Kenapa Anak Muda Tak Minat Beli Hartanah?

Isu lambakan hartanah tidak terjual di Malaysia bukanlah isu sehari dua dan kelihatan semakin parah sungguhpun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan pelbagai dasar dan polisi baharu.

Isu ini boleh dikatakan turut berpunca daripada golongan milennial yang dilihat tidak berminat untuk komitmen jangka panjang seperti pembiayaan hartanah dari bank selama 30-35 tahun.

Baca : Kupasan Pakar Mengenai Masalah Besar Isu Pemilikan Rumah di Malaysia

Masalah Pemilikan Hartanah Millennial Masalah Global

Setiap generasi
Punya citarasa sendiri
Gaya nan terkini
Irama muda-mudi
Fikir cara terbuka
Jangan pandang negatif saja
Inilah masaku
Biarku dengan ‘jeans’ biruku

Otai mesti ingat lirik lagu KRU ni.

Jangan terkejut jika anda mendapati isu pemilikan hartanah di kalangan anak muda atau milennial kian menjadi isu global dan tidak terbatas di Malaysia sahaja.

Berdasarkan laporan daripada Vox News pada Oktober 2018 juga menunjukkan, golongan millennial menghabiskan wang yang banyak untuk menyewa dan lebih berminat untuk tinggal di pusat bandar dengan jaringan pengangkutan awam berbanding kawasan luar bandar.

Bahkan di Hong Kong sendiri, anak muda di sana sudah berputus asa dengan pemilikan hartanah, dengan 54% anak muda berusia 18 tahun hingga 34 tahun tidak mempunyai sebarang perancangan memiliki hartanah di Hong Kong.

Laporan dari HSBC Global juga menjelaskan bahawa 69% golongan muda di seluruh dunia menghadapi masalah dalam mengumpul deposit untuk membeli hartanah pertama mereka.

Untuk rekod, harga apartmen 2 bilik dengan keluasan 1,000 kps di Singapura berada dalam lingkungan harga $800,000 sehingga $1 juta Singapore Dollar.

Keutamaan Anak Muda Telah Berubah

Pakar sosiologi menyimpulkan bahawa anak muda hari ini berdepan dengan krisis kewangan yang serius dan ini menjadi faktor utama mereka tidak berminat untuk komitmen pinjaman yang serius.

Baca : 8 Tips Didik Anak Mengenai Hartanah

Apa yang lebih penting di sini adalah, konsep kejayaan di kalangan anak muda hari ini adalah :-

  • Orang yang berjaya tidak membeli hartanah sebaliknya menyewa.
  • Kejayaan adalah apabila mereka mampu pergi melancong beberapa kali setahun, melakukan sukan ekstrem atau menubuhkan start-up!

Apa yang lebih mengejutkan adalah, anak muda hari ini tidak lagi mengutamakan kemakmuran dan kestabilan kehidupan, sebaliknya apa yang mereka inginkan adalah fleksibiliti dalam kewangan dan geografi.

“ Orang muda tak fikir panjang. Sikap suka menyewa, tangguh beli rumah berdepan risiko bayaran bulanan lebih besar disebabkan harga kediaman akan terus meningkat.”

Sewa Lebih Mudah Buat Anak Muda

Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, anak muda kini melihat mereka tidak perlu lagi memiliki hartanah mahupun kereta.

Baca : Ke Arah Industri 4.0 : Mencetus Inovasi Sebenar dan Hasil Yang Nyata Buat Perniagaan di Malaysia

Untuk pengangkutan, mereka cenderung menggunakan khidmat e-hailing seperti Grab dan MyCar berbanding membayar ansuran bulanan Perodua Myvi untuk 5 atau 9 tahun.

SOCAR juga memberi peluang buat anak muda yang tidak mempunyai kereta untuk menyewa kereta secara harian, mingguan bahkan bulanan.

Begitu juga dengan hartanah di mana mereka kini mampu menyewa kediaman berbanding membuat komitmen jangka panjang.

Baca : Apa Anak Muda Fikir Bila Sebut Tentang Rumah Pertama

Yang lebih menarik adalah mereka mampu berpindah ke lokasi lain apabila mereka mendapat pekerjaan baru atau ingin menukar kawasan kejiranan yang lebih baik dan kondusif.

Penawaran Hartanah Tidak Selari Kehendak Pembeli

Perkara ini menjadi isu nasional sejak kebelakangan ini di mana para pemaju galak membina hartanah yang tidak signifikan dengan kehendak bakal pembeli di Malaysia.

The Edge pada Januari 2019 telah melakukan kaji selidik akan kriteria rumah yang ideal menurut rakyat Malaysia. Hasil kajian tersebut adalah luar biasa!

Rupa – rupanya, 74.1% rakyat Malaysia mahukan rumah yang berada di lokasi strategik dan 60.2% inginkan hartanah yang berstatus kediaman dan bukan komersil!

59.8% dari responden inginkan hartanah yang berpagar & lengkap dengan kemudahan dan 56.5% inginkan hartanah yang terletak berhampiran kemudahan pengangkutan awam.

Akhir sekali, 52.7% inginkan kemudahan rekreasi seperti futsal, padang bola sepak, trek jogging dan 40.1% ingin hartanah yang berada dalam lingkungan harga RM400,000 sehingga RM600,000.

Dengan congakan mudah sahaja kita dapat mengandaikan telah berlaku isu ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan dalam hartanah di Malaysia. 

Sungguhpun begitu, terdapat ramai anak muda di luar sana yang mempunyai kesedaran yang tinggi dan memiliki hartanah seawal usia 25 tahun!

Baca : 7 Panduan Mudah Untuk Membeli Rumah di Usia Muda

Kadar pemilikan hartanah di Bumiputera di Malaysia juga telah meningkat dengan dasar dan polisi dari Kerajaan seperti Home Ownership Campaign (HOC), penurunan cukai pada Jun 2018 dan sebagainya.

Soalnya di sini adalah, adakah harga rumah tidak selari dengan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia atau penawaran hartanah dari pemaju yang tidak selari dengan permintaan dari bakal pembeli?

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman