
(kiri) Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (Ketua Pegawai Operasi, Pelaburan MARA Berhad) bersama YBhg. Dato’ Abdul Malik Ismail (Pengerusi, PMB Investment Berhad), YBhg. Dato’ Nazim Rahman (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan MARA Berhad) dan Najmi Haji Mohamed (Ketua Pegawai Eksekutif, PMB Investment Berhad) menunjukkan prestasi dana-dana terbaik PMB Investment yang memenangi Anugerah Dana Lipper 2018.
PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA), berjaya memenangi empat (4) anugerah dalam tiga (3) kategori dana unit amanah syariah terbaik Malaysia pada Majlis Penganugerahan The Edge | Thomson Reuters Lipper Fund Awards 2018 hari ini (26 Mac 2018).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Dato’ Nazim Rahman berkata,
“Kami begitu bersyukur dengan empat (4) anugerah yang diterima untuk tiga (3) dana kami. Penganugerahan kali ini adalah kemenangan hatrik setelah berjaya memperolehi pengiktirafan daripada Morningstar, syarikat penyelidikan pelaburan bebas antarabangsa pada minggu lepas untuk salah satu dana kami”.
Nazim menambah, “kemenangan ini membuktikan dana-dana kami berupaya memberi pulangan yang baik dan masyarakat pelabur seharusnya mengambil kesempatan ini untuk membuat perancangan pelaburan dengan melabur dalam dana-dana berprestasi tinggi yang diurus oleh PMB Investment.

Mengulas lanjut mengenai dana-dana yang menerima anugerah pada hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Haji Mohamed berkata, “salah satu dana yang menerima anugerah ialah PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF) memenangi anugerah Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga (3) tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan prestasi pulangan yang direkodkan adalah sebanyak 50 peratus”.
Menurut Najmi, PMB Investment turut memenangi anugerah Dana Ekuiti Pendapatan Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga (3) tahun dan lima (5) tahun berakhir 31 Disember 2017 melalui PMB Shariah Dividend Fund (PMB SDF). Dana ini telah merekodkan pulangan sebanyak 36% bagi tempoh 3 tahun dan 45% bagi tempoh 5 tahun berakhir 31 Disember 2017.
“Selain itu, dana lain yang turut memenangi anugerah adalah PMB Shariah Aggresive Fund (PMB SAF) dalam kategori Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh lima (5) tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan merekodkan prestasi pulangan sebanyak 112 peratus,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini, PMB SAF pernah memenangi Anugerah di The Edge-Lipper Awards Malaysia 2014 bagi Kategori Ekuiti Syariah Terbaik Malaysia bagi tempoh 3 tahun berakhir 2013. PMB SAF juga pernah membolot tiga (3) anugerah utama pada majlis penganugerahan bagi tahun 2016 apabila memenangi Anugerah Dana Ekuiti Terbaik
Malaysia Keseluruhan bagi tempoh 3 tahun berakhir 31 Disember 2015. Selain itu, ia juga memenangi Anugerah Dana Ekuiti Patuh Syariah Terbaik bagi tempoh 3 dan 5 tahun berakhir 31 Disember 2015.
“PMB SAF juga pernah menerima pengiktirafan global apabila menerima dua anugerah Thomson Reuters Lipper Fund Awards 2016 Global Islamic,” tambahnya lagi.
“Dengan penganugerahan ini, kami bertambah yakin untuk mengorak langkah ke pasaran Asia Tenggara dengan memperkenalkan satu dana baharu. Pengumuman berkaitan dana tersebut akan dimaklumkan pada minggu hadapan,” kata Najmi lagi.
PMB Investment sebuah syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, adalah sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), menguruskan 14 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.