Pernah Dengar Pasal Derivatif? Atau FCPO?

Biasa bila sebut pasal pelaburan di Bursa Malaysia, perkara yang bermain dalam minda kita adalah saham. Ada juga yang melabur dalam waran, REIT, ETF dan juga bon. Tetapi kalau diikutkan, kesemua instrumen ini adalah tergolong dalam produk bernama ekuiti. Terdapat juga satu lagi kategori produk yg ditawarkan oleh Bursa Malaysia, dikenali sebagai produk derivatif.  Apa itu derivatif?

Definisi derivatif mengikut Bursa Malaysia Berhad:

Derivatif ialah instrumen kewangan yang digunakan untuk mengurus pendedahan seseorang itu kepada kemeruapan pasaran pada masa ini. Nilai produk derivatif bergantung kepada dan diperoleh daripada instrumen pendasar, seperti komoditi, kadar faedah, indeks dan saham.

Dalam perkataan lain, derivatif ialah kontrak kewangan dengan nilai yang dikaitkan dengan pergerakan harga hadapan yang dijangka dengan aset asas dikaitkan. la digunakan sebagai alat untuk melindung nilai, membuat spekulasi dan arbitraj.

Kesemua produk derivatif di Malaysia dikawal selia dan didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives Berhad iaitu anak syarikat kepada Bursa Malaysia Berhad (BMD).

Terdapat dua kategori produk derivatif yang ditawarkan untuk didagangkan di BMD iaitu Kontrak Niaga Hadapan (Futures Contract) dan Kontrak Opsyen (Options Contract).

Kontrak niaga hadapan atau Futures ialah perjanjian antara dua pihak untuk membeli atau menjual instrumen pendasar pada masa tertentu atau pada masa hadapan dengan harga tertentu yang ditetapkan pada hari ini.

Kontrak Opsyen atau Options pula memberikan pemegang/pembeli dengan hak, untuk membeli dan menjual sejumlah kuantiti instrumen pendasar pada harga ditetapkan pada masa tertentu dengan membayar premium.

Anda Kategori Pelabur Yang Mana Satu?

Sumber: Bursa Malaysia

Tetapi sebelum kita mula, apa kata anda tanya diri anda dahulu produk pelaburan mana yang sesuai dengan diri anda. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai matlamat yang berbeza, dan pendekatan anda untuk mencapat matlamat tersebut bergantung kepada tahap risiko/tahap pulangan yang sesuai dengan pelaburan anda. Perlu diingat, semakin tinggi pulangan, semakin tinggi juga pendedahan anda kepada risiko pelaburan.

Dah kenalpasti anda kategori pelabur yang mana satu? Jom berkenalan pula dengan derivatif.

2 Cara Derivatif Didagangkan

1. Derivatif yang Di Dagangkan di Bursa (ETD)

Derivatif yang di Dagangkan di Bursa (Exchange Traded Derivatives (ETD)) adalah kontrak yang didagangkan di atas sesuatu platform yang diuruskan oleh mana-mana bursa di dunia. Kontrak- kontrak ini mempunyai spesifikasi dan terma- terma yang telah ditetapkan oleh bursa masing – masing bergantung kepada jenis produk masing-masing.

2. Derivatif yang di Dagangkan di Luar Bursa (Over-the -Counter (OTC))

Adalah kontrak yang dirunding secara tertutup dan didagangkan terus antara dua pihak. Kontrak-kontrak ini sebaliknya tidak mempunyai spesifikasi yang tetap dan bergantung kepada rundingan dan persetujuan antara dua pihak.

Ada 3 Kategori Produk Derivatif

BMD menawarkan 3 kategori derivatif: Derivatif Komoditi, Derivatif Ekuiti dan Derivatif Kewangan

1. Derivatif Komoditi

Derivatif Komoditi terdiri daripada dua kategori, iaitu pertanian dan logam berharga:

A. Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) – Patuh Syariah

FCPO merupakan satu-satunya derivatif yang patuh syariah yang giat didagangkan. Malaysia yang sememangnya terkenal dengan kelapa sawit dan dengan pengalaman didagangkan selama lebih 30 tahun – menjadikan FCPO lubuk emas untuk para pedagang.

Kontrak ini diselesaikan secara fizikal.

B. Niaga Hadapan Olein Sawit USD RBD (FPOL)

FPOL ialah kontrak niaga hadapan bagi olein sawit yang didagangkan di BMD  dalam denominasi Dolar Amerika (USD). Pedagang FPOL boleh menggunakan FPOL untuk menguruskan risiko ketidaktentuaan harga pasaran fizikal olein sawit.

Pada tamat tempoh kontrak, kontrak ini boleh diselesaikan secara fizikal dengan gandaan 500MT bagi setiap penghantaran. Manakala nilai selebihnya akan diselesaikan secara tunai.

C. Niaga Hadapan Minyak Sawit Isirong Mentah (FPKO)

FPKO pula merupakan kontrak niaga hadapan yang instrumen pendasarnya ialah minyak sawit isirung mentah. Juga digunakan pedagang sebagai instrumen mengawal risiko ketidaktentuan harga pasaran fizikal minyak sawit isirung mentah.

Kontrak FPKO ialah kontrak penyelesaian fizikal.

D. Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah USD (FUPO)

FUPO ialah kontrak niaga hadapan dalam mata wang USD yang melengkapkan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) yang didagangkan dalam mata wang Ringgit Malaysia. FUPO ialah kontrak penyelesaian tunai yang tidak melibatkan penghantaran fizikal Minyak Sawit Mentah (CPO).

E. Opsyen atas Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (OCPO)

OCPO merupakan instrumen dagangan yang versatil dan fleksibel yang membolehkan kepelbagaian strategi dagangan diguna pakai. Opsyen bagi kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah ini memberi kelebihan pada pedagang untuk menjana keuntungan walaupun pada keadaan pasaran yang stabil. Pedagang yang berdagang kedua- dua pasaran niaga hadapan dan pasaran fizikal bagi minyak sawit mentah, boleh memilih OCPO untuk mengawal risiko bagi kedua-dua posisi dagangan mereka.

Kontrak opsyen merupakan kontrak penyelesaian fizikal yang ditukar dalam bentuk kontrak niaga hadapan (FCPO)

F. Niaga Hadapan Emas (FGLD)

FGLD ialah Kontrak Niaga Hadapan Emas dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang didagangkan dalam Bursa Malaysia Derivatif. FGLD memberikan pendedahan kepada peserta pasaran tentang pergerakan harga emas pada kos kemasukan yang murah. Ini memberi ruang kepada mereka yang ingin memulakan dagangan kontrak niaga hadapan dengan modal yang lebih rendah.

Kontrak FGLD diselesaiakan secara tunai.

G. Niaga Hadapan Timah USD (FTIN)

FTIN pula menyediakan ruang bagi pedagang untuk berdagang kontrak FTIN bagi mengawal pendedahan risiko bagi instrumen fizikalnya iaitu, Timah. Tidak seperti FGLD, FTIN didagangkan di dalam USD.

Kontrak ini juga diselesaikan secara tunai

2. Derivatif Ekuiti

Terdapat 3 pilihan yang ada di bawah Derivatif Ekuiti ini:

A. Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI)

FKLI merupakan antara dagangan yang paling aktif pasarannya. Menawarkan pedagang pendedahan kepada Indeks FTSE Bursa Malaysia FBM KLCI yang terdiri daripada 30 kaunter saham di papan utama.

Kontrak ini diselesaikan secara tunai

B. Opsyen (OKLI) FTSE Bursa Malaysia KLCI

Jika OCPO merupakan pelengkap bagi dagangan FCPO, OKLI pula menawarkan kelebihan kepada pedagang untuk mengawal risiko posisi dagangan FKLI mereka dan memberi peluang untuk mereka menjana keuntungan walaupun dalam keadaan pasaran yang tetap.

Kontrak ini diselesaikan secara tunai dalam bentuk kontrak niaga hadapan FKLI.

C. Niaga Hadapan (SSFs) Saham Tunggal

Opsyen KLCI Niaga Hadapan Saham Tunggal (SSF) oleh FTSE Bursa Malaysia boleh menjadi tambahan kepada hampir semua portfolio. Ia membolehkan perlindungan pendedahan risiko anda, serta memberi peluang spekulasi tentang pergerakan harga. (OKLI) SSF menawarkan leveraj, dan lebih murah untuk didagangkan berbanding pelaburan saham langsung. Anda boleh membeli atau menjual SSF pada bila-bila masa.

Kontrak ini diselesaikan secara tunai pada tamat tempoh kontrak.

3. Derivatif Kewangan

Terdapat 4 pilihan yang ada di bawah Derivatif Kewangan ini:

A. Niaga Hadapan Kadar Ditawarkan Antara Bank KL 3-Bulan (KLIBOR) (FKB3)

B. Kontrak Niaga Hadapan MGS 3-Tahun (FMG3)

C. Kontrak Niaga Hadapan MGS 5-Tahun (FMG5)

D. Kontrak Niaga Hadapan MGS 10-Tahun (FMGA)

Sumber Rujukan: Bursa Malaysia

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesemua produk-produk yang ditawarkan di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) anda boleh rujuk di www.bursamalaysia.com atau jika anda ingin belajar mengenai niaga hadapan, anda boleh rujuk portal Bursa Malaysia Market Place di www.bursamarketplace.com atau broker-broker berhampiran anda.

Harga Naik Pun Boleh Untung, Harga Turun Pun Boleh Buat Duit

Salah satu daripada kelebihan derivatif adalah di mana para pelabur boleh membuat keuntungan di kala pasaran sedang menaik, mahu pun menurun. Pelabur boleh long atau beli apabila market menaik, dan boleh juga short atau jual dahulu dan beli semula kemudian apabila pasaran sedang menurun.

Senang cerita, kalau anda rasakan pasaran akan menaik dalam masa terdekat – boleh long (beli). Kalau rasa cuaca tak menentu dan bakal menjejaskan pengeluaran atau harga bahan mentah dalam masa terdekat, boleh short (jual) dahulu.

Tapi bagi yang beragama Islam pula, hanya Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) sahaja yang patuh Syariah.

Baca juga: Tutorial Buka Akaun Futures Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Futures Di Malaysia & Global

Boleh juga buka dan trade FCPO dengan akaun Webull, rujuk Tutorial Buka Akaun Trading Dengan Webull, Beli Saham Bursa Malaysia, AS & Derivatif

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.