Media Sosial ‘Galak’ Bela Asnaf Palsu, Kesian Pusat Zakat Kita

Tiada siapa dapat menafikan kuasa media sosial sebagai medium komunikasi paling efektif.

Kepantasannya dalam penyebaran sesuatu berita, kemudahan perkongsian selain diulas tanpa sekatan menyebabkan pengaruh serta peranan media tradisional semakin mengecil. 
Itulah kelebihan rangkaian media sosial dan itu juga menjadi keburukannya sehingga membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan.

‘Usahawan pengemis’. Itu istilah yang digunakan rakan penulis yang bertugas disebuah agensi kutipan zakat ketika berkongsi cerita mengenai orang yang mengambil kesempatan terhadap sifat keterbukaan di media sosial.

Menurutnya, penyebaran sesebuah berita tanpa usul periksa kemudian menjadi viral menyebabkan agensi kutipan zakat antara yang menjadi mangsa fitnah.

“Ia juga membuka peluang kepada’usahawan pengemis’ iaitu orang yang menggunakan media sosial untuk menagih simpati sehinggakan individu yang terkeluar daripada status penerima zakat atau asnaf mendapat ‘rezeki terpijak’ terutama apabila berita mengenai kisah mereka ‘dikitar semula’,” katanya.

Sebagai contoh katanya, terdapat satu kes membabitkan seorang ibu tunggal yang didakwa tidak mendapat pembelaan daripada pusat zakat selain terpaksa membesarkan anak yang dikatakan menghidap penyakit kronik.

Tersebar di Facebook

Kisahnya menjadi viral apabila disiarkan di Facebook (FB) kendalian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan pusat zakat bukan sahaja dihentam, malah ramai mahu menyampaikan terus zakat kepada ibu tunggal terbabit tanpa melalui amil yang dilantik.

Bagi mengelak tuduhan dan cemuhan itu berlarutan, pusat zakat tampil mengadakan pertemuan antara mereka, NGO dan ibu tunggal terbabit.

Ibu tunggal itu bukan sekadar mendapat bantuan bulanan seperti sewa rumah, perniagaan dan sara hidup malah mempunyai wang lebih RM100,000.00 di bank manakala anaknya tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

“Bagaimanapun, saya dapati berita mengenai kesengsaraan ibu tunggal itu masih ada di FB termasuk nombor akaun banknya. Jadi saya yakin ada lagi orang ramai yang menghulurkan wang dengan niat zakat kepadanya sedangkan wanita itu bukan lagi asnaf,” katanya.

Menurutnya, satu lagi kes viral membabitkan keluhan seorang muallaf yang mendakwa mendapat bantuan sebanyak RM50.00 saja di Baitulmal.

“Pemeriksaan kami mendapati dia bukan bermastautin di Kuala Lumpur menyebabkan bantuan kecemasan yang boleh diberikan hanya RM50.00 tetapi pusat zakat di negeri kelahirannya sudah memberikan wang khusus untuk asnaf muallaf sebanyak RM1,000.00.

“Apabila pusat zakat di negeri asalnya cuba menghubungi untuk membantu, dia sukar memberi kerjasama. Daripada maklumat rakannya, saya mendapat tahu lelaki ini sedang seronok kerana wang tidak putus-putus masuk hasil sumbangan orang ramai yang membaca kisahnya di FB,” katanya.

Hilang Kepercayaan Kepada Pusat Zakat

Itu satu isu namun risiko paling dibimbangi rakan penulis ialah orang ramai bukan saja boleh hilang kepercayaan terhadap peranan pusat zakat malah bertindak mengagih sendiri kepada pihak yang tidak diketahui latar belakangnya sama ada tergolong dalam asnaf atau sebaliknya.

Malah jika persepsi negatif terhadap pusat zakat itu berlaku secara berterusan, ia mungkin membawa risiko kepada orang ramai langsung tidak mahu membayar zakat kerana mempersoalkan cara pengagihan kutipan.

Media sosial membawa perubahan besar terhadap cara berkomunikasi. Ia mengandungi kebaikan, keburukan, kepalsuan dan kebenaran. Keterbukaan yang ditawarkan adakalanya membuatkan kita bertindak semberono, termasuk menghukum bergantung bagaimana maklumat itu ‘menyentuh’ emosi sama ada marah, sedih, kagum atau mencuit hati.

Justeru itu, disebalik keterbukaan itu, sebagai pengguna kita perlu ada sifat mengkaji kesahihan dan kebenaran sesuatu berita yang disampaikan supaya kita dapat membuat penilaian serta pertimbangan berdasarkan prinsip keadilan iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Fakta

Penyebaran sesebuah berita tanpa usul periksa kemudian viral di media sosial menyebabkan agensi kutipan zakat menjadi mangsa fitnah.

Sumber: FB Kisah Zakat Malaysia

Balasan Mengambil Hak Orang Lain

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan mengalungkan tujuh bumi kepadanya.”

Berhentilah daripada terus menghentam pusat zakat, kalau kita tak tahu kisah sebenar di sebaliknya. Kan lebih baik kita tegur dengan elok.

Bagi yang dulunya layak menerima zakat, tetapi kini dah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, berilah keutamaan kepada orang lain pula untuk dibantu.

Dan bagi pusat zakat pula, keluarlah dan cari golongan susah yang memerlukan bantuan, di bandar dan juga di luar bandar.

Jemput baca topik lain berkenaan zakat seperti berikut:

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.