Harga Saham Phunware Naik 2000% – Khazanah Ada 2.2 Juta Saham Syarikat

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd meraih keuntungan apabila saham firma pelaburannya, Phunware Inc yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) meningkat 2,000 peratus minggu ini.

Khazanah adalah pelabur terbesar firma itu dengan 2.2 juta saham diikuti oleh Ketua Pegawai Teknologi Phunware, Luan Dang.

Laporan Bloomberg menyatakan, saham Phunware naik lebih 2,000 peratus susulan penggabungannya dengan firma Stellar Acquisition dari Greece pada akhir Disember lalu.

“Saham firma itu pada akhir 2018 berada pada AS$14.26 dan ditutup pada rekod tertingginya AS$220 pada Rabu, dan melonjak setinggi AS$550 pada Khamis sebelum mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 29 peratus hari ini kepada AS$157,” kata laporan itu.

Pada paras semasa, Phunware mempunyai permodalan pasaran sekitar AS$4.4 bilion, naik dari AS$56.5 juta pada akhir tahun lalu.

Jumlahnya pada Rabu sebanyak 29,170 saham dengan nilai urus niaga sebanyak AS$2.2 juta.

Diperbadankan pada 2009, Phunware meraih AS$84 juta daripada sekumpulan pelabur seperti Central Texas Angel Network, Wild Basin Investments, Wavemaker Partners, Samsung Ventures dan Khazanah.

Firma itu pada tahun lalu juga merancang mengeluarkan token mata wang kripto yang dipanggil PhunCoins, yang dijangka menjana AS$10 juta hingga AS$100 juta, tetapi tidak jelas jika firma itu telah melakukannya.

Pelaburan Khazanah ke dalam firma inovasi dan teknologi termasuk Phunware, kini sekitar empat peratus daripada jumlah portfolionya.

Bagaimanapun, tidak semua pelaburan Khazanah dalam teknologi berjaya kerana sebagai contoh Blippar Inc yang berpangkalan di United Kingdom pada Disember 2018 berhadapan dengan ketidakupayaan pembiayaan.

Ditubuhkan pada 2011, Blippar yang memfokuskan dalam realiti terimbuh (AR), kecerdasan buatan dan visi komputer telah berkembang dengan pesat sejak permulaan.

Pada 2016, Khazanah menjadi salah seorang pelabur terbesar Blippar apabila ia mengetuai pusingan pembiayaan Siri D berjumlah AS$54 juta.

Sumber: BH Online

Jom Tengok Chart Syarikat Phunware

Sumber: TradingView

Kalau dilihat kepada carta, nampak seperti kenaikan yang tidak sihat. Dalam masa sehari saja ia mencatatkan All-Time-High yang baru pada 9 Januari 2019 untuk ditutup pada paras $220 USD.

Dan dua hari kemudian iaitu pada 11 Januari 2019, ianya ditutup pada paras $91.06 USD – iaitu sedikit saja naik daripada paras yang dicatatkan pada 8 Januari 2018.

Adakah ianya spekulasi semata-mata? Ada juga ciri-ciri saham ‘Pump and Dump’.

Sebab itulah kena tengok pada chart juga, usah terpedaya dengan tajuk semata-mata.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.