Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Medical card (takaful perubatan) menanggung kos rawatan hospital termasuklah kemasukan wad, pembedahan, rawatan kanser/kidney dialysis serta membolehkan “cashless admission” di hospital panel.

Bagi yang berkemampuan, mungkin Medical Card ini sudahpun di‘cover’ oleh Pelan Takaful anda. Tapi, ada sesetengah orang belum ada Medical Card sendiri sebab belum ada keperluan. Mungkin ianya ditanggung oleh majikan. Atau anda selama ini memang lebih suka pergi ke Hospital Kerajaan kerana anda dapat keistimewaan sebagai kakitangan kerajaan.

Tapi bila melibatkan anak-anak, barulah berasa perlu untuk ada Medical Card.

Jadi, Medical Card yang mana terbaik di pasaran?

Medical Card yang patuh syariah seperti PruBSN Takaful, AIA Public Takaful, Great Eastern Takaful, AmmetLife Takaful, Zurich Takaful dan banyak lagi.

Kalau ditanya pada ejen takaful, sah-sah akan kata syarikat takaful dia yang terbaik. Melainkan ejen tersebut betul-betul jujur dan prihatin terhadap keperluan anda. Oleh itu, penting untuk kita sendiri mengenalpasti faktor yang perlu dipertimbangkan selain harganya.

5 Perkara Kena Faham Supaya Tak ‘Tertipu’ Dengan Medical Card

1. Jenis Coverage – Tahunan Atau Seumur Hidup?

Ada 2 jenis coverage yang terdapat pada Medical Card yang perlu anda tahu untuk bezakan, iaitu perlindungan seumur hidup (life time coverage) atau perlindungan tahunan (annual coverage).

Menurut ramai ejen takaful yang berpengalaman, apabila ditimpa penyakit, situasi yang biasa berlaku adalah seseorang tidak dapat menampung jumlah kos perubatan kerana telah mencapai had perlindungan tahunan, contohnya RM 100,000/tahun.

Menurut akhbar tempatan bertarikh Mei 2017, rawatan kanser paling minima di hospital swasta adalah RM20,000 dan ia boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit. Jadi, apabila keadaan bertambah buruk, seseorang perlu menampung dengan wang sendiri walaupun mempunyai Medical Card.

Jangan keliru, ejen takaful kadang-kadang suka sebut angka yang besar-besar.

“Bro, jangan risau…Medical Card ni cover sampai RM500,000”

Biasanya, itu had seumur hidup. Kalau had tahunan cuma RM100,000 dan kalau kita jatuh sakit, bila habis saja had tu, kita terpaksa keluar dari hospital swasta walaupun had seumur hidup masih berbaki RM400,000.

2. Co-Takaful / Co-Payment atau Full Payment?

Co-Takaful ialah peratusan yang perlu ditanggung sendiri setiap kali claim. Contoh 10% dari bil setiap kali masuk wad dan setiap kali follow up. Biasanya ada limit antara RM300 ke RM1,000 setiap kali masuk wad atau follow up.

Co-Payment pula ialah peratusan yang perlu ditanggung dari bil-bil lain (selain caj bilik) yang dikenakan bila client naik taraf bilik wad melebihi had bilik.

Teliti terma dan syarat dalam Medical Card sama ada ianya menawarkan pelan yang ada co-payment. Walaupun harganya nampak murah, tapi ia mungkin akan menyusahkan anda apabila ditahan wad nanti.

Jadi, kalau masa kecemasan tak bawa cash, susahlah. Tapi, kalau anda rasa lebih jimat begitu, terpulang.

3. Renewal – Yearly Atau Guaranteed?

Bagi Medical Card yang diperbaharui setiap tahun (Yearly Renewable), pembaharuan bergantung kepada claim review setiap tahun. Kalau pernah claim banyak, maksudnya ada kemungkinan akan kena caj tambahan, syarat pengecualian, dan sebagainya hingga ia boleh menghilangkan faedah Medical Card anda. Malah, ia mungkin menyukarkan anda untuk memohon Medical Card baru dari melalui syarikat lain.

Maka, pastikan perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh ejen.

Medical Card yang jenis Guaranteed Renewal lebih terjamin kerana syarikat tidak boleh menamatkan Medical Card anda sesuka hati atau menambah sebarang caj melainkan bila anda tak bayar atau lifetime limit dah habis. Jadi, walaupun pernah claim banyak kali untuk penyakit yang sama atau penyakit berisiko tinggi, anda tak perlu risaukan sebarang caj ‘tersembunyi’.

4. Harga Hospital / Wad

Kalau terjadi sesuatu, hospital mana yang paling selesa untuk dirujuk? 
Berapa harga wad bilik di hospital tersebut?
Adakah harga tersebut bersesuaian dengan kawasan tempat tinggal anda?

Ini adalah persoalan yang berbaloi untuk anda renungkan kerana faktor lokasi memainkan peranan penting juga. Kalau duduk di Lembah Klang, harga untuk bilik single RM250 sehari tu masih boleh dapat lagi.

Selain itu, kena realistik untuk memikirkan sama ada jumlah coverage tersebut tahan inflasi. Jadi, adakah harga bilik wad yang ditawarkan masih relevan untuk tempoh 10 tahun dari sekarang?

 5. Polisi Boleh Ubah Atau Tetap

Akhir sekali, jangan lupa semak sama ada polisi Medical Card anda adalah tetap atau boleh ubah. Jangan lupa teliti betul-betul pada bahagian Portfolio Withdrawal Condition kerana sesetengah orang mungkin tak faham bab ni.

Klausa Portfolio Withdrawal Condition ini membenarkan syarikat insurans untuk menarik balik produk dari pasaran dengan memberi notis 30 hari. Walaupun menjanjikan guaranteed renewal, ia membolehkan syarikat tersebut untuk berhenti menanggung claim yang terlalu banyak. Dalam erti kata lain, tak salah untuk mereka ‘lepaskan diri’!

Tiada Istilah Medical Card Terbaik

Kenapa Tak Suka Ejen Takaful?

Maaf, tiada istilah Medical Card terbaik, tetapi yang ada adalah “paling sesuai”.

Jadi kalau sudah ada Medical Card, buka balik polisi tu. Baca dan faham apa yang dia cover.

Jangan asyik bertangguh, sebab Medical Card biasanya akan kecualikan coverage untuk sakit yang dah ada dalam rekod kita selama 5 tahun kebelakangan – tak kiralah rekod pada hospital kerajaan, hospital swasta, atau klinik.

Jadi sebaiknya Medical Card ini diambil semasa umur muda sebab bayaran premium bulanannya murah.

Harganya tak akan berubah walaupun harga semasanya dah naik banyak kali bila umur kita semakin meningkat. Maksudnya, lagi awal kita mula, lagi murah kita bayar. Barulah jimat!

Cara Pilih Medical Card (Checklist ringkas)

Selain faktor ejen Takaful yang mesra alam, ambil kira juga faktor berikut :

  • Had tahunan : Jumlah maksimum yang dilindungi dalam setahun.
    Semakin tinggi had tahunan, semakin luas perlindungan — contohnya RM100,000 hingga RM2 juta setahun. Ada pelan yang “reset” semula had jika anda guna untuk penyakit berlainan.

  • Co-takaful / deductible / co-payment :

    Bahagian kos rawatan yang anda perlu tanggung sendiri:

    • Co-takaful: Peratus tertentu (contoh: 10% daripada bil hospital).

    • Deductible: Amaun tetap pertama yang anda bayar (contoh: RM300).

    • Co-payment: Perkongsian kos tertentu mengikut pilihan pelan. Biasanya, lebih tinggi perkongsian anda → caruman bulanan lebih murah.

  • Panel hospital & proses cashless : Pastikan medical card anda boleh digunakan di rangkaian hospital panel yang luas. Proses cashless admission bermaksud anda tidak perlu bayar pendahuluan tetapi syarikat Takaful terus bayar dengan hospital.

  • Had rawatan kanser/dialisis & rawatan pesakit luar : Semak sama ada pelan menawarkan perlindungan tanpa had tahunan khusus untuk penyakit kritikal seperti kanser, supaya tak perlu risau kos rawatan berulang.

  • Umur perlindungan (ada yang hingga 80/100 tahun)

  • Standalone vs rider ILP, tempoh menunggu, pengecualian :

    • Standalone: Pelan yang mudah difahami & tak bergantung pada pelan pelaburan.

    • Rider ILP: Pelan tambahan kepada polisi pelaburan (Investment-Linked Plan), lebih fleksibel tapi kos berubah mengikut umur.

    • Tempoh menunggu: Biasanya 30 hari untuk penyakit biasa, 120 hari untuk penyakit serius.

    • Pengecualian: Senarai keadaan atau penyakit yang tidak dilindungi ni perlu semak dalam Product Disclosure Sheet (PDS) sebelum tandatangan.

Baca juga baca Rasa Rugi je Bayar Takaful Tiap-Tiap Bulan?

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?