Sejarah 3 Syarikat Pengendali Takaful di Malaysia

Kesedaran tentang betapa pentingnya perlindungan Takaful semakin diketahui umum, tetapi jumlah rakyat Malaysia yang mempunyai perlindungan masih sangat rendah. Ini kerana Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful, masih berjuta lagi yang belum ada perlindungan Takaful ni.

Sebelum itu, ada yang masih keliru tentang Takaful dan Insurans Konvension ke? Boleh baca 9 Perbezaan Takaful Dan Insurans Konvensional Yang Perlu Anda Tahu.

Untuk hari ini, apa kata kita berkenalan dengan 3 syarikat Takaful yang ada di Malaysia, yang fokus kepada perlindungan diri sahaja. Bagi syarikat Takaful yang mempunyai pelbagai produk seperti perlindungan untuk kenderaan, kebakaran dan lain-lain lagi, ianya tidak dimasukkan.

Susunan adalah tidak mengikut populariti atau pun ranking.

1. Prudential

Prudential Plc ialah sebuah syarikat yang diasaskan di London pada tahun 1848. Pada awal penubuhannya, ianya adalah sebuah syarikat insurans dan syarikat pemberi hutang kepada golongan pertengahan. Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah, Prudential ketika itu turut memperkenalkan produk Industrial Insurans.

Logo Prudential pada asalnya ialah gambar perempuan memegang cermin diilhamkan oleh Sir Joshua Reynolds, namun logo terkini dengan gambar seorang perempuan dengan lilitan merah di kepala sambil memegang cermin dihasilkan oleh Wollf Olins yang masih mengekalkan perempuan memegang cermin namun diubah kepada yang lebih kontemporari.

Memandangkan Prudential telah wujud sejak tahun 1848, Prudential turut terlibat sama dalam urusan tuntutan kejadian-kejadian yang menjadi lipatan sejarah dunia seperti kes Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pada Jun 1912, Prudential Assurance Company Ltd telah membayar £12,834 kepada waris Titanic.

Prudential Assurance Malaysia mula bertapak  di Malaysia pada  tahun 1924. Besar kemungkinan kerana faktor penjajahan British ketika itu yang menyebabkan ramai pedagang Inggeris memerlukan insurans dari orang Inggeris sendiri sebagai satu bentuk perlindungan terhadap diri dan bisnes mereka di Tanah Melayu ketika itu.

Prudential dan Bank Simpanan Nasional Bergabung

Mula beroperasi sejak tahun 2006, PruBSN merupakan syarikat pertama yang mendapat lesen takaful daripada Bank Negara Malaysia.

Ianya lahir hasil kolaborasi bersama Prudential Plc dan Bank Simpanan Nasional. Prudential BSN Takaful telah banyak melahirkan usahawan Takaful. Di antara agensi mereka yang agak popular adalah Al Isra, Mukmeen Group dan banyak lagi.

2. AIA

AIA diasaskan oleh Cornelius Vander Starr, seorang bekas tentera dari Amerika Syarikat. Beliau memulakan karier dalam bidang perniagaan pada usia 19 tahun dengan berniaga aiskrim.

Vander Starr mengasaskan AIA pada tahun 1919 di Shanghai. AIA merupakan satu-satunya syarikat yang memfokuskan bisnes mereka hanya di Rantau Asia Pasifik.

Adakah AIA dan AIG (American International Group) itu sama entiti ? Ya tapi itu dulu. AIA dan AIG diasaskan oleh orang yang sama iaitu Vander Starr, namun selepas beberapa tahun berniaga di Shanghai, beliau terpaksa memindahkan operasi perniagaa AIA dari Shanghai ke New York.

Akibat daripada perpindahan tersebut, AIA menjadi anak syarikat AIG. Vander Starr ketika itu juga sibuk membina jenama AIG di serantau Amerika sementara AIA memfokuskan bisnes mereka di Asia Pasifik. Pada tahun 2009 , AIA dan AIG berpisah dan  merupakan satu entiti berbeza sama sekali.

Selepas perpisahan itu, AIA telah melancarkan IPO mereka sendiri  dan saham mereka diniagakan di Bursa Saham Hong Kong. Hasil daripada itu, AIA  berjaya memperolehi keuntungan sebanyak  USD20.51 Billion dan menjadikan mereka sebagai IPO syarikat ke tiga terbesar di dunia.

AIA Bergabung Dengan Public Islamic Bank

AIA telah mula membuka sayap perniagaan di Malaysia sejak tahun 1948 lagi. Pada tahun 2011, AIA Co Ltd menjalinkan kerjasama bersama Public Islamic Bank Berhad, maka terhasil lah AIA Public Takaful.

Seperti mana pengendali Takaful lain, AIA Public Takaful melaburkan dana mereka ke syarikat-syarikat gergasi seperti TNB, Sime Darby, Axiata yang merupakan di antara pegangan saham terbesar mereka.

AIA kini giat  mempromosikan gaya hidup sihat dengan memperkenalkan AIA Vitality dan menjadikan David Beckham sebagai duta mereka dan turut menandatangi perjanjian bersama kelab bola sepak Inggeris, Tottenham Hotspurs sejak tahun 2014 lagi.

Di antara agensi yang popular bagi AIA Public Takaful adalah seperti Izz Group, Caliph Group, Imtiyaz Empire Group dan banyak lagi.

3. Great Eastern

Great Eastern mula bertapak di Malaysia seawal tahun 1908. Diasaskan oleh Alfred Hewton Fair di Singapura pada tahun 1908, syarikat ini tidak menunggu lama untuk mengembangkan sayap ke Malaya apabila membuka cawangannya di Malaya pada tahun yang sama.

Pada awal penubuhannya, Great Eastern hanya menumpukan kepada produk Insurans Am sahaja sehinggalah pada tahun 1963 mereka benar-benar fokus kepada Insurans Nyawa. Pada tahun 1998, Great Eastern dianugerahkan sebagai Syarikat Insurans Tertua dan Terbesar di Malaysia.

Pada tahun 2011, Great Eastern secara rasminya mengambil alih keseluruhan Tahan Insurans Berhad susulan daripada kegagalan parent company Tahan iaitu Idaman Unggul Berhad, yang telah gagal mengikuti syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

Great Eastern Pula Kolaborasi Dengan Koperasi Tentera

Sama seperti syarikat lain yang mula mengembangkan sayap mereka ke produk patuh syariah, Great Eastern Takaful dilancarkan pada tahun 2010. Ianya adalah kolaborasi di antara I Great Capital Holdings Sdn Bhd (anak syarikat Great Eastern Holding Limited) dengan Koperasi Angkatan Tentera (M) Berhad. Mereka menampilkan warna oren sebagai pilihan warna korporat mereka selaras dengan konsep Groovy.

Di antara agensi Great Eastern Takaful yang agak popular adalah Ieza Yusof Consultancy , Ahmad Humaizi Consultancy dan banyak lagi.

Berminat Nak Beli Saham Takaful?

Di Malaysia, hanya ada satu syarikat Takaful yang kita boleh beli saham mereka. Jika berminat, boleh rujuk Ambil Tahu 12 Perkara Ini Sebelum Nak Melabur Saham Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Industri Takaful Kekal Momentum Stabil Sebagai Rangkaian Keselamatan Sosial Utama

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 – Industri Takaful Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang berdaya tahan sepanjang tahun 2025 menerusi prestasi yang stabil, sekali gus mengukuhkan peranan utamanya dalam melindungi kestabilan kewangan rakyat. Mencerminkan trajektori pasca-pandemik yang semakin stabil dan asas industri yang jauh lebih besar, sektor ini berkembang sebanyak 4.73% pada 2025 dengan menjana jumlah sumbangan kasar RM16.38 bilion

Didorong oleh prestasi stabil ini, pengendali Takaful secara kolektif telah mengagihkan sebanyak RM10.61 bilion dalam bentuk manfaat kepada pemegang sijil pada 2025. Langkah ini memperkukuh semangat teras Takaful sebagai perlindungan yang diyakini ketika rakyat Malaysia amat memerlukannya. 

Segmen Takaful Keluarga terus mencatatkan pembayaran tertinggi sebanyak RM7.91 bilion, dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar. Jumlah ini berada pada paras yang lebih tinggi berbanding RM7.89 bilion yang disalurkan tahun lalu, membuktikan peranannya yang berterusan sebagai jaringan keselamatan sosial. 

Sementara itu, segmen Takaful Am telah melunaskan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, iaitu peningkatan 16.88% daripada RM2.31 bilion pada 2024, berikutan tuntutan kenderaan bermotor kekal sebagai komponen terbesar daripada jumlah pembayaran. 

Di samping menyediakan perlindungan kewangan, industri Takaful terus menjana nilai bersama (shared value) menerusi sumbangan zakat sebanyak RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti. Selain itu, sejumlah RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal telah diagihkan kepada peserta yang layak pada tahun 2025. Usaha ini menzahirkan prinsip teras Takaful yang berasaskan kerjasama mutlak, kesaksamaan serta tanggungjawab bersama.   

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan meraih manfaat daripada kelebihan unik perlindungan Takaful, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) terus mempergiat inisiatif jangkauan di seluruh negara di bawah agenda strategik Takaful4All dan Hijrah27. Menerusi program celik kewangan, aktiviti di kampus, kerjasama strategik, dan libat urus komuniti, usaha ini berjaya mendekati lebih 120,000 rakyat Malaysia merangkumi komuniti di bandar, luar bandar dan terpinggir. Langkah ini secara langsung memupuk daya tahan kewangan yang lebih kukuh serta meluaskan akses kepada perlindungan Takaful. 

Takaful Keluarga

Jumlah bayaran yang lebih besar pada tahun ini didorong oleh pertumbuhan kecil dalam bilangan sijil Takaful Keluarga berkuat kuasa. Sejumlah 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu telah dikeluarkan sepanjang tahun, membawa kepada jumlah keseluruhan 6.74 juta sijil berkuat kuasa selepas mengambil kira faktor matang semula jadi, tamat tempoh, penggantian dan penamatan sijil. Berbanding 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang dicatatkan pada 2024, kadar pertumbuhan ini menunjukkan pasaran perolehan perniagaan baharu yang lebih stabil kesan daripada persekitaran pasaran yang terus berkembang.   

Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi mendatar namun stabil pada RM9.74 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM10.00 juta berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, sumbangan perniagaan berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion pada tahun 2024, sebahagian besarnya disokong oleh produk produk jenis simpanan dalam segmen Perniagaan Takaful Keluarga Biasa Individu. 

Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas, dengan sebahagian sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44% berbanding 39.16% pada tahun 2024.  

Prestasi mampan segmen ini menunjukkan kualiti sumbangan yang semakin kukuh serta keyakinan tinggi pengguna terhadap penyelesaian perlindungan patuh Syariah. Lonjakan 15.34% bagi purata saiz kes kepada RM11,300 daripada RM9,797 membuktikan bahawa program jangkauan industri sebelum ini telah mula membuahkan hasil dalam bentuk komitmen perlindungan jangka panjang yang lebih berkualiti tinggi dan bukan sekadar bersandarkan pertumbuhan kuantiti. 

Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh usaha bersama industri untuk mendekati rakyat Malaysia. Ini membolehkan kadar penembusan Takaful Keluarga kekal stabil pada paras 19.63% pada tahun 2025 (2024: 19.57%), meskipun jumlah penduduk Malaysia meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta). Prestasi yang stabil ini menunjukkan peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap Takaful sebagai jaringan keselamatan sosial, hasil sokongan program jangkauan serta usaha kesedaran. Selain itu, penyediaan produk Mikrotakaful yang lebih mampu milik dan mudah diakses oleh komuniti oleh komuniti yang kurang mendapat liputan turut menyumbang kepada kestabilan kadar penembusan ini. 

Usaha industri juga mendorong lebih ramai peserta mengekalkan sijil mereka, yang menghasilkan kadar luput sijil lebih rendah biarpun dalam persekitaran inflasi. Peningkatan bilangan sijil berkuat kuasa (2025: 6.74 juta, 2024: 6.69 juta) jelas membuktikan perkembangan positif ini. 

Takaful Am

Prestasi positif segmen Takaful Am berterusan bagi tahun 2025, dengan sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38% kepada RM6.64 bilion daripada RM5.91 bilion pada tahun 2024. 

Takaful kenderaan terus menjadi pemacu utama segmen ini dengan menyumbang komponen terbesar iaitu sekitar 69.00% daripada sumbangan bertulis kasar (RM4.59 bilion). Angka ini mencatatkan pengembangan sebanyak 12.57%, selari dengan fasa akhir rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah paras tertinggi sebanyak 820,752 unit.  

Sehubungan itu, tuntutan kenderaan membentuk peratusan terbesar bagi pembayaran tuntutan Takaful Am. Pengendali Takaful telah membayar sebanyak RM2.40 bilion untuk tuntutan kenderaan, iaitu merangkumi 88.97% daripada jumlah tuntutan bersih keseluruhan.  

Perniagaan Takaful bukan kenderaan turut berkembang pada tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 11.95%. Takaful kebakaran merekodkan RM1.11 bilion dlaam sumbangan bertulis kasar, iaitu kenaikan 10.43% berbanding tahun 2024, manakala Takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.93%. Prestasi positif segmen bukan kenderaan ini didorong oleh pengenalan produk khusus bagi menyokong PKS, selaras dengan komitmen industri dalam menghasilkan impak sosial, memperkasakan pembangunan

PKS, serta menyediakan penyelesaian inovatif demi memelihara ketahanan ekonomi. 

Bagi saluran pengedaran, saluran agensi terus mendominasi pasaran pada 2025 dengan pegangan 61.50% daripada sumbangan bertulis (2024: 62.67%). Ini diikuti oleh Bancatakaful sebagai penyumbang kedua terbesar sebanyak 13.37% (2024: 13.63%). Sementara itu, saluran perniagaan langsung serta platform dalam talian terus berkembang secara berfasa, masing-masing merekodkan 8.45% dan 6.73% (2024: 7.64% dan 6.58%).

Pengerusi Interim MTA, Encik Borhanudin Samsudin berkata, “Mandat kami adalah untuk memastikan penyelesaian Takaful sentiasa tersedia, mampu diakses dan berdaya tahan melalui penerapan perantaraan berasaskan nilai. Memandangkan asas industri semakin besar, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan secara semula jadi menjadi lebih kompleks. Oleh itu, fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem Takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar.”

“Sasaran kami adalah bagi memperluas akses perlindungan kepada komuniti terpinggir dan memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan boleh dipercayai. Oleh itu, saya bersyukur kerana inisiatif peringkat industri untuk memantapkan landskap Takaful berjalan lancar, dengan lebih 60% daripada sasaran Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025. Melangkah ke hadapan, perluasan program seperti Program Perlindungan iTEKAD bakal memainkan peranan kritikal bagi membantu golongan rentan, ini termasuk usahawan mikro dan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat.”

“Bagi tahun ini, sasaran kami adalah untuk merealisasikan pencapaian 80% daripada pelan strategik Hijrah27. Tumpuan utama bakal diberikan kepada aspek Kesedaran Takaful serta Pembangunan Bakat. Usaha ini akan dipacu dengan sokongan kuat melalui kerjasama baharu kami bersama Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Asian Institute of Insurance (AII), dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF),” tambah beliau. 

Melangkah ke hadapan, MTA telah menggariskan tiga keutamaan bagi tahun 2026: memastikan perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas perlaksanaan Hibah sebagai instrumen perlindungan harta, serta memacu perlaksanaan liberalisasi berfasa bagi sektor Takaful Am demi mengekalkan kestabilan pasaran. Bagi menyokong keutamaan ini, MTA akan memberi fokus kepada pengukuhan rangka kerja industri dan keselarasan regulasi, memperbanyak kolaborasi strategik di peringkat serantau mahupun global, serta meningkatkan tahap profesionalisme tenaga kerja agensi. Usaha ini bertujuan untuk memperkasakan daya tahan, daya saing, dan keupayaan industri dalam memenuhi keperluan peserta yang sentiasa berubah dalam persekitaran yang semakin kompleks.  “Tatkala berdepan dengan fasa yang penuh cabaran, jaringan keselamatan sosial yang kukuh menjadi satu keperluan mutlak dan bukannya sekadar pilihan. Di sebalik landskap pasaran yang lebih mengecil tahun ini, komitmen berterusan peserta untuk mengekalkan sijil mereka akan menjadi asas utama yang membolehkan pengendali Takaful menunaikan janji perlindungan bersama secara konsisten,” tambah Encik Borhanudin.