Kisah Inspirasi 8 Orang Yang Dilahirkan Miskin Tetapi Kini Bernilai Berbilion Dolar

“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?”

Ungkapan ini sangat sesuai untuk menggambarkan kisah hidup individu-individu yang berada di dalam senarai ini. Ada di antara mereka ini yang pernah bergantung hidup dengan bantuan sara hidup yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Mereka ini membuktikan semua orang mampu berjaya walaupun bermula dari bawah.

1. J.K Rowling

Kredit Gambar: NBC News

Peminat siri Harry Potter pasti kenal dengan nama ini. Beliau merupakan penulis yang paling berjaya pada zaman ini sehingga meraih berbilion dolar hasil daripada siri terkenal ini.

Tetapi sebelum mengecapi kejayaan, beliau pernah melalui masa-masa suram. Sebagai ibu tunggal, beliau terpaksa bergantung hidup dengan bantuan kebajikan yang diberikan kerajaan untuk menanggung diri dan anaknya.

Percaya dengan bakat yang dimilikinya, beliau menulis setiap hari sehingga novel tulisannya menjadi karya yang paling popular di dunia.

2. Leon Charney

Kita mungkin tidak mengenali figura ini. Beliau merupakan taikun hartanah, peguam, hos rancangan TV, penulis dan juga ahli politik.

Beliau dibesarkan oleh ibunya setelah bapanya meninggal pada usia yang muda. Untung menampung kos pengajiannya di universiti, beliau menyanyi di rumah ibadat Yahudi dan menjual mesin jahit dari rumah ke rumah.

Beliau berusaha untuk menjadi pakar dalam bidangnya dan berjaya menjana aset berbilion dolar dengan berbekalkan USD200 dolar!

3. Oprah Winfrey

Kredit Gambar: People

Siapa tidak kenal dengan personaliti TV berkulit hitam ini? Dahulunya beliau sangat susah sehingga terpaksa memakai pakaian yang dibuat daripada karung kentang!

Namun kesusahannya itu tidak mematahkan impiannnya untuk menjadi seorang hos bagi rancangan temu bual atau talk show. Beliau menghadapi setiap cabaran dengan jiwa yang kental.

Sekarang ikon wanita ini mampu berbangga dengan rangkaian media yang dimilikinya.

4. Shahid Khan

Lelaki ini merupakan salah satu daripada banyak contoh kisah imigran yang berjaya di bumi asing. Berhijrah ke Amerika seawal usia 16 tahun, beliau terpaksa menyewa bilik dengan bayaran USD60 dolar sebulan dan bekerja sebagai pencuci pinggan dengan gaji USD1.20 sejam.

Setelah menamatkan pengajian beliau mengumpul pengalaman bekerja kemudian membangunkan bisnes automotif yang akhirnya mendatangkan keuntungan berbilion dolar.

5. Howard Schultz

Kredit Gambar: Inc. Magazine

Untuk pengetahuan anda, orang kuat jenama Starbucks ini pernah tinggal di kompleks perumahan untuk golongan miskin. Penglibatannya yang aktif dalam sukan telah membuatkan beliau menerima biasiswa untuk ke peringkat universiti.

Usahanya untuk memperkenalkan budaya baru dalam menikmati minuman kopi telah membuatkan beliau berjaya melebarkan sayap perniagaan Starbucks ke seluruh dunia.

6. Kenneth Langone

Kita mungkin tidak mengenali lelaki ini, tetapi beliau dianggap seorang genius perniagaan di Amerika. Beliau merupakan anak kepada pekerja kafeteria dan tukang paip.

Untuk memastikan Kenneth Lagone dapat menyambung pengajian di universiti, ibu bapanya terpaksa menggadaikan rumah yang mereka diami. Kehidupannya mula berubah apabila beliau mengambil alih syarikat tempatnya bekerja dan mula melabur dan menubuhkan The Home Depot, iaitu peruncit barangan peralatan rumah yang terbesar di Amerika Syarikat.

7. Kirk Kerkorian

Kredit Gambar: The New York Times

Individu ini pernah membina beberapa hotel terbesar dunia di Las Vegas suatu ketika dahulu. Dilahirkan dalam keluarga imigran yang berasal dari Armenia, Kirk Kerkorian pernah menjadi seorang peninju sebelum menyertai pasukan Tentera Udara Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua.

Setelah itu beliau mula menjejakkan kaki ke Las Vegas dengan menubuhkan syarikat penerbangan sebelum menjual syarikat tersebut. Hasil jualan syarikat itu kemudian digunakan beliau untuk membina hotel-hotel besar di Las Vegas.

8. John Paul DeJoria

Beliau mula berniaga seawal usia 10 tahun dengan menjual kad Krismas dan juga surat khabar untuk membantu keluarganya yang miskin. Disebabkan ibunya tidak lagi mampu untuk menanggung kehidupan mereka sekeluarga, John Paul DeJoria akhirnya dihantar ke sebuah keluarga untuk dijadikan anak angkat.

Siapa sangka dengan memperkenalkan produk penjagaan rambut, bekas gelandangan ini akhirnya menjadi super kaya!

Jangan jadikan kekurangan atau masalah dalam hidup kita sebagai alasan untuk menghalang diri daripada berjaya. Jadikan ianya sebagai motivasi serta pembakar semangat untuk bersinar seperti individu-individu di atas.

Sumber Rujukan: Great Performers Academy

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.