Senaraikan IPO Petronas Untuk Kurangkan Hutang Kerajaan?

Hutang, hutang, hutang. Ini isu yang sedang hangat diperkatakan.

Minggu lepas terdengar ura-ura (laporan The Star) untuk menyenaraikan IPO Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sebagai salah satu cara bagi Kerajaan mengumpulkan wang dengan banyak dan cepat bagi membantu mengurangkan hutang rasmi kerajaan sebanyak RM686 billion.

Syarikat korporat biasanya menyenaraikan IPO ke pasaran saham sebab perlukan modal bagi mengembangkan bisnes, tetapi kali ini digunakan sebab nak kurangkan hutang kerajaan. Boleh rujuk di laman Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk ketahui proses penyenaraian IPO.

Arab Saudi adalah antara salah satu negara yang mencadangkan agar syarikat minyak dan gas (O&G) milik mereka, Saudi Aramco disenaraikan dalam pasaran saham. Sebanyak US$2 trilion dijangka dapat dijana daripada penyenaraian ini.

Nilai Petronas pada masa ini dalam RM600-800 billion. Jika kerajaan jual 25% pegangan, maka kerajaan dah boleh dapat sekitar RM150-200 billion.

Jadi wajarkah kita senaraikan IPO Petronas bagi mengutip dana bagi menyelesaikan hutang negara? Tergadaikah Petronas nanti? Apa kata kita tengok beberapa poin penting sebagai analisa:

1. Petronas Satu-satunya Syarikat Malaysia Tersenarai Dalam Fortune 500

Kalau nak tengok siapa orang terkaya dunia, kita akan rujuk senarai Forbes The World’s Billionaires dan nama-nama seperti Jeff Bezos, Bill Gates dan Warren Buffett akan keluar setiap tahun.

Tapi kalau nak tengok syarikat terkaya dunia pula, kita akan rujuk senarai Fortune Global 500. 500 syarikat terbesar dunia menjana pendapatan sebanyak $27.7 trilion dan memperoleh keuntungan sebanyak $1.5 trilion pada tahun 2016.

Dan berikut merupakan senarai Top 20 Fortune 500 ini:

Sumber: Fortune 500

Mungkin tak semua yang dalam senarai kita kenal, dan Walmart jauh mengatasi pesaing terdekat mereka..

Jom kita tengok kat mana Petronas dalam senarai tersebut:

Sumber: Fortune 500

Tahniah Petronas berada pada tempat ke-184 dunia, dan merupakan satu-satunya syarikat daripada Malaysia yang berada dalam senarai.

Sejak harga minyak dunia merosot beberapa tahun kebelakangan ini, begitu juga kedudukan Petronas dalam senarai.

Sumber: Fortune 500

Walaupun dengan perolehan yang berkurangan sebanyak 22% dari tahun lepas, namun keuntungan melonjak sebanyak 21.4%.

2. Syarikat Mempunyai Fundamental Kuat

Walaupun berdepan dengan kemelut harga minyak dunia, namun kita dapat lihat Petronas masih membuat untung. Bukan itu sahaja, bertambah untung daripada tahun sebelum ini.

Dan dikatakan harga minyak akan lebih stabil pada tahun 2018, maka perolehan dan keuntungan syarikat juga dijangka meningkat naik. Aset syarikat juga meningkat saban tahun.

Malah, pengurusan dan pentadbiran Petronas yang diketuai oleh Tan Sri Wan Zulkiflee bin Wan Ariffin selaku CEO merangkap Presiden Petronas dan Tan Sri Mohd Sidek Hassan selaku Pengerusi juga sering dipuji.

3. Sektor Oil & Gas Yang Semakin Pulih

Tatkala harga minyak merudum, sebenarnya bukan semua dalam sektor Oil & Gas turut merudum. Kalau nak tahu, sektor ini terbahagi kepada 3 iaitu:

Upstream dan Midstream sangat terkesan dengan kejatuhan harga minyak dunia, tetapi Downstream masih mampu bertahan. Boleh baca dengan lebih lanjut di artikel Nak Beli Saham Syarikat Oil & Gas? Kenali Industri Ini Dengan Lebih Dekat.

Apa akan jadi kalau harga minyak dunia naik? Ketiga-tiga sektor pastinya akan naik sama, dan termasuklah Petronas.

4. Minimum 25% Pegangan Syarikat Untuk IPO

Di antara syarat untuk penyenaraian IPO adalah kena membuat pengapungan 25% daripada syarikat kepada orang ramai. Jadi bukanlah kita nak ‘menjual’ semua yang ada dalam Petronas kepada orang luar, kerana pemegang saham majoriti masih milik Malaysia.

Cuba tengok balik senarai Top 20 Fortune 500 di atas tadi. Walmart yang berada di ranking #1 pun disenaraikan di Bursa Saham New York.

Sumber: Google

Begitu juga dengan syarikat-syarikat besar lain dalam senarai seperti Toyota, Volkswagen, Berkshire Hathaway, Apple, Samsung dan banyak lagi? Semuanya tersenarai di pasaran saham dan dibuka kepada orang ramai untuk membeli saham syarikat tersebut.

5. Petronas Bayar Dividen Setiap Tahun Kepada Kerajaan Malaysia

Kalau nak tahu, Petronas menyumbang lebih kurang RM16 bilion setiap tahun kepada kerajaan Malaysia. Ini juga dikira sebagai sumber pendapatan negara.

Tapi apakah dividen tersebut akan diteruskan selepas diapungkan? Sebab dah ada pemegang saham, kenalah kongsi juga pemberian dividen kepada pemegang saham lain. Maka logiknya pendapatan kerajaan akan berkurangan selepas ini.

6. Kewangan Petronas Lebih Telus

Sama seperti Kementerian Kewangan baru kita Lim Guan Eng – selepas di’IPO’kan Petronas, semua perihal kewangan syarikat kena jadi lebih telus. Tiada yang tersembunyi lagi. Tiada lagi direct nego.

Jadi kalaulah kerajaan bertukar lagi selepas ini, kerajaan baru dah tak boleh selindungkan perkara-perkara buruk tadbir urus.

7. Ada Ke Orang Nak Beli Saham Petronas Nanti?

Rasanya berebut-rebut orang nak beli IPO jika Petronas bakal disenaraikan (termasuklah kami). Jerung dalam dan luar negara pasti tak akan lepaskan peluang. Syarikat yang kukuh dan tersenarai dalam Fortune 500, industri minyak dan gas (O&G) yang semakin pulih, branding Petronas itu sendiri yang dikenali seluruh dunia dan bermacam-macam lagi perkara positif berkenaan syarikat.

Dijangkakan harga IPO Petronas ini nanti sangatlah mahal. Adakah pelabur runcit macam kita mampu beli? Kepada yang rasa mampu dan belum ada akaun, pergilah buka akaun CDS cepat-cepat!

Adakah Penyenaraian IPO Petronas Boleh Bantu Kurangkan Hutang Kerajaan?

1. Hasil jualan saham ini nanti dapatlah kurangkan dengan cepat hutang kerajaan (Hmm..kami sendiri tertanya juga; perlukah? Bukankah credit rating Moody memberi penarafan A- pada Malaysia? Dengan kata lain, kita tiada masalah dalam pembayaran hutang?) Berapa pula jumlah pendapatan Kerajaan Persekutuan? Cuba rujuk laman web Kementerian Kewangan Malaysia.

2. Dapat tunai untuk bayar hutang itu merupakan perkara normal. Mungkin bukan semua RM686 billion dapat diselesaikan, tapi dapatlah kurangkan sedikit sebanyak.

3. Rata-rata golongan yang “bermain” pasaran saham bersetuju dengan cadangan pengapungan ini. Pengapungan anak-anak syarikat Petronas yang berjaya sebelum ini seperti Petronas Dagang, Petronas Gas dan Petronas Chemical.

3. Tetapi perlu ingat yang harga minyak dunia pernah jatuh merudum, ia mungkin akan berlaku lagi.

Apakah agaknya analisa Council of Elders?

 

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.