Industri Takaful Agih RM2.24 Bilion, Bayaran Naik 4.9 Peratus

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Kalangan pengendali industri takaful mengagihkan sebanyak RM2.24 bilion dalam suku pertama 2024 dengan pembayaran takaful keluarga berjumlah RM1.72 bilion manakala RM514 juta untuk takaful, kata Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Radzuan Mohamed berkata jumlah bayaran takaful keluarga dan takaful am itu meningkat sebanyak 4.9 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ini merangkumi masing-masing jumlah bayaran bersih manfaat takaful keluarga yang menokok 2.5 peratus manakala bayaran tuntutan takaful am naik 13.6 peratus.

“Jika dibandingkan aliran dalam suku pertama tahun ini dan tahun lepas, kami dapati keadaan telah pulih apabila individu kembali melakukan kunjungan dan menerima rawatan di hospital yang sebelum ini tertangguh,” katanya kepada Bernama.

Mengulas aliran bagi separuh pertama tahun ini, Mohd Radzuan berkata walaupun usaha pengambilan takaful terus meningkat, masih banyak yang perlu dilakukan dari segi celik kewangan jika berlaku kecemasan atau keadaan di luar jangka.

“Walaupun pengambilan meningkat, wujud tanggapan bahawa insurans dan takaful ini bukanlah keutamaan.

“Berikutan itu, langganan takaful lazimnya yang pertama sekali ditamatkan apabila individu menghadapi masalah atau jika merancang percutian,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Radzuan berkata lebih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi menarik kalangan daripada kategori 40 peratus kumpulan isi rumah terendah (B40), termasuk pekerja gig yang kekurangan perlindungan insurans atau takaful.

Beliau berkata penembusan takaful mencatat 20 peratus manakala insurans konvensional pada 40 peratus.

Laporan sebelum ini menyatakan MTA menyasarkan untuk menggandakan penembusan takaful kepada 40 peratus dalam tempoh empat tahun berbanding paras semasa 20 peratus di bawah Pelan Strategik Hijrah 2027.

“Kami kini beralih kepada Hijrah27, pelan strategik bagi 2024-2027 yang bermatlamat untuk mentransformasi industri ini susulan kejayaan Islah23 yang menumpukan usaha memperbaharui sektor itu,” katanya.

Mohd Radzuan berkata Hijrah27 yang sedang dalam proses diteliti dan dimuktamadkan, dijadual dilancarkan dalam masa terdekat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ShopeePay Memperluas Akses Perlindungan Penipuan Kewangan Dalam Talian Bersama Zurich

ShopeePay hari ini mengumumkan bahawa ia akan menawarkan ‘Zurich Wallet Protection’ oleh Zurich General Insurance Malaysia Berhad (Zurich) di aplikasi ShopeePay dan Shopee, yang kini boleh diakses jutaan pengguna di seluruh negara. Bermula dari serendah RM1.40 sebulan, pengguna dilindungi bukan sahaja untuk transaksi melalui ShopeePay, malah merangkumi semua akaun bank, e-dompet dan pembayaran kad lain, termasuk risiko dalam talian seperti pemindahan wang tidak sah, transaksi tanpa kebenaran, kerugian akibat phishing, penyamaran, penyalahgunaan kad, dan penipuan beli-belah dalam talian.

Selaras dengan misi ShopeePay, ‘Kewangan Mudah, Khas Untuk Anda’, pelancaran Zurich Wallet Protection di platform ini menunjukkan komitmen ShopeePay untuk menyediakan perlindungan asas yang mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pelancaran ini berlaku pada waktu yang kritikal, memandangkan kes jenayah penipuan terus meningkat. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 47,854 kes penipuan telah direkodkan sehingga September 2025, dengan jumlah kerugian mencecah RM1.92 bilion. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12,486 kes berbanding 2024.

Zurich Wallet Protection ditawarkan dalam dua pelan: Pelan Asas dan Pelan VIP.

 Pelan AsasPelan VIP
Premium (termasuk SST 8%)RM1.40 sebulan (Percuma untuk bulan pertama)RM4.90 sebulan
KelayakanWarganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atasWarganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas
FaedahHad Tuntutan Bulanan (RM)
Pemindahan Wang Tanpa Kebenaran3,000 (6,000 setahun)10,000 (20,000 setahun)
Transaksi Tanpa Kebenaran (Kad Dicuri)2001,000
Penipuan Beli-Belah Dalam Talian2001,000

Alain Yee, Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay Malaysia berkata, “Kes penipuan dalam talian kini semakin canggih, selari dengan taktik penipu yang sentiasa berubah untuk memperdaya orang ramai. Walaupun kami giat mendidik pengguna dan masyarakat umum mengenai keselamatan dalam talian, kami percaya penyediaan lapisan perlindungan tambahan yang mampu milik dan mudah diakses juga amat penting. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penipuan, dan kebiasaannya ia hanya disedari apabila sudah terlambat.”

Beliau menambah, “Kami percaya bahawa penawaran Zurich Wallet Protection di aplikasi ShopeePay dan Shopee adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan digital, khususnya bagi rakyat Malaysia yang lebih terdedah kepada risiko” Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mencuba perlindungan dalam talian, Pelan Asas ditawarkan dengan bulan pertama percuma, membolehkan pengguna menikmati Zurich Wallet Protection tanpa sebarang kos.

Seiring dengan kenyataan Alain, Junior Cho, Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Berhad, berkata, “Kami berbangga bekerjasama dengan ShopeePay bagi melancarkan Zurich Wallet Protection, menyediakan perlindungan digital yang mampu milik dan mudah diakses untuk rakyat Malaysia. Dipandu oleh janji kami, ‘Lindungi Segala Yang Bermakna’, dan diperkuatkan dengan keupayaan Zurich Edge, pelanggan kini boleh mendapatkan dan mengurus perlindungan ini terus melalui aplikasi ShopeePay dan Shopee, memberi mereka keyakinan lebih tinggi semasa bertransaksi dalam talian serta melindungi semua saluran kewangan mereka daripada penipuan.”

Berikut adalah kategori perlindungan beserta contoh untuk membantu pengguna memahami apa yang dilindungi oleh Zurich Wallet Protection:

Jenis PerlindunganContoh Situasi
Pemindahan Wang Tidak Sah (Unauthorised Transfer)Pemegang kad kredit menyedari terdapat transaksi tidak sah walaupun kad mereka tidak pernah dikongsi atau hilang.
Penipuan Pancingan Data (Phishing Scam)Anda menerima e-mel palsu yang kelihatan sama seperti komunikasi rasmi bank, yang mengarahkan anda klik pautan dan memasukkan OTP, mengakibatkan kerugian RM2,000.
Penyalahgunaan Kad Dicuri (Stolen Card Misuse)Selepas dompet dicuri, anda mendapati kad anda telah digunakan untuk pembelian dalam talian tanpa kebenaran.
Penipuan Beli-Belah Dalam Talian (Online Shopping Fraud)Anda membeli sebuah gajet dalam talian, tetapi barangan tidak dihantar dan penjual tidak memberi respons. Perlindungan ini merangkumi pembelian dalam talian di semua platform*, bukan hanya Shopee.
Penipuan Penyamaran (Impersonation Scam)Seorang penipu menyamar sebagai pegawai bank dan menghubungi anda untuk mendapatkan OTP, mengakibatkan pemindahan wang tanpa kebenaran daripada e-dompet anda.

*Tertakluk kepada Terma & Syarat. Tidak termasuk kejadian berkaitan media sosial. Tanggungjawab wajar mesti diamalkan.

Pelan ini ditanggung oleh Zurich, dan boleh diakses dengan mudah melalui platform ShopeePay.

Anda boleh mengakses ‘Zurich Wallet Protection’ di halaman utama aplikasi ShopeePay, atau melalui aplikasi Shopee di ‘Saya’ > ‘Insurans’. Untuk maklumat lanjut, sila klik sini.