Dua Persoalan Penting Tentang IPO Terbesar Dunia, Saudi Aramco Milik Kerajaan Arab Saudi

Rasmi, Saudi Aramco adalah syarikat terbesar dan paling bernilai di dunia. Saham IPO terbesar dunia Saudi Aramco mencecah sasaran US$2 trillion pada hari kedua (12 Disember 2019) kemasukannya ke dalam pasaran saham tempatan.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman berhasrat menjadikan syarikat milikan penuh kerajaan Arab Saudi itu sebagai rancangan untuk mempelbagaikan ekonomi negaranya dan mengurangkan pergantungan kepada minyak mentah yang menjadi nadi utama negara Arab Saudi sejak sekian lama.

Dalam penampilan pertamanya di bursa saham Tadawul pada hari Rabu (11 Disember) ia melonjak sehingga 10% sekaligus meraih dana US$25.6 billion untuk kerajaan Arab Saudi pada nilaian US$1.9 trillion modal pasaran syarikat tersebut.

Setakat ini syarikat paling hampir adalah Apple yang didagangkan di sekitar US$1.2 trillion.

Selepas beberapa tahun ditangguhkan akhirnya Aramco mula diapungkan di bursa saham Tadawul pada Rabu menjadikan ia satu detik bersejarah kepada penyumbang hampir 10% minyak mentah dunia itu.

Untuk pengetahuan anda, Saudi Aramco dahulunya dinamakan sebagai Califonia-Arabian Standard Oil Company yang diasaskan sejak lebih daripada 80 tahun lalu iaitu pada tahun 1933. Kemudian namanya diubah kepada Arabian-American Oil Company pada tahun 1944. Sehinggalah namanya ditukarkan kepada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) pada tahun 1988.

1. Kenapa Saudi Aramco Disenaraikan Di Bursa Saham?

Kerajaan Arab Saudi telah memperkatakan tentang penjualan sebahagian saham syarikat gergasi minyaknya sejak beberapa tahun yang lalu. Kerajaan berhasrat untuk menggunakan dana tersebut untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara itu dengan hanya menjual 1.5% sahamnya yang mana selebihnya (98.5%) masih berada dalam genggaman keluarga diraja Arab Saudi.

Walaubagaimanapun, penyenaraian dibuat pada waktu yang mencabar dalam industri minyak mentah global. Harga minyak mentah tertekan semula dan pelaburan dalam industri ini juga semakin berkurangan. Dalam kajian yang dijalankan oleh Aramco sendiri permintaan untuk minyak mentah akan berkurangan selepas tahun 2040, tetapi beberapa penganalisa pasaran menjangkakan ia akan berlaku lebih awal daripada itu.

Tidak ramai yang percaya Aramco mampu mencecah nilai sasaran US$2 trillion yang mana sesetengah penganalisa menganggap ia terlalu tinggi kepada syarikat yang hanya bernilai US$1.2 trillion. Walaubagaimanapun, kerajaan Arab Saudi tetap optimis dan mengatakan hanya masa yang menentukan dan mereka yang skeptikal akan termakan kata-kata sendiri.

Tidak sampai seminggu dagangan, nilaian modal pasaran Aramco telah mencecah US$2 trillion pada hari Khamis (12 Disember 2019).

2. Bagaimana Saudi Aramco Kekal Untung Dalam Suasana Pasaran Yang Merudum?

Pertumbuhan ekonomi global adalah punca penurunan harga minyak mentah dunia dan banyak syarikat pengeluar minyak yang terhambat dengan situasi ini berikutan permintaan yang semakin merosot.

Bagi Jackie Forrest pengarah Penyelidikan Tenaga Arch, sebaliknya berlaku kepada Aramco kerana syarikat itu meraih keuntungan sehingga US$111 billion pada tahun 2018. Forrest berkata syarikat-syarikat lain mengalami kesukaran untuk meraih keuntungan dalam situasi harga minyak mentah kekal rendah. Tetapi ia tidak menjadi masalah kepada Aramco yang terus menggali dan mengeluarkan komoditi hitam  berharga itu.

Ia disebabkan kos pengeluaran adalah sangat kecil bagi Aramco berbanding syarikat pengeluar yang lain.

Saiz dan skop menyeluruh Aramco sukar untuk difahami kerana tahap transparensi yang rendah tetapi difahamkan syarikat yang dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi ini adalah pengeluar minyak mentah dengan kos yang paling rendah di dunia.

Bagi mengeluarkan satu tong minyak Aramco memerlukan US$5 hingga US$10 sahaja, manakala pengeluar di Kanada contohnya di kawasan Alberta memerlukan US$30 untuk pengeluaran mereka.

Ia bukan hanya syarikat terbesar di dunia, ia juga adalah satu syarikat minyak paling untung, menurut penganalisa pasaran.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/saudi-aramco-set-to-hit-2-trillion-market-value-on-thursday-2039595
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Saudi_Aramco
  3. https://www.ft.com/content/b6137df6-1cb4-11ea-9186-7348c2f183af
  4. https://www.cbc.ca/news/business/saudi-aramco-is-now-the-world-s-most-valuable-company-but-for-how-long-1.5392233
  5. https://www.cnbc.com/2019/12/10/saudi-aramco-ipo-mohamed-el-erian-is-a-firm-yes-on-buying-shares.html
  6. https://www.reuters.com/article/saudi-aramco-ipo/saudi-aramcos-winding-road-to-an-ipo-idUSL8N27K1NJ
  7. https://www.france24.com/en/20191103-after-many-delays-saudi-aramco-launches-ipo

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pelabur Asing Akhiri Dua Minggu Aktiviti Belian, Bawa Keluar US$1.71 Bilion Dari Pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Pelabur asing beralih menjadi penjual bersih, mengakhiri aktiviti belian bersih mereka selama dua minggu berturut-turut di pasaran Asia minggu lepas dengan mencatatkan aliran keluar bersih asing bernilai US$1.71 bilion.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 17 Okt, 2025 berkata antara pasaran yang dipantau hanya melibatkan India, Korea Selatan dan Indonesia mencatatkan aliran masuk bersih asing, manakala selebihnya menyaksikan aktiviti jualan bersih yang didahului oleh Taiwan, yang merekodkan aliran keluar terbesar di rantau ini.

“India meneruskan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih asing terbesar di rantau ini sebanyak US$968.5 juta, meningkat sebanyak 4.9 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

“Korea Selatan meneruskan aktiviti belian bersih asing selama tiga minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak US$569.5 juta, manakala Indonesia melanjutkan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut- turut dengan mencatatkan belian asing bernilai US$117.9 juta,” katanya.

Di Malaysia pula, MBSB IB berkata pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM962.8 juta.

Ia berkata pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas, dengan aktiviti jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Isnin sebanyak RM393.5 juta, diikuti Selasa (-RM320.0 juta), Jumaat (-RM190.8 juta) dan Rabu (-RM47.5 juta).

“Aliran keluar paling kecil berlaku pada Khamis yang menyaksikan pengeluaran sederhana berjumlah RM11.0 juta,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata hanya tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing minggu lalu iaitu produk pengguna dan perkhidmatan (RM518.9 juta), teknologi (RM87.3 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).

Ia berkata tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM835.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM270.3 juta), dan utiliti (-RM106.7 juta).

MBSB IB turut berkata pelabur institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan pembelian sebanyak RM1.32 bilion, manakala peruncit tempatan meneruskan aliran jualan bersih selama enam minggu berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM357.4 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu, dengan peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 26.7 peratus dan 18.7 peratus, manakala institusi tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 4.3 peratus,” katanya.
— BERNAMA