat.

Berdasarkan jutaan carian dan metrik penglibatan di PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, anugerah ini mencerminkan peralihan permintaan di seluruh negara — dari pusat bandar ke koridor pertumbuhan wilayah yang mempunyai rangkaian infrastruktur baik, terutamanya di Johor dan Selangor. Dapatan tahun ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia semakin cenderung kepada perbandaran bersepadu, pembangunan bercampur, dan projek berteraskan ESG yang menggabungkan gaya hidup menarik, nilai jangka panjang, dan kelestarian, sejajar dengan keutamaan baharu terhadap kemampuan, kesalinghubungan infrastruktur, serta perubahan keutamaan kerja dan kehidupan.

Data Pengguna Menunjukkan Johor Terus Menjadi Tumpuan

Anugerah Permintaan Pengguna edisi pertama meraikan lapan pembangunan paling mendapat perhatian pencari hartanah. R&F Princess Cove dan Leisure Farm mendahului senarai, mencerminkan daya tarikan Johor Bahru yang semakin meningkat dalam kalangan pembeli. Johor turut cemerlang dalam segmen pejabat apabila City Square Office Tower dinobatkan sebagai “Pejabat Paling Diminati untuk Disewa (Johor)”, manakala The Exchange 106 di Kuala Lumpur menduduki tempat teratas bagi “Pejabat Paling Diminati untuk Disewa (Kuala Lumpur)”.

Ketua Perisikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, Dr. Lee Nai Jia berkata, “Data menunjukkan pencari rumah Malaysia semakin melihat ke luar kawasan tumpuan tradisional Lembah Klang. Penguasaan Johor Bahru dalam pelbagai kategori mencerminkan transformasinya sebagai hab serantau yang dinamik, disokong oleh pelaburan infrastruktur berskala besar seperti RTS Link dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. Faktor-faktor ini meningkatkan akses rentas sempadan dan keyakinan pembeli serta pelabur tempatan. Kami juga melihat peningkatan minat terhadap komuniti terancang dan bersepadu di mana penduduk boleh tinggal, bekerja dan beriadah dalam komuniti yang sama. Peralihan ke arah perbandaran mampan dan menyeluruh ini menandakan kematangan pasaran hartanah, di mana nilai, kesalinghubungan dan kualiti hidup menjadi pemacu utama keputusan pembelian — bukan sekadar lokasi.”

Pemaju yang Meraih Kepercayaan Awam

Anugerah Pilihan Rakyat, yang ditentukan melalui hampir 28,000 undian awam, mengiktiraf 10 pemaju paling dipercayai pengguna Malaysia. Pemenangnya ialah Berinda Group; CPI Land; Gunung Impian Development Sdn Bhd; Mah Sing Group Berhad; Malton Berhad; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Platinum Victory; Tiland Group; Tropicana Corporation Berhad; dan TRX City Sdn Bhd. Pemenang dipilih daripada senarai pendek 30 pemaju terkemuka.

Keputusan ini mengesahkan bahawa pengguna terus menaruh kepercayaan terhadap pemaju hartanah mapan yang konsisten menawarkan kualiti dan nilai jangka panjang. Dapatan ini memberi panduan berguna kepada pemaju, pelabur dan pembuat dasar tentang projek paling mendapat permintaan serta pemaju yang menikmati tahap kepercayaan pengguna tertinggi.

Pemimpin Industri Tetapkan Piawaian Baharu dalam Kelestarian & Inovasi

JLand Group muncul sebagai pemenang paling cemerlang, meraih gelaran Pemaju Terbaik (Malaysia), Pemaju Terbaik (Malaysia Selatan) dan Pemaju Perindustrian Terbaik. Projek unggulnya, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, turut meraih pelbagai anugerah termasuk Pembangunan Perbandaran Terbaik (Malaysia), menyerlahkan kepimpinan JLand dalam pembangunan komuniti bersepadu.

Pemaju negeri PKNS menonjol sebagai peneraju ESG dengan gelaran Sustainable Design Champion dan Low Carbon Champion, mengiktiraf komitmen kukuh terhadap reka bentuk mesra alam melalui projek seperti Linkar 52, Aludra Residensi dan Galeria SA Sentral.

Pengurus Besar PropertyGuru Asia Property Awards & Events, Jules Kay berkata, “Anugerah ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan, tetapi turut mencerminkan gambaran tentang apa yang paling dihargai oleh pasaran hartanah. Pemaju kini menetapkan piawaian dalam kelestarian, kesalinghubungan dan kualiti hidup, manakala data pengguna menunjukkan permintaan jelas terhadap pembangunan berkualiti. Terdapat peralihan ketara ke arah komuniti yang selesa didiami dan mempunyai rangkaian baik, khususnya di Johor dan Selangor yang menyaksikan pembangunan berskala besar mengubah landskap hartanah. Dalam masa yang sama, kelestarian bukan lagi pilihan — pemaju memimpin dengan mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam setiap projek. Penyelarasan antara inovasi, data dan keperluan pengguna inilah yang akan membentuk kejayaan hartanah Malaysia pada masa depan.”

Meraikan Kecemerlangan Hartanah di Seluruh Malaysia

Sebanyak 73 kategori mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri hartanah Malaysia — daripada kediaman mewah hingga perumahan mampu milik, serta pembangunan komersial inovatif di seluruh negara. Menandakan edisi ke-20 pada tahun 2025, siri Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru akan mencapai kemuncaknya dalam Grand Final di Bangkok pada 12 Disember 2025. Seramai 23 pemenang dari Malaysia akan bersaing bagi gelaran Terbaik di Asia bersama penyertaan dari 14 pasaran lain di pentas antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk senarai penuh pemenang di bawah atau layari: AsiaPropertyAwards.com.