Bagaimana Hutang Kerajaan RM1 Trilion Dikira?

Heboh betul rakyat Malaysia, berikutan pengumuman hutang negara yang telah melepasi paras RM1 Trilion. Bagi mereka yang terlepas, boleh baca siaran media di bawah:

Sumber: Facebook Kementerian Kewangan Malaysia

1. Hutang Rasmi Kerajaan Persekutuan

Setakat 1 Disember 2017, hutang rasmi kerajaan persekutuan adalah RM686.8 bilion atau 50.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP).

Bagi suku pertama 2018 (Q1 2018) pula, ianya telah meningkat kepada RM705 bilion.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Tapi perasan tak bahagian ‘Debt guaranteed by Federal Government’ kini jadi N.A? Walaubagaimanapun, itu bukan topik perbincangan kita buat kali ini ya.

2. Hutang Kerajaan Akibat Menjadi Penjamin

Ingatkan individu saja yang biasa menjadi penjamin, tapi kerajaan juga boleh menjadi penjamin.

Hutang yang dijamin ini termasuklah hutang-hutang badan berkanun seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), FELDA, PTPTN dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Butiran jaminan ini boleh didapati dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan di laman web Jabatan Akauntan Negara.

Di antara hutang-hutang tersebut adalah:

Hutang yang dijamin kerajaan ini juga sebenarnya amalan biasa sejak dahulu, malah ketika zaman Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4. Apabila syarikat-syarikat yang dijamin tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman mereka, maka kerajaan persekutuan yang terpaksa membayarnya.

Jika masih ingat kerajaan pada tahun 2001 melalui Prasarana Malaysia Berhad telah mengambil alih syarikat LRT STAR dan PUTRA dengan menerbitkan bon (hutang) yang dijamin oleh kerajaan sendiri. (Rujuk laporan Malaysiakini)

Sehingga hari ini sebahagian hutang tersebut masih ditanggung oleh kerajaan melalui jaminan yang diberikan.

Jumlah hutang kerana kerajaan menjadi penjamin adalah RM199.1 bilion atau 14.6% daripada KDNK.

Sekarang hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM885.9 bilion atau 65.4% daripada KDNK.

3. Hutang PPP

Yang ini pula hutang disebabkan oleh Public Private Partnership (PPP) atau Kerjasama Awam Swasta. Nak biaya projek-projek seperti pembinaan sekolah, hostel, jalanraya, stesen polis, hospital dan lain-lain memerlukan dana.

Jadi kerajaan persekutuan yang menanggung sewa, kos penyelenggaraan dan lain-lain sejumlah RM201.4 bilion atau 14.9% daripada KDNK.

Contohnya kerajaan membayar sewa lebih RM1 bilion setahun kepada Putrajaya Holdings Berhad (PJH) yang membina Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan. (Tempoh konsesi selama 25 tahun)

Dalam perakaunan, komitmen membayar sesuatu seperti bayaran sewa ini dikategorikan di bawah liabiliti.

Hutang Dalam Negara Pun Banyak

Sumber: Bank Negara Malaysia – 3.1.5 Hutang Kerajaan Persekutuan yang Diterbitkan Dalam Negeri: Pengkelasan mengikut Pemilik

Sebenarnya, bukan semua hutang adalah tidak baik. Ada kalanya kerajaan berhutang dengan ‘diri sendiri’ juga. Kerajaan terbitkan bon untuk kumpul dana, yang beli bon tersebut adalah KWSP, KWAP dan jerung-jerung lain. Baca lagi tentang pelaburan bon di sini.

Bukan semua hutang ini due serentak. Hutang kerajaan kebanyakannya dalam bentuk bon. Untuk bon, kerajaan hanya perlu bayar ‘bunga’, nilai mukanya hanya dilangsaikan selepas tempoh matang. Ada yang kena bayar dalam kadar segera, ada yang kena bayar lagi 2-3 tahun, ada yang kena bayar lagi 10-20 tahun.

Berbeza Sistem Laporan Berbanding Dahulu

Kini Kerajaan Persekutuan tidak lagi menggunakan istilah hutang sahaja, tetapi juga liabiliti. Sekarang mereka sebut sebagai hutang dan liabiliti.

Maka jumlah hutang dan liabiliti setakat 31 Disember 2017 kini berjumlah RM1,087.3 bilion atau 80.3% daripada KDNK.

Hutang kerajaan sebanyak RM686.8 bilion adalah betul.
Hutang kerajaan sebanyak RM1 trilion juga adalah betul.

Bukan nak sembunyikan maklumat, tapi terjadinya isu hutang RM1 trilion adalah apabila berbezanya sistem laporan berbanding kerajaan terdahulu.

Hutang tetap hutang, penjamin tetap perlu bayar hutang kalau yang dijaminnya tidak mampu bayar. Takkan nak biarkan negara bankrap sebab tak mampu nak bayar hutang?

Apa Beza Hutang Kerajaan Dengan Hutang Negara?

Hutang Kerajaan adalah seperti di atas, bergantung kepada sistem laporan yang digunakan.

Untuk Hutang Negara pula, saya ingin memetik daripada saudara Ayman Rashdan Wong berkenaan ini:

Hutang Negara atau “National Debt” mengambil kira hutang kerajaan dan juga hutang swasta, termasuk hutang isi rumah (household debt), jadi angkanya sentiasa lebih besar.

Berapa pula hutang negara ini ya? Bersama-sama kita nantikan kupasan akan datang.

Jom lihat jumlah hutang negara-negara lain di laman web ini

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.