Warren Buffett Membuat Pelaburan Luar Biasa Ke Atas 4 Syarikat Farmaseutikal

Ketika musim pandemik melanda dunia, kita dapat lihat banyak syarikat yang mengalami masalah di dalam perniagaan mereka. Banyak industri terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan sebahagian daripada mereka terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu untuk menanggung kerugian dan kos operasi yang semakin meningkat.

Ada syarikat yang terpaksa buat bermacam-macam untuk terus bertahan. Dan ada juga yang terpaksa mengubah polisi perniagaan mereka untuk kekal relevan dengan situasi semasa.

Berkshire Hathaway juga tidak terkecuali dalam melakukan perkara yang sama. Syarikat pelaburan ini mengambil pelbagai langkah drastik sejak Covid-19 melanda dunia. Warren Buffett telah mengambil beberapa langkah luar biasa yang sebelum ini dilihat janggal oleh pelabur luar.

Kredit Gambar: Fool.Com

Di antara tindakan yang mengejutkan adalah apabila Warren Buffett telah melabur secara besar-besaran ke atas syarikat gergasi di Jepun pada pertengahan tahun ini. Tindakanya itu dilihat pelik oleh orang ramai kerana sebelum ini, beliau lebih gemar membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan juga Eropah.

Baca: Dah Kenapa Warren Buffett Melabur $7 Bilion Ke Dalam 5 Syarikat Jepun?

Kini, Warren Buffett sekali lagi mengejutkan orang ramai dengan membuat pelaburan besar terhadap syarikat farmaseutikal di Amerika Syarikat. Seperti yang kita sedia maklum, beliau tidak begitu gemar membuat pelaburan di dalam syarikat yang berasaskan teknologi kerana baginya ia adalah sukar untuk menilai prestasi dan potensi syarikat tersebut.

Warren Buffett yang membuat pelaburan ke atas 4 syarikat farmaseutikal  di Amerika Syarikat yang melibatkan kos sebanyak USD5.7  bilion. Syarikat-syarikat menjadi pilihannya adalah AbbVie yang melibatkan 21 juta unit saham, Bristol Myers Squibb sebanyak 30 juta unit saham, Merck sebanyak 22 juta unit saham dan Pfizer sebanyak 3.7 juta unit saham.

Pembelian saham keempat-empat buah syarikat ini melibatkan jumlah sebanyak USD5.7 bilion dengan syarikat AbbVie dan Bristol Myers Squibb serta Merck masing-masing berjumlah di antara USD1.8 sehingga USD1.9 bilion.

Namun Pfizer hanya melibatkan pelaburan bernilai USD136 juta. Ironinya, daripada kempat empat-empat syarikat tersebut, hanya Pfizer sahaja yang mendakwa berjaya menghasilkan vaksin dengan keberkesanan sebanyak 90%.

Baca: Pfizer Dan BioNTech Temui Vaksin Covid-19 Dengan 90% Keberkesanan

Selain itu juga, Warren Buffett telah mengurangkan pegangannya ke atas saham Apple apabila beliau telah menjual sebanyak 36 juta unit saham yang merupakan 3.6% pegangan syarikat. Jumlah pegangan saham Berkshire Hathaway ke atas saham Apple pada hari ini bernilai sebanyak USD111.7 bilion.

Beliau juga telah mengurangkan pegangan saham syarikatnya ke atas bank Wells Fargo dan juga JPMorgan.

Tindakan pembelian syarikat farmaseutikal oleh Warren Buffet ini pernah dibincangkan beliau di dalam mesyuarat tahunan Berkshire Hathaway pada tahun 1999. Ketika itu, beliau berkata industri farmaseutikal adalah industri yang sedang berkembang pesat dan sukar baginya untuk memilih syarikat farmaseutikal yang benar-benar berjaya memonopoli di dalam sektor tersebut.

Beliau memberitahu para pemegang saham Berkshire Hathaway, sekiranya Berkshire Hathaway melabur di dalam  syarikat farmaseutikal, mereka tidak akan memilih syarikat farmaseutikal secara individu kerana ia adalah sukar. Sebaliknya Berkshire Hathaway akan melabur secara berkumpulan di dalam sektor tersebut.

Ternyata, kata-kata Warren Buffett itu telah menjadi reality dua dekad kemudian kerana beliau telah melabur ke dalam sektor tersebut secara kumpulan dengan memilih empat buah syarikat farmaseutikal di Amerika Syarikat.

Harga saham kempat-empat syarikat farmaseutikal tersebut telah meningkat dan pelaburan sebanyak USD5.7 billion oleh Warren Buffett kini telah menjadi USD6 bilion.

Sumber Rujukan: https://edition.cnn.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Verdant Solar Holdings Berhad Bersiap Sedia Untuk Debut Di Pasaran ACE, Lancar Prospektus IPO

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2025 – Verdant Solar Holdings Berhad (“Verdant” atau “Syarikat”), penyedia perkhidmatan Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (“EPCC”) serta Operasi dan Penyelenggaraan (“O&M”) untuk sistem fotovoltaik (“PV”) solar di Malaysia, hari ini telah melancarkan prospektus Tawaran Awam Permulaan (“IPO”). Acara ini menandakan langkah penting ke arah penyenaraian Syarikat yang dicadangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) pada 22 Oktober 2025.

Dengan potensi pertumbuhan kukuh di tengah pasaran hartanah kediaman yang sedang rancak, disokong oleh program solar yang dimulakan kerajaan serta rekod pencapaian terbukti lebih daripada sedekad, Verdant menyasarkan untuk mengumpul hasil kasar dianggarkan sebanyak RM44.02 juta melalui terbitan 142,000,000 saham biasa baharu pada harga IPO RM0.31 sesaham. Berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan Syarikat sebanyak 817,618,243 saham dan harga IPO, permodalan pasaran Verdant dianggarkan berjumlah kira-kira RM253.46 juta.

Hasil daripada IPO akan disalurkan bagi menyokong pengembangan perniagaan Verdant. Daripada jumlah tersebut, 31.80% telah diperuntukkan untuk membiayai penubuhan pejabat cawangan bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan; 22.72% akan diperuntukkan untuk pengembangan melalui pelaburan strategik, peluang penggabungan dan pengambilalihan; dan 8.63% akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur digital Syarikat bagi memperkukuh kecemerlangan operasi. Baki selebihnya akan digunakan untuk modal kerja umum dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Sebagai kontraktor EPCC, Verdant terlibat secara utama dalam penyampaian menyeluruh projek solar PV turnkey, meliputi reka bentuk dan kejuruteraan awal, pemerolehan peralatan, pemasangan di tapak, ujian dan pentauliahan, serta perkhidmatan selepas jualan O&M melalui aplikasi Verdant Home App. Syarikat juga menjalankan perdagangan produk solar, termasuk jenama sendiri bagi sistem pengudaraan solar, Verdant Star.

Lim Tzer Haur, Pengarah Urusan Verdant Solar Holdings Berhad berkata, “Penyenaraian kami yang dicadangkan di Pasaran ACE bukan sahaja menandakan satu pencapaian tetapi juga bukti hampir sedekad dedikasi dan kepakaran. Dari permulaan kami pada 2015 hingga menjadi penyedia penyelesaian dan perkhidmatan solar menyeluruh yang dipercayai, IPO ini akan menyediakan platform untuk Verdant Solar mengekalkan dan mempercepatkan pertumbuhan kami. Dipandu oleh tujuan kami untuk ‘Mengubah Cara Orang Mendapatkan Tenaga’, kami kekal komited untuk menjadikan penyelesaian solar dapat diakses oleh semua.”

“Dengan hasil yang diperoleh, kami merancang untuk memperkukuh kehadiran pasaran melalui pejabat cawangan baharu di Melaka, Kuantan, dan Ipoh, berkembang melalui pelaburan strategik serta penggabungan dan pengambilalihan, dan meningkatkan infrastruktur digital kami, termasuk sistem ERP dan CRM serta aplikasi Verdant Home App. Dengan Program Solar ATAP yang bakal memacu permintaan pemasangan solar pada 2026, kami percaya inisiatif ini akan menempatkan kami untuk memanfaatkan peluang ini di Malaysia dan memastikan nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan,” tambahnya lagi.

Bersempena pelancaran ini, tempoh permohonan untuk IPO Verdant Solar Holdings Berhad akan bermula hari ini (29 September) dan berakhir pada 7 Oktober 2025 jam 5.00 petang. Mercury Securities Sdn Bhd merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal, dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO ini.