FBM KLCI Malaysia Di Bawah Nilai Sebenar, Boleh Meningkat Ke Paras 1,680 Mata – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ketika ini berada di bawah nilai sebenar dan boleh mencecah ke paras 1,680 mata sekiranya nisbah harga pendapatan (PER) bursa tempatan kembali kepada purata jangka panjangnya, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas prestasi permodalan pasaran ekuiti Bursa Malaysia yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion pada Selasa.

Bursa tempatan menerajui pasaran rantau Asean dengan jumlah rekod melebihi 1,000 syarikat tersenarai awam.

“Setelah meneliti PER FBM KLCI, ternyata ia kini didagangkan pada 15 kali, berbeza dengan purata jangka panjang kira-kira 17 kali. Ini menunjukkan bahawa FBM KLCI berada di bawah nilai sebenar.

“Memandangkan trajektori positif ekonomi dan pendapatan syarikat, terdapat kewajaran untuk FBM KLCI meningkat lebih kukuh.

“Saya menjangkakan FBM KLCI mencecah sekitar paras1,680 mata jika PER kembali ke paras puratanya,” katanya kepada Bernama sambil menambah pelabur asing kini telah mula kembali ke bursa tempatan.

Menurutnya, terdapat perubahan ketara aliran pelaburan asing ke dalam pasaran saham Malaysia baru-baru ini.

“Mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu lepas mungkin bertindak sebagai pemangkin kerana keputusan Rizab Persekutuan AS untuk tidak menaikkan kadar faedah memberi kelegaan yang besar kepada pasaran,” kata Mohd Afzanizam.

Beliau berpendapat komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal, bersama-sama dengan perubahan dalam dasar cukai dan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan, akan menyediakan kestabilan ekonomi.

“Mengekalkan momentum penyatuan fiskal berpotensi meningkatkan kedudukan kredit kerajaan, menarik lebih banyak dana asing ke dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nizam Jaafar, profesor madya di Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata lonjakan permodalan pasaran baru-baru ini membuktikan kekuatan dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Namun begitu, katanya, selain permodalan pasaran penting juga untuk mempertimbangkan pelbagai penunjuk dalam menilai iklim ekonomi tempatan.

“Ini termasuk kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), yang mempamerkan prestasi keseluruhan aktiviti ekonomi, kadar pekerjaan yang mencerminkan keadaan pasaran pekerjaan dan pengaruhnya terhadap perbelanjaan pengguna serta kadar inflasi – yang mana penting untuk mengukur kuasa beli dan kestabilan ekonomi.

“Selain itu, pelaburan langsung asing merupakan penunjuk utama keyakinan antarabangsa dan aliran masuk modal, manakala baki akaun semasa menunjukkan dinamik perdagangan dan impaknya terhadap kedaulatan kewangan.

“Kekuatan fiskal, yang menggambarkan impak pengurusan belanjawan kerajaan ke atas pelaburan awam, juga penting,” kata Mohamad Nizam.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa cabaran seperti turun naik pasaran, perubahan harga komoditi, ketidakstabilan politik dan potensi penilaian harga melebihi nilai sebenar  dalam pasaran boleh menjejaskan kenaikan ini.

“Oleh itu, walaupun trajektori pertumbuhan Bursa Malaysia kelihatan positif, kemampanannya akan sangat bergantung kepada keseimbangan strategik dalam menangani cabaran ini sambil memanfaatkan peluang untuk menarik lebih ramai pelabur.

“Mendukung prinsip dasar Malaysia MADANI dan memastikan komitmen teguh terhadap amalan tadbir urus yang baik akan menjadi penting dalam mengekalkan pertumbuhan pasaran yang teguh dan mampan dalam jangka panjang,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kini Anda Boleh Melabur Saham-Saham di Indonesia Terus Dari Malaysia

Pasaran saham Indonesia (Indonesia Stock Exchange – IDX) semakin mendapat perhatian pelabur serantau, termasuk dari Malaysia. Dengan ekonomi yang pesat berkembang dan populasi melebihi 270 juta orang, Indonesia menawarkan peluang pelaburan yang besar khususnya dalam sektor pengguna, perbankan, infrastruktur dan teknologi.

Kini, pelabur Malaysia boleh meneroka potensi tersebut dengan mudah melalui platform CGS iTrade, yang menawarkan akses terus ke pasaran saham Indonesia.

1. Sokongan Dagangan Saham Indonesia di CGS iTrade

Platform CGS iTrade menyokong pembelian dan penjualan saham di Indonesia Stock Exchange (IDX).
Semasa membuka akaun, pastikan anda menanda pilihan “Cross Border” bagi mengaktifkan akses ke pasaran luar negara.

Untuk klien sedia ada, anda boleh menyemak senarai pasaran yang tersedia dengan klik pada tab “Exchange” di platform. Jika belum aktif, hubungi Dealer atau Remisier untuk mengaktifkan fungsi Cross Border Trading.

2. Akaun & Dokumen Diperlukan

Tiada akaun tambahan atau dokumen khas diperlukan untuk melabur di pasaran Indonesia.
Hanya pastikan anda memilih opsyen Cross Border semasa membuka akaun secara dalam talian.
Untuk pelanggan sedia ada, aktifkan akses melalui Dealer / Remisier.

3. Kadar Komisen & Brokerage Fee IDX

Kadar brokerage online:

  • Nilai kontrak di bawah RM100,000 → 0.60%
  • Nilai kontrak di atas RM100,000 → 0.50%
  • Brokerage minimum: IDR185,000

Kadar brokerage offline:

  • Semua nilai kontrak → 0.70%
  • Brokerage minimum: IDR200,000

4. Caj Tambahan Lain

Selain brokerage, terdapat beberapa caj tambahan seperti berikut:

Jenis CajKadar / Amaun
Bank ChargesRM20 (Beli sahaja)
Malaysian Contract Stamp0.10% (Maksimum RM1000/200)
Trading Levy0.0433%
Value Added Tax (VAT)0.0055%
Withholding Tax (Jual sahaja)0.1%

5. Dividen Saham Indonesia

Dividen yang diterima daripada saham IDX akan dikenakan agent fee & handling fee.
Untuk pasaran Indonesia, caj yang dikenakan ialah SGD10. Perlu diingat, dividen luar negara juga tertakluk kepada cukai pegangan (withholding tax) oleh kerajaan Indonesia.

6. Status Saham Patuh Syariah

Bagi pelabur yang menitikberatkan aspek pelaburan patuh Syariah, anda boleh semak status terus di platform iTrade. Saham yang patuh Syariah akan dipaparkan dengan simbol “SYR” di bawah ruangan Category.

7. Data Pasaran IDX

Platform CGS iTrade menawarkan data harga pasaran IDX tertangguh selama 15 minit. Walaupun bukan real-time, ia masih mencukupi untuk pelabur runcit membuat keputusan berdasarkan pergerakan harga jangka sederhana.

8. Deposit Minimum

Tiada had deposit minimum ditetapkan untuk melabur di pasaran luar negara, termasuk IDX. Ini memberi peluang kepada pelabur baru untuk mula dengan modal kecil.

9. Pengeluaran & Pertukaran Mata Wang

Apabila menjual saham, anda boleh pilih untuk menerima hasil jualan (sales proceed) dalam:

  • MYR, atau
  • IDR, dengan memilih Settlement Currency: IDR.

Jika anda memilih IDR, baki tersebut akan disimpan dalam trust account dan boleh digunakan semula untuk pembelian saham di IDX.

Untuk pengeluaran, Dealer / Remisier akan bantu lakukan penukaran IDR kepada MYR.
Waktu pemprosesan (cut-off time conversion) ialah sebelum jam 11 pagi.

10. Tempoh Penyelesaian Urusniaga (Settlement)

Tempoh penyelesaian transaksi di IDX adalah T+2, iaitu dua hari bekerja selepas tarikh dagangan.

Kelebihan Melabur di Pasaran Saham Indonesia (IDX)

Melabur di pasaran luar negara bukan sekadar peluang keuntungan, tetapi juga strategi penting untuk pelbagaikan portfolio. Berikut beberapa sebab kenapa pasaran Indonesia patut dipertimbangkan oleh pelabur Malaysia:

1. Ekonomi Kedua Terbesar di ASEAN

Indonesia merupakan ekonomi kedua terbesar di rantau ini selepas Singapura, dan dijangka menjadi antara ekonomi ke-10 terbesar dunia menjelang 2030. Ini menjadikan pasaran sahamnya sangat dinamik dan berkembang.

2. Populasi Muda & Pasaran Pengguna Besar

Dengan lebih 270 juta penduduk dan majoriti berusia bawah 35 tahun, Indonesia menawarkan potensi pertumbuhan besar untuk sektor pengguna, runcit, makanan dan teknologi.

3. Akses Kepada Syarikat Berkualiti

IDX menempatkan banyak syarikat kukuh seperti Telkom Indonesia, Unilever Indonesia dan Pertamina Geothermal Energy.

4. Diversifikasi Portfolio

Melabur di IDX membantu pelabur Malaysia mengurangkan risiko pasaran tempatan. Apabila pasaran Malaysia perlahan, pasaran Indonesia yang aktif boleh menampung prestasi portfolio keseluruhan.

5. Potensi Pulangan Dividen & Pertumbuhan Modal

Beberapa syarikat di IDX menawarkan kadar dividen menarik dan berpotensi untuk pertumbuhan jangka panjang selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Jadi, melalui CGS iTrade, pelabur kini boleh mengembangkan portfolio ke luar negara dengan mudah termasuk pasaran saham Indonesia yang sedang meningkat naik. Dengan proses pendaftaran yang ringkas, kadar brokerage yang kompetitif dan pilihan pelaburan yang luas, inilah masa sesuai untuk meneroka peluang baharu di rantau ASEAN.

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.