Pembatalan Belian Oleh Kilang Penapis India Dianggap Tindakan Sementara – Johari

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) — Keputusan kilang penapis India membatalkan pembelian kira-kira 100,000 tan minyak sawit sebagai respons terhadap kenaikan cukai import yang diputuskan kerajaannya baru-baru ini dianggap satu tindakan sementara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut laporan, India menaikkan cukai import asas ke atas minyak makan mentah dan ditapis sebanyak 20 mata peratusan, sekali gus meningkatkan jumlah duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 27.5 peratus daripada 5.5 peratus

Pembatalan itu mewakili 13.3 peratus daripada jumlah import bulanan India, yang berjumlah 750,000 tan.

Bagaimanapun, Johari menyatakan keyakinan bahawa, berdasarkan populasi India sebanyak 1.45 bilion, negara itu akan terus memerlukan minyak sayuran untuk penggunaan.

“Kami akan terus menjadi rakan yang baik (kepada India) dan menawarkan minyak sawit mampan,” katanya pada sidang media sempena Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) 2024 di sini, pada Selasa.

India ialah pengimport terbesar dunia dan pengguna minyak makan kedua terbesar.

Pada tahun fiskal 2022-23 (April-Mac), India mengimport 16.5 juta tan minyak makan, dengan pengeluaran domestik hanya memenuhi 40 hingga 45 peratus daripada jumlah keperluan.

Penggunaan minyak dan lelemak oleh India adalah kira-kira 27.2 juta tan pada 2023, dengan minyak sawit menyumbang 36 peratus kepada angka itu.

Pada 2023, India mengimport 2.83 juta tan minyak sawit dari Malaysia, mewakili 18 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia. Pembekal minyak sawitnya yang lain termasuk Indonesia dan Thailand.

Ketika ditanya mengenai potensi perbincangan dengan kerajaan India agar duti import itu dipertimbangkan semula, Johari berkata keputusan sedemikian adalah hak kerajaan masing-masing.

“Kami tidak boleh berbuat demikian (meminta kerajaan India untuk mempertimbangkan semula) kerana itu adalah hak kerajaan mereka dan sebarang isu cukai adalah berkenaan negara itu, kami tidak boleh campur tangan,” katanya.

Menjawab soalan mengenai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan eksport ke Rusia, beliau berkata Malaysia menawarkan minyak sawit kepada Moscow untuk penggunaan makanan dan bukan makanan.

Beliau berkata Malaysia masih belum meneroka sepenuhnya potensi pasaran populasi Rusia sebanyak 144.82 juta.

“Saya mahu menumpukan kepada minyak sawit dan (meneroka) sebarang peluang perdagangan lain yang boleh diusahakan bersama oleh Malaysia dan Rusia,” katanya.

Sementara itu, MPOF, anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), menarik hampir 500 pihak berkepentingan antarabangsa terkemuka, termasuk pengilang, peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan industri, untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang penting yang membentuk masa depan minyak sawit.

MPOF 2024 yang bertemakan “Navigating Trade Challenges with Sustainable Solutions” menghimpunkan hampir 100 pembeli minyak dan lelemak dari lebih 30 negara, memberikan peluang kepada mereka untuk bekerjasama dengan pembekal minyak sawit tempatan dan sumber produk minyak sawit untuk pasaran dan sektor pembuatan masing-masing.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Eksport Durian Malaysia Ke China Bernilai RM6.37 Bilion Dari 2018-2025 – KPKM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — Malaysia mengeksport sebanyak 115,359 tan metrik bernilai RM6.37 bilion durian dalam pelbagai bentuk iaitu sejuk beku, segar serta ‘pulp and paste’ ke pasaran China dari tahun 2018 hingga 2025, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata bagi tempoh 2018 eksport durian “pulp and paste” Malaysia mencatat 3,555 tan metrik bernilai RM202 juta.

Pada Jun 2019, Malaysia mula mengeksport durian sejuk beku biji ke China melibatkan 3,177 tan metrik (RM143 juta), manakala eksport “pulp and paste” meningkat kepada 5,239 tan metrik (RM168 juta).

“Eksport durian sejuk beku biji meningkat kepada 6,225 tan metrik (RM286 juta), manakala eksport “pulp and paste” menurun kepada 3,456 tan metrik (RM171 juta) pada 2020.

“Pada 2021, eksport durian sejuk beku biji ke China meningkat dua kali ganda kepada 12,153 tan metrik (RM577 juta), manakala “pulp and paste” meningkat kepada 5,895 tan metrik (RM368 juta),” katanya.

Kementerian itu menjawab soalan daripada Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkenaan jumlah tan metrik dan nilai dagangan pengeksportan durian sejuk beku, durian segar dan durian ‘pulp and paste’ ke pasaran China dari tahun 2018 hingga 2025.

Mengulas lanjut, KPKM memaklumkan eksport durian sejuk beku biji ke China terus meningkat kepada 13,401 tan metrik (RM1.277 bilion), manakala “pulp and paste” menurun sedikit kepada 5,703 tan metrik (RM326 juta) pada 2022.

Sementara itu, pada 2023, eksport durian sejuk beku biji ke China sebanyak 13,983 tan metrik (RM738 juta), manakala eksport “pulp and paste” meningkat dua kali ganda kepada 12,321 tan metrik (RM623 juta).

Mulai Ogos 2024, Malaysia mula mengeksport durian segar biji ke China sebanyak 501 tan metrik (RM42 juta), pada masa sama, durian sejuk beku biji masih dieksport, namun, mencatatkan penurunan kepada 8,518 tan metrik (RM418 juta) dan “pulp and paste” kepada 11,611 tan metrik (RM579 juta).

“Durian sejuk beku biji masih dieksport (pada 2025) namun, menurun kepada 8,518 tan metrik bernilai RM418 juta, manakala eksport “pulp and paste” menurun kepada 11,611 tan metrik bernilai RM579 juta.

“Sehingga Jun 2025, eksport durian segar ke China meningkat kepada 773 tan metrik bernilai hampir RM50 juta, eksport durian sejuk beku biji sebanyak 3,599 tan metrik (RM183 juta), manakala eksport “pulp and paste” sebanyak 5,241 tan metrik (RM230 juta),” katanya.

Dalam pada itu, KPKM berkata pihaknya melalui Jabatan Pertanian terus komited untuk meneroka peluang serta memperluaskan pasaran baharu durian Malaysia ke negara-negara lain seperti Taiwan dan Peru.

“Nilai eksport durian dari Malaysia dijangka mencecah RM1.8 bilion pada 2030 melibatkan kuantiti eksport sebanyak 69,000 tan metrik,” kata kementerian itu.
— BERNAMA