Sunway City Kuala Lumpur, 20 November 2025 – Syarikat perkhidmatan pembinaan bersepadu utama Malaysia, Sunway Construction Group Berhad (“Sunway Construction” atau “Kumpulan”), dengan sukacitanya mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2025 (“Q3 FY2025”).
Sunway Construction mengekalkan momentum pertumbuhan yang kukuh, mencatatkan hasil melebihi RM1.4 bilion untuk empat suku berturut-turut. Kumpulan merekodkan peningkatan hasil sebanyak 67.0% kepada RM1,445.2 juta dalam Q3 FY2025, disertai lonjakan 80.2% dalam keuntungan sebelum cukai (“PBT”) kepada RM127.1 juta. Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh sumbangan kukuh daripada semua segmen.
Sebagai penyumbang teras kepada pendapatan Kumpulan, segmen pembinaan terus menggerakkan pertumbuhan pada suku semasa. Hasil meningkat 66.8% kepada RM1,387.4 juta berbanding RM831.8 juta pada suku yang sama tahun lepas, manakala PBT melonjak 79.7% kepada RM123.1 juta. Prestasi cemerlang ini dipacu oleh kemajuan pesat pelbagai projek pusat data serta projek yang dijalankan dalam Kumpulan Sunway.
Bagi suku semasa, Kumpulan mengisytiharkan dividen sebanyak 29.25 sen, merangkumi dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak 6.25 sen dan dividen khas sebanyak 23.00 sen. Termasuk dividen interim terdahulu, jumlah dividen terkumpul bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 kini berjumlah 41.50 sen sesaham biasa.
Pengarah Urusan Sunway Construction Group, Encik Liew Kok Wing, berkata,
“Sunway Construction mencapai keputusan sembilan bulan yang mencatat rekod, dengan hasil dan PBT berganda bagi tempoh tersebut. Pencapaian ini mencerminkan keupayaan pelaksanaan kukuh Kumpulan dalam segmen Kemudahan Teknologi Lanjutan, setelah berjaya menyiapkan lebih 144MW kapasiti pusat data, dan kini menguruskan lapan projek yang sedang berjalan untuk syarikat teknologi global utama.”
Beliau turut mengulas prospek industri,
“Industri pembinaan Malaysia mencatat pertumbuhan 11.8% dalam Q3 2025, disokong oleh pelaksanaan pelaburan yang diluluskan dan inisiatif pelan induk nasional. Belanjawan Persekutuan 2026 memperuntukkan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, terutamanya bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan, menaik taraf infrastruktur jalan raya, memperkukuh daya tahan iklim dan memajukan pembangunan infrastruktur digital. Ini sangat positif untuk menyokong pertumbuhan berterusan sektor ini dalam jangka sederhana.”
Beliau menambah lagi,
“Kumpulan terus mengukuhkan kehadirannya dalam segmen Kemudahan Teknologi Lanjutan, di samping kekal fokus terhadap projek awam dan infrastruktur berskala besar, serta projek dalaman daripada Kumpulan Sunway. Gabungan yang seimbang ini menyokong buku pesanan yang pelbagai dan mampan. Secara keseluruhan, Kumpulan yakin dapat menyampaikan keputusan yang positif bagi FY2025, disokong oleh buku pesanan yang sihat, kedudukan kewangan yang kukuh dan keupayaan pelaksanaan yang terbukti.”